Cerai Ekspres

Tak pernah langsung terlintas dalam fikirannya, diceraikan hanya selepas beberapa hari dinikahkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi itulah perjalanan hidup dilalui Faizah Mohamad.

Perkahwinannya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim, hanya bertahan 12 hari. Baik buruk berkahwin dengan orang yang dikenali ramai, berita perkahwinan dan perceraian ekspresnya menjadi tumpuan.

Ramai orang memperkatakan mengenai perkahwinan singkatnya dan tidak kurang yang menuding jari kepadanya apabila pelbagai cerita pelik mula kedengaran.

Perceraian berlaku tanpa diduga dan dipinta itu bagaikan satu mimpi dalam hidup. Apatah lagi, sebelum berlaku perceraian itu tiada bibit pertelagahan dan persengketaan antaranya dengan bekas suami, malah berpendapat, tiada alasan munasabah untuk berpisah.

Namun, wanita muda ini menerima perceraian itu sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk perjalanan hidupnya sekali pun tidak sempat untuk mengecapi kemanisan hidup rumah tangga dan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri.

“Saya tidak pernah menyesali perceraian itu berlaku, tetapi apa yang dikesalkan ia berlaku hanya dalam tempoh 12 hari perkahwinan kami. Tidak sempat lagi bernafas, perceraian pula berlaku. Penat buat kenduri majlis perkahwinan pun tidak habis lagi,” katanya.
Mengimbau gelodak jiwa dirasakan apabila talak dilafazkan oleh bekas suami, Faizah berkata, ketika itu perasaannya bercampur baur, ada rasa terkejut, sedih dan keliru. Dunia yang terang dirasakan gelap seketika. Kebahagiaan dicari dan diimpikan dalam hidup berumah tangga seolah-olah tiada lagi, sebaliknya dilihat bakal melalui masa depan yang gelap.

Seminggu tempoh awal perceraian, perasaan tidak keruan terus menyelubungi diri sehinggakan tidur malamnya sering saja terganggu. Mujur, pada saat hati remuk dan kecewa, Faizah mendapat sokongan daripada keluarga, saudara-mara dan kawan rapat. Sokongan itu sedikit sebanyak memberikan kekuatan dalam dirinya untuk menempuh hari mendatang dan cuba menerima perpisahan itu.

“Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perceraian itu berlaku termasuklah masyarakat sekeliling. Tetapi tiada pula yang bertanya secara terus terang kepada saya, mungkin mereka menghormati perasaan saya ketika itu,” katanya.

Faizah menguatkan diri. Selain semangat orang di sekeliling, dia mencari kekuatan dalam diri dan membina semangat baru, di samping sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta tidak putus berdoa supaya hidupnya diberkati dan dapat menerima ujian yang menimpa.

Justeru, bangkit daripada rasa sedih dan kecewa serta cuba berdepan dengan hakiki kehidupan anak ketiga dalam empat beradik itu bertekad, menjalani rutin kehidupan seperti biasa tanpa perlu menyembunyikan diri dan berterusan memendam perasaan.

“Alhamdulillah, perlahan-lahan saya dapat menerima apa yang sudah berlaku. Saya cuba melawan perasaan negatif dalam diri dan tidak ingin memikirkan perkara yang bukan-bukan. Ahli keluarga pula selalu bersama dan tidak akan membiarkan saya berseorangan kerana mereka bimbang emosi saya terganggu sehingga boleh mengalami kemurungan.

“Syukur, Allah memberikan kekuatan dan saya mempunyai hati yang cukup cekal berdepan dengan ujian itu. Sehinggakan, ada rakan abang yang turut kagum dengan keupayaan saya melalui peristiwa itu dan berkata, jika orang lain mungkin sudah lama ‘meroyan’ tetapi saya tabah dan tidak banyak perubahan diri berlaku,” katanya diiringi gelak kecil sambil bersyukur sudah pun berjaya memadamkan perasaan sedih di hati.

Faizah berkata, apa yang membuatnya sedikit terkilan ibunya mengalami tekanan emosi lebih teruk daripadanya, berikutan ‘perceraian ekspres’ itu. Sehinggakan, hampir setiap hari, tidak kering pipi ibunya dibasahi air mata.

“Ibu berasa terlalu sedih mungkin saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Sangkanya, kenduri kahwin saya adalah yang terakhir dalam keluarga tetapi apa yang terjadi lain pula. Selain itu, ada juga teman rapat dan saudara-mara menangis lebih teruk daripada saya kerana terlalu simpati serta kasihan mengenangkan apa yang berlaku kepada saya,” katanya.

Ditanya, tidakkah tiada perasaan rendah diri terutama apabila memikul gelaran janda pada usia masih muda, tanpa berselindung, Faizah berkata, perasaan seumpama itu memang wujud.

Malah, ujarnya, dia pernah berasa takut untuk berdepan dengan masyarakat. Tetapi perasaan itu tidak lama kerana menyedari perkara itu bukanlah kehendaknya sendiri, sebaliknya jodohnya sudah pun ditakdirkan berakhir di situ.

Kata Faizah lagi, jika ada yang menyatakan perkenalan singkat dengan bekas suami menyebabkan punca perceraian itu berlaku, baginya itu bukan faktor utama kerana ada pasangan yang langsung tidak mengenali antara satu sama lain, masih boleh kekal bahagia hidup berumah tangga.

“Sebenarnya, ada juga hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada perceraian singkat itu. Saya berpendapat, apabila sudah menjadi suami isteri mesti ada komunikasi dan tolak ansur. Jika ada masalah yang ditimbulkan oleh unsur luar, perlulah ditangani dengan baik. Saya juga melihat, jangan terlalu cepat mempercayai orang luar kerana ada antaranya bersikap bermuka-muka,” katanya.

