6 tahun berjuang tuntut nafkah

HASLINDA Muhammad (bukan nama sebenar) merasakan diri tidak bertuah dalam hidup berumah tangga apabila terpaksa turun naik mahkamah hampir tujuh tahun, semata-mata menuntut nafkah buat satu-satunya puteri tercinta.

Dia hanya mampu bahagia dengan suami ketika menikmati usia perkahwinan hanya setahun. Selebihnya, dia hanya menanggung kedukaan berpanjangan sehingga memaksanya bertindak bijak supaya tidak terus bersedih.

“Pada mulanya, perkahwinan kami dirahsiakan kerana sebagai isteri kedua, kebenaran untuk berkahwin lagi di pihak madu saya agak sukar diperoleh. Untuk itu, kami terpaksa bernikah di selatan Thailand berwalikan bapa sendiri.

“Pada masa sama, saya berusaha mendaftar di sini dengan harapan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, sekurang-kurangnya ada juga hak,” katanya menceritakan pengalaman awal perkahwinannya dengan pilihan hati pada 2003.

Usia perkahwinan atas rasa cinta seorang penuntut dengan pensyarah itu rupanya terlalu pahit untuk dirungkai. Ini kerana apabila dia dikurniakan cahaya mata perempuan yang ketika itu baru berusia tujuh hari, suaminya terus menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Keperitan ditanggung membesarkan anak sendirian dan surat nikah pula belum diterima. Namun, sesuatu mengajarnya menilai hati budi lelaki yang bergelar suami apabila surat nikah tiba berserta surat cerai sekali gus.

Pengalaman itu benar-benar membuatkan dirinya nekad untuk turun naik mahkamah kerana merasakan lelaki itu juga perlu bertanggungjawab atas kesengsaraan yang ditanggungnya.

“Sepanjang tempoh enam tahun turun naik mahkamah, banyak masalah terpaksa saya tempuhi. Mulanya menggunakan khidmat percuma Biro Bantuan Guaman tetapi ada saja masalah.

“Kadang-kadang hakim bercuti kerana pergi kursus, ada kalanya bekas suami tidak hadir di mahkamah dan tidak menggunakan khidmat peguam.

“Sebenarnya, saya tidak minta banyak perkara. Setelah diceraikan, saya hanya minta hak saya seperti sedikit wang mutaah dan edah untuk saraan anak sebanyak RM200 sebulan.

“Apa yang sedihnya, banyak juga saya terima pesanan ringkas (SMS) daripada bekas madu saya dengan caci maki dan kata-kata kesat. Begitu juga dengan kata-kata suami yang sampai kini berbekas di hati saya. “Kau nak sangat cerai, kau jagalah anak”.

“Dari situ, saya nekad untuk terus memperjuangkan hak anak saya ini supaya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya yang bertugas sebagai pendidik di sebuah sekolah di Kajang, Selangor.

Ketika pertemuan dengan Haslinda, si cilik yang berusia enam tahun lebih itu turut menemaninya dan asyik memerhatikan kami berbual. Sesekali si ibu menitiskan air mata apabila bercerita kisah pedihnya.

Si kecil itu, Alya Antasya (bukan nama sebenar) pula berlari di sekitar kantin sekolah dengan manjanya. Menceritakan pengalaman sepanjang membesarkan anaknya, dia berkata, bukan sekali Alya bertanyakan mengenai ayahnya.

“Alya selalu bertanya mengenai ayahnya. Dia tidak pernah merasakan kasih sayang si ayah. Pertemuan pertama berlangsung dengan si ayah apabila saya pertama kali membawanya ke mahkamah syariah ketika kes dibaca dan bekas suami saya hadir.

“Sebaik sampai di mahkamah dan perbicaraan belum bermula, saya letakkan anak atas ribaan dia dan bekas suami terkejut melihat anak sudah besar. Saya terharu kerana dia yang banyak bertanya mengenai ayahnya selama ini dan apabila dapat bertemu, kelihatan anak benar-benar dahagakan kasih seorang ayah,” katanya.

