Trauma kehilangan insan tersayang

Kehilangan orang tersayang oleh sebab kematian secara azali atau dalam erti kata lain, meninggal dunia disebabkan sakit tua, penyakit atau pun kemalangan tentunya mendatangkan kesedihan kepada ahli keluarga terdekat.

Kehilangan Insan Tersayang

Lebih-lebih jika yang meninggal itu adalah ibu, bapa, atau suami mahu pun isteri menyebabkan mereka yang hidup pastinya terasa seakan hilang tempat bergantung, lebih-lebih lagi kesedihan bertahan lama sebelum menerima hakikat insan disayangi sudah dijemput Ilahi.

Kenyataannya, kehilangan orang tersayang adalah satu fasa sedih dalam kehidupan setiap individu tanpa mengira anutan mahu pun keturunan, namun hal demikian lazim diterima dengan rela kerana ia adalah fitrah terhadap kehidupan manusia.

Begitupun, jika yang meninggal itu kematiannya direntap pergi oleh sebab kebuasan dan kejahatan manusia, amat susah untuk diterima. Lebih menyedihkan jika kematiannya tragis dan tidak boleh diterima akal seperti dibunuh, dirogol mahupun dicincang sehingga tiada rupa asal mangsa.

Perasaan berbaur pasti timbul. Marah, takut, tidak percaya, malah dendam pasti bermain di hati dan akal fikiran.

Bagi Noorfazilah Ab Sani, 33, kematian bekas suami, Kamaruddin Shamsuddin, pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya yang mati dibunuh bersama tiga lagi individu lain, meninggalkan kesan yang pedih di hatinya, tetapi kesannya lebih membimbangkan terhadap anak-anaknya.

“Saya sebagai individu yang pernah menjadi isteri beliau memang cukup terasa akan pemergiannya dalam keadaan begitu. Namun, sebagai individu dewasa, walaupun cukup pedih untuk diterima, saya akur tiada apa yang boleh mengembalikan dia semula ke pangkuan anak-anak.

“Anak perempuan saya terutama, Balqis Dayana, memang tidak dapat menerima hakikat yang bapanya sudah tiada. Tambahan pula anak saya pendiam dan tidak banyak bercakap. Jadi saya tidak tahu apakah perkara yang bermain di dalam fikirannya,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Fazilah berkata, pada mulanya beliau mengetahui anaknya tidak dapat menerima kenyataan mengenai bapanya yang sudah tiada kerana Balqis Dayana sentiasa menolak untuk mengetahui sebarang berita mengenai arwah bapanya.

“Dia belum dewasa untuk menanggung beban yang amat berat ini. Tambahan pula, Balqis Dayana baru-baru ini menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya cukup risau memikirkan tumpuannya terhadap peperiksaan yang dihadapi.

“Apa yang saya boleh lakukan ialah memberi semangat kepada beliau untuk menerima kenyataan bahawa bapanya sudah tiada. Dia memang anak yang baik, begitu juga dengan adik-adiknya. Saya sentiasa cuba menyelami apa yang bermain dalam fikiran Balqis Dayana walaupun dia tidak membuka mulut,” katanya.

Beliau berkata, begitupun anaknya itu kini mula boleh menerima kenyataan selepas akhbar menyiarkan mengenai penemuan bukti pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa, termasuk bapanya.

Begitupun, beliau mengetahui Balqis masih menelefon nombor telefon milik arwah bapanya walaupun mengetahui arwah sudah tiada.

“Saya bersyukur kerana Balqis Dayana mampu menguasai keadaan walaupun saya tidak tahu apa yang dia fikirkan selama ini. Paling utama, dia tampak sihat dan menikmati hidup seperti remaja lain walaupun saya pasti peristiwa berkenaan berbekas di hatinya sampai bila-bila. Bahkan saya sendiri perlu berfikiran positif kerana apabila saya kuat, anak-anak juga akan kuat menghadapinya,” katanya.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kesan terhadap psikologi memang ada terhadap anak, isteri atau rakan kepada mangsa yang meninggal dengan cara yang tidak sepatutnya.

“Kita kena kenal pasti apakah bentuk kemurungan yang dihadapi oleh anak, isteri, rakan atau saudara-mara mangsa kerana jika dibiarkan berterusan, ia akan membawa natijah kepada mereka yang mengalaminya.

