Mangsa cercaan mentua

Saya berkahwin dengan anak bongsu daripada empat beradik lelaki. Kesemua abang ipar berkelulusan tinggi dan biras saya semuanya juga berjawatan tinggi. Suami dan saya bagaimanapun berpendidikan sederhana dan duduk di kampung bersama ibu mentua. Apa yang menjadi masalah saya, sikap mentua kerap kali membuat saya tertekan. Saya bekerja di kilang berdekatan rumah dengan jadual kerja tidak menentu. Tetapi jika ada masa atau waktu cuti saya tetap menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Suami memahami keadaan ini dan kerap kali dia membantu menyelesaikan kerja-kerja rumah. Malangnya, mentua melihatnya sebagai saya ‘menghambakan’ suami.’ Keadaan bertambah buruk kalau adik beradik lain pulang ke kampung. Ada saja caranya mencari perhatian. Setakat ini suami hanya diam tetapi lambat laun saya tahu hati suami akan terganggu juga. Kami pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah, tetapi abang ipar tidak benarkan atas alasan emak semakin tua dan tiada siapa menjaganya. Saya makin tidak selesa. Hubungan dengan suami juga mula dingin dan cubaan mendapatkan anak juga belum berjaya. Ada kala terlintas juga rasa hendak berpisah saja dengan suami.

Menantu Tertekan.

JAWAPAN

WAHAI Menantu Tertekan, anda sebenarnya sedang membina syurga buat suami dan dirimu. Pastikan semangat ini membakar seluruh hidupmu sebagai seorang isteri dan menantu dalam keadaan apa sekali pun. Dulu pun, anda bersetuju untuk berkahwin dengan suami anda kerana mencintai suami dan suami pun mencintai anda.

Dari manakah suami anda belajar menyayangi dan mencintai orang lain? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan pasti daripada ibunya atas izin Allah SWT. Anda juga menyatakan yang anda sayangkan suami. Anda baru menyayangi suami selama tiga tahun, tapi sedar atau tidak bahawa ada orang yang sudah menyayangi suami sejak kecil hingga anda temui dia dan sekarang bergelar suami anda. Anda sudah memiliki buah kesayangan daripada pokok yang dijaga oleh ibu kesayangannya.

Wajarkah anda tidak menyukai orang yang melahir, menyusu dan membesarkan suami anda, apatah lagi dia sudah berusia? Lingkungan umur yang memang memerlukan perhatian dan sentuhan yang sangat banyak, lebih-lebih lagi kemungkinan dari segi pemikirannya sudah hampir nyanyuk mungkin. Mahukah anda dilayan sebegitu oleh anak dan menantu anda nanti andai kata umur anda juga selanjut itu?

Biasanya apa yang anda mahu itulah yang anda tuai nanti. Jika anda mahu membalas restu orang tua suami yang sudi menerima anda sebagai menantu serta membenarkan anda berkahwin, inilah masanya membalas kebaikan mereka. Ia kerana tanpa restu mereka anda tidak akan bersama dengan suami anda sekarang. Oleh itu, renung kembali apa jasa ibu mentua anda pada suami dan membenarkan anda tinggal di rumahnya. Jika anda tidak insaf maka benarlah anda menantu yang akan tertekan selamanya.

Nasihat Umi, anda harus melihat ibu mentua anda sebagai ibu anda sendiri, bukan ibu suami. Ibu ini adalah syurga bagi suami anda dan suami anda pula adalah syurga anda. Jika bukan syurga sebagai matlamat hidup anda di dunia dan akhirat maka perkara ini akan anda lihat sebagai remeh temeh saja. Sedangkan pintu ini adalah satu-satunya sumber utama kebahagiaan perkahwinan anda, iaitu doa restu ibu bapanya dan ibu bapa anda.

Oleh itu, Umi nasihatkan bagi mendapatkan syurga di dunia dan akhirat belajarlah melihat ibu mentua anda sebagai orang yang sudah berjasa besar kepada anda dan anda sekarang berusaha membalas jasanya melahirkan suami anda ke dunia ini.

Air susu ibu tidak mampu dibalas dengan apa-apa pun di dunia ini. Maka belajarlah memujuk hati, ikhlaskan diri dan segala yang anda lakukan kerana Allah SWT. Buatlah apa yang anda mampu. Apatah lagi suami menyokong tugasan harian anda di rumah. Jika anda dan suami melakukan apa saja dengan ikhlas maka anda tidak akan bersusah hati dan bimbang apa yang dikatakan ibu mentua anda. Dia sudah tua, dia memerlukan banyak perhatian dan simpati daripada anak dan menantunya.