Dia akui hanya di mahkamah saja mampu mempertemukan si anak dengan bapanya yang membuatkan anaknya berasa si bapa bekerja di mahkamah. Dalam fikiran yang masih kanak-kanak yang mampu terfikir untuk bertemu si bapa, mereka hanya perlu ke mahkamah untuk menanti peluang bertemu bapanya.

Lebih memilukan, gambar bekas suami mendukungnya sewaktu bayi dan sekeping dua gambar bapanya terselit dalam album yang selalu menjadi peneman anaknya ketika tidur.

Katanya, kes yang sering tertangguh akibat pelbagai alasan kadang kala membuat hatinya bosan untuk menuntut sesuatu biarpun ia menjadi haknya.

Melihat keadaan itu, dia akhirnya menggunakan khidmat peguam terkenal dan sanggup membayar ribuan ringgit.

Menurutnya, bukan wang yang menjadi buruannya tetapi apa yang penting, dia mahu membuktikan mahkamah menjadi tempat paling adil untuk menilai dan menghukum mereka yang berhak memperoleh hak yang sebenar-benarnya.

Si pelaku atau mereka yang alpa dengan tanggungjawab disedarkan daripada lena.

“Tidak dinafikan dalam kes sebegini, memang mahkamah tidak memihak kepada saya. Setelah berhabis duit, penat memanjat mahkamah rendah dan mahkamah tinggi, tiada apa yang saya peroleh setelah hampir tujuh tahun kes berjalan.

“Bagaimana wanita hendak mendapat perlindungan dan haknya kalau begini caranya? Sampai bila-bilapun nasib mereka tidak terbela.

“Walaupun tidak beranggapan anak sebagai beban, bekas suami sepatutnya tahu tanggungjawab terhadap anaknya. Zuriat ini amanah daripada Yang Maha Esa,” katanya dalam nada kesal.

Sebagai suami yang terpelajar, bahkan pensyarah di sebuah universiti swasta tanah air, dia berharap supaya bekas suaminya itu membuka mindanya bahawa penghakiman di akhirat kelak seharusnya lebih ditakuti.

Dia tidak pernah ralat dipertemukan jodoh dengannya tetapi yang amat dikesali sikap dan tanggungjawabnya langsung tiada. Apa yang dipinta bukannya puluhan ribu atau jutaan ringgit tetapi hanya nafkah bulanan dalam membesarkan zuriat tunggalnya itu.

Dendamkan bekas isteri, anak derita

RASA ego yang terlalu menguasai kebanyakan pasangan bercerai ada kalanya membuatkan mereka mengabaikan pemberian nafkah kepada zuriat sendiri, walhal ia adalah tuntutan agama.

Penjaga sama ada ibu atau bapa yang bertanggungjawab seharusnya melaksanakan tugas sebaiknya kepada anak-anak walaupun dia sudah bercerai dengan pasangan masing-masing.

Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin), Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad berkata, perbuatan mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah oleh segelintir pihak kepada anak yang di bawah jagaan bekas isteri dianggap menzalimi zuriat mereka sendiri.

“Konsep perkahwinan harus difahami pasangan yang berkahwin, antaranya mengembangkan zuriat dalam memenuhi kehendak batiniah secara halal.

“Kita harus terima hakikat dalam sesebuah perkahwinan tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan. Segelintir pasangan menempuh laluan sukar sehingga berlaku perceraian. Tetapi pasangan seharusnya ada cara hendak membayar nafkah kepada anak-anak kerana dalam undang-undang sudah termaktub cara pembayaran dan perkiraan mengikut kewajarannya.

“Jika bimbang wang itu digunakan bekas isteri, mungkin cara terbaik adalah memasukkan wang itu ke dalam akaun anak-anak atau menghulurkan sendiri kepada mereka.

