Elak jerat wang plastik

Elak jerat wang plastik

Mampukah diri menggunakan kad kredit atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk?

Penggunaan kad kredit sepatutnya memberi keselesaan kepada pengguna bukan menyebabkan kesusahan hingga mengakibatkan pelbagai masalah kepada si pemakai.

Di sebalik kemegahan memiliki kad kredit, pemiliknya perlu bijak menggunakannya apatah lagi, fenomena penggunaan kad kredit yang melanda generasi muda-mudi kini boleh mencetuskan budaya hutang tanpa kawalan.

Timbalan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan ASM Investment Services Berhad, Noor Supiah Ahmad, berkata selidik dulu perolehan pendapatan setiap bulan jika ingin menggunakan kad kredit.

Sekiranya mampu untuk membayar jumlah digunakan melalui kad kredit setiap hujung bulan maka tiada salahnya menggunakan kad kredit.

Bagaimanapun, sekiranya tidak berkemampuan jangan sesekali mencuba untuk mendapatkan kad kredit.

Menurutnya, pembahagian antara keperluan dan kehendak perlu diutamakan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran terutama dalam bajet belanjawan harian.

“Jangan berbelanja terlalu mengikut nafsu terutama apabila berhadapan dengan pelbagai iklan jualan murah lebih-lebih lagi apabila menggunakan kad kredit, sebaliknya buat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pembelian.

“Barangan yang dilihat itu bukan semestinya keperluan tapi lebih kepada kehendak dan kadang-kadang ia sesuatu yang membazir kerana kita tidak terlalu memerlukannya,” katanya.

Secara asasnya, pastikan senarai barang diperlukan dicatat sebelum keluar membeli-belah untuk mengelak daripada membeli barangan yang tidak diperlukan.

Noor Supiah berkata, penggunaan kad kredit tidak membuatkan individu merasai kesan penyusutan wang tunai kerana hanya perlu meleretkan kad pada mesin dan menandatangani resit pengeluaran wang saja.

“Malah, dengan kemudahan ini, kita tidak perlu lagi membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Walaupun memudahkan pengguna, pada masa sama ia menyebabkan individu terbabit tidak mempedulikan soal pembayaran balik jumlah digunakan sebaliknya menggunakan kad berkenaan sewenang-wenangnya,” katanya.

Keadaan ini perlu dielakkan terutama bagi golongan yang baru membina kerjaya kerana dikhuatiri menjejaskan perancangan bajet harian.

Sementara itu, dalam perkembangan ekonomi kini, boleh dikatakan penggunaan kad kredit di kalangan golongan muda lebih cenderung kepada sifat menunjuk-nunjuk.

Perkara itu perlu dikikis kerana ia bukan saja akan merugikan diri sendiri malah akan membebankan mereka sekiranya tidak dikawal sebaik mungkin.

Sepatutnya pada ketika ini, mereka perlu menetapkan matlamat hidup serta membuat simpanan terutama simpanan kecemasan secara tetap setiap bulan supaya tidak tersepit jika memerlukan sumber kewangan pada waktu terdesak.

Noor Supiah berkata, mereka perlu memperuntukkan lima peratus hingga 30 peratus daripada jumlah keseluruhan gaji diperoleh setiap bulan untuk simpanan.

Katanya, setiap individu perlu mempunyai sekurang-kurangnya enam bulan gaji sebagai simpanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan krisis kewangan.

“Oleh itu, disiplin diri adalah penting bagi memastikan ia tercapai. Sekiranya tidak ditangani segera, bimbang ia akan mewujudkan generasi yang tidak mengetahui nilai sebenar wang terhadap kehidupan.

“Jangan beranggapan ia sesuatu yang ringkas kerana kesan terhadap kehidupan amat tinggi terutama kepada mereka yang baru memulakan kerjaya dan masih belum stabil dalam pekerjaan terbabit,” katanya.

Bagi golongan yang baru memulakan kerjaya, jika masih belum bersedia memikul tanggungjawab dan tiada keperluan, usah gunakan kad kredit kerana ia boleh memerangkap diri sendiri jika hutang tidak ditangani sebaik mungkin.

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s