Mengenai perancangannya pada masa kini, Faizah yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di syarikat swasta berkata, kegagalan perkahwinan pertama tidaklah mematahkan semangatnya untuk kembali hidup berumah tangga.

Namun, dalam mencari atau menentukan jodoh, dia lebih selesa mengikut arus. Paling penting, lelaki yang bakal menyinari hidupnya kelak mestilah bertanggungjawab, dapat menerimanya seadanya dan boleh menjadi khalifah dalam sebuah keluarga.

“Perkahwinan itu suci, jadi saya tidaklah perlu takut atau fobia dengan apa yang sudah berlaku. Kita berusaha dan selebihnya biarlah Allah menentukan,” katanya.

Perceraian bukan jalan penyelesaian – Tangani masalah rumah tangga dengan matang

PERCERAIAN mungkin dilihat sebagai jalan penyelesaian masalah dan boleh merungkaikan kemelut rumah tangga yang berantakan serta tidak boleh diselamatkan lagi. Namun, apa yang menyedihkan jika perceraian atau perpisahan pasangan suami isteri itu berlaku pada usia perkahwinan masih muda lagi dan belum pun setahun rumah tangga itu dibina.

Kesannya, tentu ada dan tidak mustahil sebahagiannya impak negatif, sama ada kepada pasangan mahu pun keluarga kedua-dua pihak. Lebih teruk, jika pasangan itu dikurniakan anak, keadaan tentu lebih merumitkan. Belum pun sempat anak itu mengecapi hidup berkeluarga yang lengkap, ada ayah dan ibu, sudah berlaku kehancuran rumah tangga.

Melihat senario masa kini, realitinya ‘perceraian ekspres’ bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.

Ada juga pihak melahirkan kegusaran kerana ada yang menjadikan trend berkahwin, semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri, kononnya lebih mahal berbanding anak dara.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes masalah rumah tangga ada unsur perceraian adalah antara paling tinggi dirujuk di pusat kaunseling dan ditangani selain masalah gejala sosial dan isu remaja.

Norazman berkata, dalam sebulan pusat kaunseling MAINS menerima antara 40 kes hingga 60 kes membabitkan kes masalah perkahwinan dan kebanyakannya berkaitan isu perceraian. Majoriti pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah golongan yang masih dalam awal perkahwinan iaitu antara lima hingga 10 tahun mendirikan rumah tangga. Tidak kurang yang tempoh perkahwinan tidak sampai setahun dan masing-masing memutuskan untuk tidak bersama lagi.

“Masalahnya, kebanyakan pasangan yang datang mendapatkan khidmat kaunseling selepas krisis dihadapi mereka begitu kritikal dan sukar dirungkaikan serta sudah pun ada hasrat untuk bercerai. Tidak kurang juga ada yang datang ke sini selepas melafazkan talak,” katanya.

Norazman berkata, senario ‘cerai ekspres’ atau berkahwin dalam tempoh singkat terutama di kalangan pasangan muda, sememangnya membimbangkan dan membawa kesan tertentu.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan. Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.

“Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Walaupun mahu berkahwin ada yang langsung tidak mahu mencari atau menambah ilmu, seolah-olah perkahwinan itu dilakukan atas dasar suka-suka saja. Mungkin ada yang kata sudah bersedia bergelar suami atau isteri tetapi untuk ke arah itu tiada persediaan dibuat. Bagi mendirikan rumah tangga, pasangan perlulah membuat persediaan yang baik dan ia tidaklah semestinya sempurna,” katanya.

Norazman menambah, menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin.

Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.

“Pasangan bukan saja boleh belajar melalui pengalaman peribadi tetapi juga orang lain, termasuk ibu bapa. Jika ibu bapa ada membuat kesilapan, takkan ingin ulang semula? Berusahalah jadi yang terbaik dan kekuatan jati diri perlu ada,” katanya.

Antara faktor lain berlaku ‘cerai ekspres’ kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.

Mengenai kesan perceraian pada usia muda, Norazman berkata, ada yang negatif tetapi pada masa sama boleh dilihat dari sudut positif. Bagi lelaki misalnya, barangkali ada yang melihat individu terbabit belum ada kualiti menjadi tunggak utama keluarga.

“Lelaki mungkin sedikit impak negatif, malah walaupun ada yang sudah bergelar duda, masih lagi sentiasa menganggapnya dirinya bujang. Lebih-lebih lagi, jika perkahwinan itu tidak dikurniakan anak. Bagi wanita, khususnya yang muda, gelaran janda boleh memberikan konotasi yang tidak elok. Pasangan bercerai ada anak lagi timbul banyak masalah yang perlu diselesaikan seperti hak penjagaan dan nafkah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.

“Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh juga memberikan pengajaran dan pengalaman kepada individu berkenaan. Mana tahu, bagi perkahwinan seterusnya individu terbabit lebih bersedia. Apa pun, dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya,” katanya.

INFO:
Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan:

  • Pasangan disahkan gila.
  • Pasangan berpenyakit sopak.
  • Pasangan berpenyakit kusta.
    (Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)

    Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat:

  • Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
  • Ada kalanya pasangan seolah-olah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.
  • Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.
  • Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.
  • Oleh Nor Affizar Ibrahim

    2 thoughts on “Cerai Ekspres

    1. kawein dan corai express bagus jugak yerr..dapek bertukaq ganti..leh raso yg mano zamrud dolima..ato suasa..dalam tak dalam kotat korr..dapek jugak kito buek analisa yorr..siok bonar.. sampei ayok lior akunie terkeluar..nak merasei malam.. yg jauh lagie.

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s