“Lebih baik lagi, cuba selesaikan segala masalah berkaitan anak seperti membayar yuran dan keperluan sekolah anak-anak kerana tanggungjawab itu boleh dilakukan secara berhemah.

“Jika itu dapat dilakukan sebaiknya oleh si bapa, tidak timbul soal bekas isteri menuntut nafkah yang tertangguh sehingga ia memakan masa sehingga bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Beliau yang juga perunding motivasi untuk pelajar dan kekeluargaan, menyelar sikap segelintir lelaki yang liat membayar nafkah sehingga tertunggak sekian banyak dan memakan masa bertahun-tahun sehingga mangsa (terutama anak di bawah jagaan bekas isteri) terabai.

Keadaan itu katanya, membuatkan anak marah, dendam atau kecewa dengan sikap bapanya dan tidak mustahil apabila membesar kelak, dia akan membenci bapanya itu.

Beliau juga tidak menafikan terdapat sesetengah bekas suami agak berada dengan pendapatan lumayan setiap bulan tetapi setiap kali kes disebut di mahkamah, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena kerana gagal menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya.

“Jika bencikan bekas isteri atau berdendam dengannya berikutan perceraian, anak tidak seharusnya dijadikan mangsa.

“Nafkah itu adalah hak anak kerana mungkin dia di bawah jagaan si ibu dan akibat perpisahan itu, si ayah tidak dapat bersama-sama menjaga anak. Jika haknya sudah diselewengkan si bapa atas perkara yang dinyatakan, si ayah itu sebenarnya berdosa.

“Sebagai ayah, dia kena ingat kerana jika itu yang dilakukan dengan niat yang tidak baik iaitu untuk membalas dendam atau rasa sakit hati, sekiranya si anak berdoa dan doanya dianggap sebagai doa daripada orang teraniaya.

“Allah maha mendengar doa orang teraniaya dan akan dimakbulkan. Oleh itu, pesanan kepada si ayah, usah berdendam kerana dendam yang berterusan memberikan akibat yang tidak baik,” katanya.

Melihat rentetan kes bertahun-tahun di mahkamah, beliau mengakui keadaan itu turut menjejaskan prestasi si anak dalam pelajaran sehingga mencetuskan gejala sosial lain.

Bagi mengelak hal itu berlaku, beliau menasihatkan supaya orang ketiga harus dijadikan ‘perantara’ penting dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Cara terbaik dengan menggunakan khidmat nasihat ibu bapa sendiri atau bekas ibu bapa mentua serta ipar duai campur tangan dan berbincang sebaiknya dengan cara berhikmah.

“Jalan terbaik harus difikirkan kerana rujukan dan rasa hormat terhadap ibu dan bapa atau keluarga masing-masing membantu untuk menangani masalah itu sebaiknya.

“Apapun masalah yang melanda, apa yang terpenting adalah kesedaran si ayah itu sendiri kerana jika dia

berpegang kepada prinsip anak adalah amanah, dia harus menunaikan tanggungjawab atau amanah itu sebaiknya.

“Dia juga bertanggungjawab memberi kasih sayang selain memastikan keperluan anak-anak dipenuhi demi kelangsungan hidup serta masa depan mereka,” katanya.

Dr Tengku Asmadi turut menyarankan supaya pasangan yang bercerai tidak menanamkan rasa benci yang keterlaluan sehingga mengganggu perkembangan mental dan fizikal anak-anak dengan merendahkan tahap ego masing-masing.

Hampir gila ditinggal suami

RAIHANA Ahmad (bukan nama sebenar) mungkin sudah berhenti menagih simpati bekas suaminya terhadap tiga anak yang sudah tidak dipedulikan lebih 20 tahun lalu.

Namun, dia yakin Allah sentiasa bersama orang yang beriman, malah dia terus cekal menempuh ujian yang dianggap trauma sepanjang membesarkan anak-anak beberapa tahun dulu.

