Akta undang-undang Islam lindungi isteri ditipu suami

Penat mengerjakan kenduri kahwin masih terasa. Sakit belakang melayan tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah masih segar di fikiran. Malah sebahagian hadiah pemberian kawan dan jiran tetangga masih belum pun disentuh Zainab (bukan nama sebenar). Bukan kerana tidak sudi membukanya, tetapi jumlahnya terlalu banyak.

Selesai kenduri di rumah sebelah Zainab, selang tiga hari, dia dan keluarga bergegas ke sebelah keluarga suami pula. Walaupun jaraknya agak jauh tetapi Zainab terpaksa mengikut rentak suaminya itu.

“Abang orang berniaga. Tak mahu buat lambat sangat. Kalau boleh mahu adakan sekali saja majlis kahwin itu. Lagipun kita buat yang wajib. Haram berlebih-lebihan. Hidup kita sebagai suami isteri bermula lepas berkahwin. Ingat tu?,” pesan suaminya yang dituruti.

Pada telinganya suara itu amat lembut menusuk hingga ke jantung hatinya. Walaupun ibu bapa Zainab berkeras mahu ada majlis secara besar-besaran di hotel lima bintang, sepadan dengan status ibu bapa Zainab bergelar Prof Madya, tetapi Zainab enggan.

“Mak bukan nak berlagak. Tapi kita ramai kenalan dan saudara mara. Kalau kita mampu tidak ada salahnya. Zainal tu pun satu, kenapa macam nak berahsia,” katanya sebulan sebelum majlis berlangsung. Peliknya kata-kata ibu sendiri tidak pula dituruti Zainab. Kata Zainal saja didengari. Tidak pernah dia terfikir suaminya `conman’ atau `kerja bukan-bukan.

Zainab sedar, usianya bukan muda remaja. Kalau memilih sangat nanti tidak kahwin pula. Justeru, cakap suami lebih utama apalagi menyedari betapa hebatnya lelaki itu di matanya.

Zainal sendiri terfikir di mana istimewanya Zainab di mata suami sedangkan dari segi paras rupa, Zainab hanyalah dalam kategori biasa dan bukannya jelita.

Lebih-lebih lagi suaminya pula bukan orang sebarangan tetapi ada kedudukan dan gelaran pula. Kalau tetamu yang datang dengan tangan kosong, bukankah malu sendiri? Begitupun kemanisan hidup bergelar isteri kepada Zainal tidak lama. Siapa sangka, seminggu saja dia dapat berasakan getaran kasih sayang Zainal. Selebihnya dia ditinggalkan bersendirian di rumah.

Zainab mulai sedar Zainal sebenarnya seorang yang bengis. Apa saja yang dilakukan langsung tidak boleh ditegur. Dia merasakan dirinya bagaikan mangsa kepada suami tidak bertanggungjawab. Sama seperti kisah keluarga yang kerap di paparkan di skrin televisyen. Keadaan itu menyebabkan dia perlu ambil tahu kegiatan sebenar suaminya.

“Ini sudah salah. Mana boleh suami bersikap macam itu,” tanya Zainab sendiri di dalam hatinya. Secara diam dia memasang perisik peribadi. Walaupun dia tahu suaminya ahli perniagaan, tetapi niaga apa? Tanyanya dalam hati.

Zainab sebetulnya bukan sebarangan orang. Graduan perundangan ini dalam diam mengupah perisik untuk mengetahui kegiatan suaminya. Menerusi perisikan itulah membawanya bertemu seorang Tan Sri.

Tan Sri muda itu membongkarkan segala-galanya kepada Zainab. Berhubung kerja kotor Zainal yang suka menipu orang lain, menerusi kebijaksanaan dan gelaran.

Zainab hanya mengalirkan air mata mendengar satu persatu cerita yang keluar dari mulut Tan Sri muda itu.

Entah betul atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Tetapi apa yang pasti bila dengar saja Zainal suka bertukar teman wanita, `bab’ itulah yang paling melekat di hatinya untuk terus bertekad mengucapkan selamat tinggal kepada Zainal.