“Jika anak yang mengalami kemurungan ini, ibu bapa mesti mencari punca yang berlaku, tidak boleh membiarkan perasaan negatif wujud dalam diri anak. Kita tidak mahu ada perasaan negatif dalam diri anak mengenai apa yang berlaku kepada orang mereka sayang,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Dr Mariani berkata, jika wujud perasaan negatif dalam diri anak, ia akan mempengaruhi sahsiah diri dan tidak mendatangkan kebaikan kepada anak.

Kerana itu, ibu bapa perlu bercakap dengan anak manakala bagi remaja pula, kaedah sama boleh digunakan untuk mengurangkan tekanan mereka yang mengalaminya.

“Dalam hal ini, rakan sebaya atau individu sekitar yang akrab dengan mereka yang mengalami trauma ini boleh memainkan peranan bertanya soalan kepada mereka yang mengalami tekanan ini.

“Ajak mereka bercakap, cuba dorong mereka luahkan apa yang bersarang dan terbuku di hati. Kalau mereka ingin menangis, biarkan saja kerana kaedah ini adalah satu daripada cara meringankan beban psikologi yang ditanggung. Apa yang kita bimbang ialah jika mereka tidak bercakap serta tidak meluahkan rasa dialami,” katanya.

Beliau berkata, jika individu yang mengalami kejadian berkenaan adalah anak sulung, bebannya bertambah kerana beliau terpaksa berkelakuan seperti tiada apa yang berlaku demi untuk membina keyakinan terhadap adik-beradik lain.

“Kalau mereka bersuara dan berkata-kata, mereka akan bercerita bagi mengurangkan tekanan. Namun bagi individu yang tidak bercerita, dikhuatiri keadaan berkenaan memberi kesan mendalam. Jadi individu sekeliling memainkan peranan besar untuk mengurangkan beban mereka yang mengalami trauma sebegini,” katanya.

Tangani kemurungan

* Sentiasa beri semangat kepada rakan yang mengalami masalah atau kesedihan kehilangan orang tersayang untuk mengelak mereka daripada terus memendam perasaan.

* Cuba ajak berbual kerana berbual, kemungkinan mereka meluahkan perasaan adalah luas. Apabila luahan perasaan berlaku, ia meringankan beban mereka.

* Bantu mereka tangani semua masalah dengan ajak melakukan perkara positif.

* Tanamkan minat mereka kepada baru seperti membaca, menonton dan melakukan riadah bermanfaat untuk mengelakkan mereka teringat kepada orang tersayang yang sudah tiada.

* Manfaatkan masa bersama sebaik mungkin.

* Amalkan membaca surah tertentu dalam al-Quran sebagai penenang jiwa dan hati sebelum tidur.

2 thoughts on “Trauma kehilangan insan tersayang

  1. yes u are totally rights..kalo si dia mempunyai sifat2 penyayang terhadap kita,kesedihan terasa juga,walau kita cuba melupakan nye,ia pasti terasa luka di hati juge..kebiasaan nye orang baik baik sifat nya..betimbang rase nie,,give a n take…punching bag.. pada hekmat aku aje lah..selalu nya pergi dulu..

    Bagi golongan anak2 pula mereka ini akan tertekan jiwa raga mereka hingga ke tue..timbul tenggelam di pemikiran mengikut arus semasa….elok cuba memenohkan masa terluang mereka,.

    Walaubagaimana pun apabila mereka melihat kanak2 sebaya umor dgn mereka berpegangang tangan bergembira dgn orang tersayang..kesedihan di hati tetap akan menjelma kembali …kepiluan kehibaan di hati …lelehan ayer mata dah pasti… di duga…perasan kesedihan..seolah olah di turis dek pisau blade ..rase nya.

    Bayangkan kalo keluarga porak peranda pula..pun dah memandai memberi tekanan kapada mereka….jikalau sesaorang yg tersayang itu meninggal ketika mereka maseh kecil ..ketaggihan -kehausan untok di belai manja maseh terasa juga……tetap di rasai…walau pun kita dah tue… dah pasti nama di sebutkan juga dalam keadaan keuzuran..

    Bab pembunuhan yang zalim-menhayatkan ati..semoga roh mereka di berkati ke sorga ….

  2. Jika tidak dapat rawatan yang sesuai, seseorang yang mendapat penyakit kemurungan mungkin akan bunuh diri. Jadi kenalah berhati-hati.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s