Ibu tunggal berusia 53 tahun itu tidak menafikan keperitan yang terpaksa ditempuhinya dulu memang sukar digambarkan. Ketika masalah melanda dirinya dulu, dia seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta tetapi ketika pergolakan rumah tangga berlaku, dia berkongsi dengan sahabat baiknya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan memandangkan dia sedikit tertekan dengan masalah yang melanda.

Pun begitu, dia bersyukur anak-anak sudah besar dan kini masing-masing sedang menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Anak bongsu pula di kolej menjalani persediaan ke luar negara, membuatkan hatinya semakin reda dengan apa yang berlaku.

“Tidak dinafikan masa mula-mula bercerai dulu memang saya susah. Oleh kerana diceraikan suami yang tergila-gilakan perempuan lain, saya seolah-olah tidak boleh terima hakikat diceraikan tanpa sebab.

“Daripada rakan baik suami, saya mendapat tahu yang dia sudah lama berkahwin secara diam-diam dengan setiausahanya tetapi dia tidak pernah mengaku sudah berkahwin.

“Tetapi apabila saya sendiri memerangkapnya di sebuah kondominium apabila diberitahu rakan baiknya mengenai sikap suami yang suka berfoya-foya, barulah tahu saya memang ditipu hidup-hidup selama ini.

“Kalau balik lewat atau tidak balik langsung untuk seminggu dua, alasan yang diberikan adalah kerja di luar daerah. Sebagai isteri, saya sebenarnya bodoh kerana percaya 100 peratus kepada suami.

“Apabila perkahwinan keduanya terbongkar dan dia berbohong di mahkamah dengan meniru tanda tangan saya konon membenarkan dia berkahwin lain, lalu perkara itu menjadi isu besar setiap kali kami bergaduh.

“Dia suka memutarbelitkan fakta sehingga kadang-kadang hakim meminta dia bersumpah di mahkamah, dia mengatakan sanggup menjunjung al-Quran dan tidak mengaku yang dia berbohong dalam banyak perkara,” katanya.

Bagi wanita ini, sebaik dia mengetahui yang suaminya berkahwin lagi, dia jadi pendiam, tidak lagi seperti dulu. Sepatah ditanya sepatah jua yang dijawab.

Makan pakai suami langsung sudah tidak dipedulikan kerana yakin suaminya memperoleh segalanya daripada isteri baru dan hatinya seolah-olah terkilan dengan perlakuan suami.

Kadang-kadang suaminya tidak pulang dan jika balik ke rumah, hanya untuk bertengkar dan selepas itu suami keluar rumah untuk tempoh yang lama.

Oleh kerana anak-anak melihat sendiri bagaimana ibu mereka diabaikan, anaknya yang sulung menasihati ibunya supaya menyelesaikan masalah itu di mahkamah.

Raihana pula ketika itu bagaikan hilang arah, menjadi pemurung dan tidak banyak bercakap. Bukan hanya dengan suami, bahkan dengan anak-anak dia menjadi kurang mesra. Lama-kelamaan fikirannya semakin meracau sehingga memaksanya mengambil cuti selama enam bulan daripada majikannya semata-mata untuk menenangkan jiwanya.

“Saya hampir-hampir dimasukkan ke hospital sakit jiwa kerana fikiran saya semakin teruk. Setiap kali mendapat kaunseling, saya selalu memikirkan hidup ini sudah tidak berguna lagi. Entah mengapa hati ini terlalu sedih memikirkan saya anak yatim piatu, kini saya kehilangan suami dan semua itu mengganggu jiwa saya.

“Akhirnya saya hilang pertimbangan dan berhenti kerja. Apabila berhenti kerja, sudah tentu nasib diri bertambah buruk sehingga suami menggunakan semua itu untuk mencerca, menghina serta memburukkan saya kepada keluarganya konon saya ‘perempuan gila’ antara punca dia berkahwin lain.

“Tidak cukup dengan itu, dia menghina saya di mahkamah dengan mengatakan saya gila dan atas dasar itu saya diceraikan. Keadaan saya bertambah parah kerana terpaksa turun naik mahkamah hampir lima tahun untuk menuntut hak.