Dia lebih menyesal lagi kerana tidak pernah terfikir untuk mengupah perisik, mengintip kegiatan Zainal sebelum berkahwin.

“Kalau tahu begini kerja abang, saya memang tak mahu kahwin,” kata Zainab `menghentam’ perbuatan terkutuk suaminya itu.

“Suka hati kaulah Zainab. Kalau kau mahu, aku bila-bila masa saja boleh ceraikan kau,” hati Zainab benar-benar remuk ketika Zainal menuturkan kata-kata kesat itu.

Dan hari itu, Mahkamah Syariah menyaksikan leraikan ikatan perkahwinan mereka berdua.

Mujur Zainab mempunyai orang tua yang sangat membantu. Kepada orang tua itulah dia mengadu segala perkara. Malah mereka turut meyakinkan Zainab bahawa lebih baik hidup sendiri daripada bersuamikan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa inilah keputusan paling wajar. Buat apa tunggu lagi? Silap- silap hari bulan kita yang dijualnya. Bagi wanita yang langsung tidak dilayan sewajarnya sebagai manusia, keluarlah dari keadaan itu. Saya bukan menggalakkan perceraian, tetapi kalau suami tidak bertanggungjawab dan menjadikan perkahwinan sebagai topeng untuk mengaburi orang ramai saja, apalah ertinya,” katanya. Apa kata peguam

Akta undang-undang Islam lindungi isteri ditipu suami

BERDASARKAN fakta kes di atas, jelas Zainal mengingkari sabda Rasulullah dalam sebuah hadisnya bermaksud: Daripada Jabir bin Abdullah, katanya, Rasulullah bersabda:

“Takutlah kamu kepada Allah mengenai tanggungjawab terhadap isteri kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hendaklah kamu memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (Ibn Majah).

Dalam hal ini, Zainal wajib berbuat baik kepada Zainab mengikut suruhan Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara makruf (baik). Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Nisa, ayat 19)

Nabi SAW juga mengingatkan suami dalam hal ini melalui sabda Baginda SAW yang bermaksud: ” Sebaikbaik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sehubungan itu, antara peruntukan undangundang untuk melindungi isteri daripada sikap tidak bertanggungjawab suami adalah Seksyen 127 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan sesiapa yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya, sudah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum mengikut bidang kuasa mahkamah.

Selain itu, Seksyen 128 akta yang sama menyatakan suami yang tidak adil kepada isteri sudah melakukan kesalahan dan boleh dihukum.

Mengenai perangai Zainal yang sering bertukar teman wanita, Zainab boleh membuat aduan di pejabat agama berhampiran supaya siasatan dan dakwaan dapat dilakukan. Sekiranya terbukti benar, Zainal boleh disabitkan dengan pelbagai kesalahan dan hukuman antaranya seperti Seksyen 20 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu perbuatan sumbang ataupun Seksyen 27 akta sama bagi kesalahan khalwat.

Bagi kesalahan Zainal yang serius seperti menipu dan menyalahgunakan gelaran, Zainab boleh membuat laporan polis serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bank Negara untuk siasatan terperinci untuk tindakan undang-undang.

Bagi menjamin kebajikan selepas bercerai, Zainab boleh membuat tuntutan harta sepencarian, nafkah dan hak jagaan anakanak mengikut seksyen ditetapkan mengikut Akta Undang-undang Keluarga Islam. Zainab pasti lebih arif berkenaan hak dan tuntutan yang perlu dilakukan, memandangkan beliau mempunyai latar belakang bidang perundangan.

Pengajarannya, suami tidak sepatutnya mencontohi sikap Zainal yang amat tidak bertanggungjawab. Suami perlu ada bertanggungjawab dengan perkahwinan dan menunaikan amanah dipikul.

Islam menegah perbuatan menzalimi wanita sebagai mana firman Allah dalam surah al- Baqarah ayat 231 bermaksud “Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka.” Tambahan lagi, Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud, “Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik- baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok- bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskan kamu akan mematahkan, sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selamanya. Justeru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan)”.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s