Masak sendiri lebih sihat

Makanan penting dalam kehidupan dan antara perkara menyenangkan hati suami apabila pulang ke rumah ialah menikmati hidangan dimasak isteri. Begitu juga anak. Tidak ada perkara lebih membahagiakan daripada menikmati hidangan hasil air tangan ibu mereka. Malah makan bersama merapatkan lagi hubungan keluarga.

Kini keadaannya jauh berubah. Memasak di rumah dan makan bersama tidak lagi menjadi amalan. Memandangkan semakin ramai wanita bekerja, memasak untuk keluarga jarang dilakukan. Malaysia mempunyai pelbagai makanan murah dan mudah diperoleh. Ada makanan dijual di pasar malam, gerai dan restoran makanan segera, sementara tempat makan yang dibuka 24 jam menjual capati dan teh boleh dinikmati sesiapa saja selepas tengah malam.

Sebenarnya, hidangan dikomersialkan ini mendedahkan ancaman kesihatan yang serius kepada pengguna. Makanan seumpamanya mengandungi terlalu banyak lemak, gula dan garam, malah kadangkala disediakan dalam keadaan tidak bersih. Penduduk Malaysia sepatutnya berusaha mengurangkan lemak dan gula dalam makanan tempatan kerana Malaysia mempunyai jumlah penghidap kencing manis, strok dan penyakit jantung antara tertinggi di Asia Tenggara.

Pada 2000, 7.6 peratus atau 1.82 juta penduduk Malaysia melebihi usia 20 tahun ialah penghidap diabetes dalam negara yang mempunyai sekitar 24 juta penduduk, demikian menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar menyalahkan kemewahan, gaya hidup santai dan aliran terkini menjadikan semakin ramai ibu bekerja menyumbang kepada masalah kesihatan yang semakin meningkat. Pada amnya penduduk Malaysia semakin banyak mengambil makanan tinggi kalori.

Menurut perangkaan kerajaan, lebih dua pertiga penduduk berusia 18 tahun ke atas tidak bersenam. Kira-kira 54 peratus penduduk dewasa pula sama ada obes atau mempunyai berat badan berlebihan, berbanding cuma 24.1 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu. Akibatnya, tujuh daripada 10 orang dewasa di Malaysia ada penyakit kronik.

Diabetes dan kegagalan ginjal tahap akhir ialah masalah kesihatan serius di Malaysia. Dianggarkan 13,000 pesakit buah pinggang menjalani dialisis dan setiap tahun 2,500 pesakit mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir. Satu lagi hal membimbangkan ialah empat daripada lima penghidap diabetes meninggal dunia akibat penyakit jantung (pembunuh utama di negara ini). Enam kes baru strok pula berlaku setiap sejam di Malaysia.

Tinjauan mendapati bagi setiap penghidap diabetes, ada sekurang-kurangnya seorang lagi yang tidak mengetahui dirinya menghidap penyakit ini (oleh itu tidak mendapatkan rawatan) sehingga berlaku komplikasi yang sukar diubati.

Lebih buruk, diabetes Jenis 2 bukan sekadar membabitkan golongan usia pertengahan atau tua, malah kanak-kanak semuda 10 tahun menderita diabetes (Jenis 1 dan Jenis 2) sudah menjadi satu kelaziman di sini.

Doktor mendapati kanak-kanak penghidap diabetes biasanya obes, yang berpunca daripada makan banyak makanan tidak sihat dan menjalani gaya hidup santai. Menurut tinjauan berkenaan, diabetes Jenis 2 lebih ketara di kalangan mereka yang berusia di antara 18 hingga 29 tahun, namun ada juga kanak-kanak menghidapnya.

Menurut perunding kanan kanak kanak, amalan makan yang buruk seperti suka makan burger, nuget, ayam goreng, kentang goreng dan minuman berkarbonat antara faktor menyumbang obesiti. Melakukan kerja sekolah di rumah berjam-jam lamanya, menonton televisyen dan bermain permainan komputer memburukkan lagi keadaan.

Pengambilan gula yang tinggi (juga menyebabkan obesiti) turut menjadi penyebab diabetes. Kita mengambil 26 sudu teh gula sehari dan menjadi pengguna gula kelapan tertinggi di dunia. Di sebalik kempen dijalankan kerajaan untuk mendidik orang ramai mengamalkan hidup sihat, taraf kesihatan penduduk negara ini semakin merosot. Bilangan penghidap bukan penyakit berjangkit seperti diabetes terus meningkat.

Sudah tiba masa kita mencari pendekatan bersifat kerohanian untuk menyelesaikan masalah berkenaan dan jawapannya terletak di dapur setiap rumah. Tidak ada makanan boleh menyaingi makanan dimasak sendiri kerana seseorang berpeluang memilih ramuan menyihatkan. Justeru, dengan tahap kesihatan yang semakin merosot di Malaysia, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan Kementerian Pelajaran memperkenalkan kelas memasak di sekolah tanpa mengira jantina. Pelajar perlu diajar memasak hidangan yang menyihatkan untuk keluarga mereka.

Oleh S M Mohamed Idris
* Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s