Kisah dari Mahkamah Syariah: Bersyukur diceraikan

Perjuangan Hawa untuk hidup berdikari bersama tiga anak kini berbaloi

Hidup tidak mudah untuk diharungi sekiranya segala-galanya harus dilalui seorang diri walaupun mungkin ada yang melihat suami sentiasa di sisi, walaupun hakikatnya jauh di dalam hati, hanya Allah yang mengetahui kebenaran yang terpaksa dilalui sepanjang hidup bersama.

Wanita terutama, kerap kita dengar didera suami seperti dipukul, diperkosa walaupun sudah halal di sisi agama mahupun dimadukan tanpa kerelaan kerana natijah pembawaan suami yang tidak tahu mengasihi isteri serta menganggap isteri adalah hamba semata-mata.

Bagi Hawatullisa Kamil, (bukan nama sebenar) berakhirnya sebuah perkahwinan antara beliau dan suami, Adam Azimi, (bukan nama sebenar) ibarat bulan jatuh ke riba selepas bertahun memendam perasaan akibat perbuatan Adam yang tidak pernah tahu nilai seorang isteri yang sah di sisi agama.

Bahkan, pembawaan Adam tidak semolek namanya kerana Adam yang dikahwini Hawa adalah Adam yang meminjam perangai syaitan, tetapi berperwatakan manusia lantaran judi dan arak adalah rutin harian Adam sekiranya berkesempatan.

“Pada awal perkahwinan, Adam adalah sebaik-baik manusia dan kami hidup aman damai. Tapi selepas dua tahun, Adam berubah dan jauh berbeza daripada Adam yang saya kenali pertama kali ketika berkursus di Johor Bahru.

“Saya tidak tahu kenapa ia berlaku, puas berbincang, dia berjanji untuk berubah dan saya juga tidak menyalahkan Adam di atas kegagalan kami untuk mempunyai cahaya mata. Saya pasrah, tapi Adam semakin jauh tersasar daripada kehidupan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

Dengan penuh kesabaran dan keyakinan bahawa Adam akan berubah, Hawa mengambil seorang anak angkat untuk menceriakan kehidupan mereka, tetapi tindakan berkenaan tidak sedikit pun memberi kesan terhadap Adam.

“Saya menyangka dia akan menjadi lebih baik tapi keadaan sebaliknya. Jadi saya mengambil keputusan memfailkan perceraian kerana dia tidak boleh lagi mengendahkan keluarga apatah lagi menjaga saya, isterinya dengan baik kerana semuanya harus saya lakukan sendiri.

“Pernah juga saya menjejak dia di kelab dalam keadaan mabuk berkepit dengan perempuan di kelab berkenaan. Apabila balik ke rumah, saya pula dipukul dan dimaki. Duit saya juga habis kerana membayar ganti rugi kerosakan yang kerap dilakukan di kelab setiap kali dia mabuk,” katanya tanpa sebarang penyesalan.

Nyata Hawa adalah wanita yang kuat dalam menempuh kehidupan kerana sanggup turun naik mahkamah bagi menuntut perceraian setelah berasakan hidupnya musnah sekiranya dia masih setia bersama Adam yang hanya tinggal nama sebagai suami sedangkan fungsinya tidak wujud.

Hawa meneruskan kehidupan seperti biasa turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak kehidupan yang lebih bermutu bersama anak angkat walaupun Adam berkeras tidak mahu melepaskannya. Setiap pergerakan dan perbuatan Adam terhadapnya dicatat dengan tujuan untuk dijadikan bukti kelak sekiranya diperlukan.

Selain itu, Hawa juga sentiasa berdoa supaya Allah mengurniakan kehidupan yang lebih baik untuk beliau walaupun tanpa kehadiran Adam. Tanpa jemu dan leka, Hawa berterusan berikhtiar supaya Adam melepaskan beliau untuk menjalani kehidupan sendiri.

“Saya memang memfailkan perceraian, tetapi saya tidak menuntut satu sen pun duit Adam walaupun saya berhak. Saya tidak akan menyusahkan Adam, apa yang saya mahu ialah lepaskan saya untuk hidup sendiri dan merasai nikmat menjadi ibu kepada anak yang saya pelihara kini.

“Saya juga mengambil dua lagi anak angkat, menjadikan semuanya tiga orang. Saya ingin menghabiskan pengajian peringkat sarjana saya dan biar Adam dengan dunianya sendiri. Saya tidak terhutang apa-apa dengan dia. Saya doakan suatu hari nanti dia akan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Ketika ditemui juga, ada air mata jernih mengalir di wajah Hawa kerana bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Adam sudah melafazkan perpisahan di hadapan pihak berwajib dan berjanji tidak akan mengeruhkan lagi kehidupan Hawa serta tiga anak angkatnya yang tidak pernah diingat nama ketiga-tiganya.

“Saya bersyukur yang amat kerana kini kehidupan saya lebih tenteram. Anak sulung sudah belajar dalam darjah empat dan dua adiknya juga menunjukkan prestasi baik dalam pelajaran.

“Saya pula akan tamat belajar tidak lama lagi. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan bawa ketiga-tiga mereka mengerjakan umrah. Saya juga sudah membuat wasiat harta saya untuk tiga beradik ini yang menjadi kecintaan saya. Bagi wanita yang mengalami apa yang saya lalui ini, jangan putus asa,” katanya.

Hawa juga meminta supaya setiap wanita wajar bersedia zahir dan batin terhadap keruntuhan dalam rumah tangga sekiranya berlaku kerana kita hanya mampu merencana yang indah dan manis saja tanpa memikirkan kesan lain. Justeru supaya tidak terduduk pada kemudian hari, kuatkan mental dan fizikal kerana hidup tentunya ada ujian tersendiri.

“Walaupun kes ini sudah selesai dan saya masih merasakan kesukaran yang dilalui dulu, kini ada jalan lurus terbentang luas untuk saya rentas bersama anak-anak. Buku kehidupan bersama Adam sudah saya simpan jauh dan tidak akan dibuka lagi.

“Saya perlu meneruskan hidup dan bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan pada saya. Jangan cepat putus asa, keluar masuk mahkamah adalah perkara biasa. Sebagai wanita, kita harus perkasa diri dalam semua segi,” katanya.

Oleh Shaidah Shafie

2 thoughts on “Kisah dari Mahkamah Syariah: Bersyukur diceraikan

  1. Salam, rse kagum dgn semangat kental Hawa menghadapi kemelut hidup ini…anda berani bangkit utk memajukan diri anda & anak2 anda dr sikap x berperi kemanusiaan bekas suami anda..mmg dlm hidup ni..kita kdgkalanye perlu bersikap pntgkan diri sndiri utk kesejahteraan hidup kita..sprti anda..jika msh mengambil sikap utk terus setia hidup dgn bekas suami anda..sudah tntu kehidupan anda msh d aniaya oleh sikap x bertanggungjwbnya itu..tahniah..dan semangat inilah yg patut ada pd kaum wanita agar x d perlakukan dgn sewenang-wenangnya…

  2. Salam kak sy juga Ada masaalah Cuma ya sy tak berani nak ambil tindakan uutk berpisah.suami sy terlalumpentingkan kerja Dan keluarga Nya duit semua utk keluarga untuk kami hanya yg perlu saje.sy Dan suami memang sukar untuk kslau sy adukan apa apa dia hanya diam tak berkata .engah ah sy takut untuk Bersuara hanya me aha sakit di dada tekanan nie sudahnsy tak berdaya lahi utk menhadapinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s