Berilah perhatian sekadar yang anda mampu. Jangan disimpan apa yang keluar daripada mulut mentua. Ibaratkan dia sedang meluahkan perasaannya kepada siapa saja, tapi sebab dia sudah tiada modal untuk berbual, maka dia akan senang mengumpat sesiapa saja yang dekat dengannya. Ia kerana dia tak ada bahan lain untuk mendapat perhatian dan untuk dijadikan bahan perbualan. Kesempatan anda di depan matanya itu digunakan untuk berkongsi rasa, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Inilah orang tua, langkahnya terhad dan bahan ceritanya pun terhad. Jangan simpan dalam hati kemudian berdendam dengan apa yang dikatakan. Buatlah seperti ungkapan lama, masuk telinga kiri keluar telinga kanan saja, jangan disimpan satu perkataan pun dalam hati. Anggaplah itu lagu dan drama di televisyen saja.

Bina kekuatan dan kemampuan kuatkan azam untuk terus memberikan khidmat terbaik walau apa pun yang diperkatakannya. Sebabnya, dia ibu mentua kita dan masanya amat terhad. Atau berdasarkan keadaan sekarang, mungkin dia atau mungkin kita pergi dulu. Biarlah sewaktu kita atau pun dia pergi, jiwa masing-masing bersih daripada sebarang dendam atau rasa tidak puas hati. Tidak rugi rasanya jika anda belajar memaafkannya. Jika ini mampu anda lakukan andalah insan paling bahagia dan bertuah di dunia.

Jangan berasa terhina dengan apa yang dilontarkan kerana dia sudah tua. Umi nasihatkan teruskan berbakti dengan mentua dengan rela dan ikhlas dan senang hati agar Allah SWT akan memudahkan hidup anda dan suami serta dipilih sebagai calon isi syurga di dunia dan akhirat.

Pesanan orang tua, anak paling bertuah di dunia ini ialah anak yang diberi kesempatan menjaga orang tuanya. Maka rebutlah peluang dan kesempatan ini, yang tidak diberikan Allah kepada semua yang bernama anak. Mudah-mudahan Allah menerima ibadat menjaga orang tua dan digolongkan masuk syurga. Akhirnya sedarlah bahawa Allah tidak pernah zalim dan menganiaya hamba-Nya.

Yakinlah anda tidak berhak untuk bahagia, tenang selagi anda tidak yakin janji Allah SWT yang Maha Adil, Hakim Yang Maha Bijak, yang memasukkan seorang wanita ke syurga hanya kerana menolong seekor anjing dan memasukkan seorang wanita yang lain ke neraka kerana menyeksa seekor kucing. Mudah-mudahan anda menjadi menantu terbaik yang dijanjikan syurga kerana berbuat baik pada orang tua, apalagi mentua.

Bersama Dr Rubiah K Hamzah

2 thoughts on “Mangsa cercaan mentua

  1. Salam…
    Sukanye saya baca pendapat Dr. Rubiah kali ni…saya mmg setuju dengan pandangan dia…saya rasa baik la puan berkenaan bersabar…lebih2 lagi dengan mak.. Anggap lah mak mertua sbg mak anda sendiri…saya ni kalau la boleh berbakti dengan mak mertua saya sangat2 bersyukur…tapi saya tak diberi peluang untuk masuk ke rumah mertua walaupun setapak…sbb saya isteri kedua…

    Namun saya ambik hati dia untuk berbaik2…saya bersukur setakat ni dia dah boleh menerima saya sbg menantu walaupun kami tak mesra…apa yang penting saya nak layan dia elok2 mcm mak kita…ibu mana yang tak sayangkan anaknya….dia nak yang terbaik untuk anaknya…apabila timbul sesuatu yang tak memuaskan hatinya dia akan bersuara…saya walaupun tidak disukai oleh keluarga suami saya cuba sedaya upaya…moga Allah bukakan hati mereka2 suatu hari nanti.

    Saudari kita dah dapat layan mak mertua so buatlah yang terbaik…mmg la kadang2 sakit hati dibuatnya tapi kita beralah lah. setiap apa keburukan diberi jangan la dibalas dengan keburukan tetapi balas lah dengan lebih lagi kebaikan…manusia itu ada akal fikiran bila terbuka akal dan juga hati mereka dengan izin Allah kejayaan akan jadi milik kita selamanya…degan rasa bahagia…saya berharap bahagia juga menanti dihadapan…jika sebaliknya berlaku…anggaplah ini sbg takdir yang telah ditentukan sekurang2nya kita dah buat yang terbaik dan sedaya upaya untuk memuaskan hati semua pihak termasuk mertua…saya sayang dua2 mak saya…moga mereka dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki…Amin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s