“Mulanya anak-anak di bawah jagaan dia tetapi saya berjaya membuktikan yang saya hanya mengalami sedikit masalah kejiwaan tetapi masih terkawal. Ini kerana doktor yang merawat saya tahu tahap kemurungan saya bukannya gila seperti yang didakwa bekas suami,” katanya sambil sesekali mengesat air mata.

Sepanjang tempoh perceraian sejak 2005, dia penat turun naik mahkamah tetapi banyak masalah terpaksa ditempuh. Antaranya, penangguhan kes yang berkali-kali misalnya peguam bekas suami tidak dapat hadir ke mahkamah dan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Dia tidak berserah kepada takdir semata-mata, sebaliknya turut menjalani rawatan secara Islam untuk memulihkan keadaan. Ditambah pula dia memperoleh kebenaran mahkamah untuk menjaga anak-anaknya apabila mendapati salah seorang anaknya didera ibu tiri mereka.

“Kalau diikutkan hati, memang saya sangat kecewa. Duit yang habis untuk turun naik mahkamah memang banyak sedangkan sehingga sekarang kes ini tidak juga selesai.

“Tetapi apabila diperhatikan, perkara ini tidak boleh disalahkan pada mahkamah atau hakim semata-mata. Bagi saya, puncanya disebabkan bekas suami yang selalu berpindah-randah dan liat membayar nafkah,” katanya.

Padanya, anak-anak terutama anak sulung menjadi sumber rujukan dan orang kanan dalam memandu arah kehidupannya dengan keadaan kesihatannya yang kurang baik kini.

“Saya bersyukur kerana anak-anak tidak terpengaruh dengan keadaan saya dan bapa mereka. Pembelajaran anak-anak jarang terganggu, lagipun sejak dulu mereka rapat dengan saya. Ini membuatkan diri terfikir apa yang saya perjuangkan ini adalah untuk hidup dan masa depan mereka.

“Begitu juga dengan kawan baik yang banyak memberi dorongan bahawa perjuangan ini adalah menuntut keadilan untuk anak-anak saya.

“Lagipun selepas berhenti kerja dulu, dengan pengalaman saya dan saya juga mempunyai ijazah dalam perbankan, sudah tentu saya manfaatkan semua kemahiran itu untuk menjana semula masa depan saya.

“Mungkin nasib menyebelahi saya apabila bertemu dengan peguam yang baik dan tidak berkira walaupun saya membayarnya atas kemampuan yang ada kerana hasratnya untuk membantu saya.

“Apa yang paling saya utamakan kini bagaimana mendapatkan nafkah saraan untuk anak-anak kerana itu hak mereka yang diabaikan bapa kandung.

“Saya tidak putus-putus berdoa supaya terbuka pintu hati bekas suami kerana semua itu bukan untuk saya tetapi buat anak-anaknya.

“Kalau ditanya, memang serik pernah bersuamikan lelaki sebegitu tetapi mungkin itulah cara Allah menguji ketabahan, semua ini membuatkan saya tabah dan reda. Saya berharap kes ini dapat diselesaikan dalam tahun ini,” kata wanita cekal yang berasal dari utara tanah air ini.

HM – Aug 6, 2010

3 thoughts on “6 tahun berjuang tuntut nafkah

  1. “Pada mulanya, perkahwinan kami dirahsiakan kerana sebagai isteri kedua, kebenaran untuk berkahwin lagi di pihak madu saya agak sukar diperoleh. Untuk itu, kami terpaksa bernikah di selatan Thailand berwalikan bapa sendiri…
    RMI WANITA X MGAMBIL PGAJARAN KES2 MCM NI.MASUK KIRI KUAR KANAN.LAST2 KENA TINGGAL DGN LAKI SDRI.
    PAS2 CKP LA LAKI X GUNA LA…BLA2X..
    DA SDRI GATAL…SDRI MAU IGT

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s