Penjagaan Kesihatan Gigi Untuk Warga Tua

Umur lanjut boleh dikategorikan sebagai biologi dan sosial. Seseorang boleh dikatakan berumur bila menjejaki alam persaraan. Kita tidak boleh mengelak daripada mencecah usia tua. Ini tidak bermakna kita mesti kehilangan kesihatan, ketajaman minda dan kebebasan. Tabiat yang terus dilakukan sepanjang hayat membantu warga tua menangani perubahan dalam hidup dan menikmati kehidupan vang sihat serta berkualiti. Rutin memberus dan memflos gigi setiap hari dan berjumpa dengan doktor gigi secara berkala akan memastikan gigi sentiasa sihat.

Pada masa lalu kebanyakan warga tua terpaksa meneruskan kehidupan tanpa gigi dan jarang memanfaatkan perkhidmatan pergigian. Kajian menunjukkan bahawa warga tua hari ini kemungkinan sekali dapat memanfaatkan gigi mereka berbanding generasi terdahulu.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan meningkatnya kesihatan pergigian dikalangan warga tua; pemfluoridaan air, kesedaran awam, kunjungan yang lebih kerap ke doktor gigi, kesihatan yang lebih baik secara keseluruhan dan adanya falsafah baru yang menyatakan bahawa gigi tidak semestinya hilang bila usia semakin meningkat.

PENUAAN DAN KESIHATAN GIGI

Proses penuaan sering mewujudkan perubahan terhadap keadaan gigi, mulut dan gusi. Terdapat dua masalah utama, iaitu karies permukaan akar dan kehausan gigi, yang semakin kerap berlaku bila umur semakin lanjut. Masalah lain yang biasa berlaku dikalangan warga tua ialah kerosakan gigi, penyakit gusi, mulut kering dan kehilangan gigi yang memerlukan gigi palsu.

Biasanya, kaviti dikaitkan dengan kanak-kanak. Namun, kerosakan gigi sebenarnya boleh berlaku di semua peringkat usia, disebabkan pembentukan plak, iaitu lapisan bakteria tanpa warna yang terkumpul pada gigi. Dikalangan kanak-kanak, kaviti menjejaskan permukaan gigi sementara dikalangan orang tua pula, ia lebih membabitkan kerosakan permukaan akar. Gusi mungkin akan menyusut daripada gigi. Proses ini mendedahkan akar gigi kepada plak dan boleh mengakibatkan kerosakan. Kaviti akar lazimnya boleh ditemui dikalangan mereka yang susut gusi, satu keadaan yang berlaku apabila usia meningkat tua. Kekerapan berlakunya karies permukaan akar adalah disebabkan akar semakin terdedah di dalam mulut, dan bukan disebabkan kesan penuaan.

Selain itu, tampalan yang sudah lama boleh menjadi lemah dan retak, membolehkan bakteria terkumpul di sekeliling tepi tampalan tersebut, mengakibatkan kaviti.

Kehausan gigi pada warga tua wujud dalam dua bentuk; atrisi dan lelasan. Atrisi adalah kehausan disebabkan sentuhan gigi dengan gigi, satu fenomena semula jadi bagi semua permukaan gigi yang bersentuhan antara satu sama lain. Kaviti pelelasan’dikalangan warga tua biasanya disebabkan penggunaan berus gigi yang kurang wajar, seperti memberus gigi secara mengufuk, memberus gigi terlalu kuat, bulu berus gigi yang terlalu keras, terlalu kerap memberus gigi dan terlalu banyak menggunakan ubat gigi yang melelaskan.

Perhatian yang lebih perlu diberikan dalam penjagaan gigi apabila usia semakin meningkat. Pembentukan plak semakin cepat apabila semakin meningkat umur kita. Gigi juga boleh bertukar warna menjadi lebih keruh disebabkan perubahan dentin.

Periodontis, atau penyakit gusi lewat, adalah punca utama berlakunya kehilangan gigi yang boleh dielakkan dikalangan warga tua. Tanda-tandanya termasuk gusi yang berdarah semasa memberus gigi, gusi merah atau bengkak, gigi yang menjadi longgar atau senget dan bau mulut yang kurang menyenangkan atau rasa tidak enak yang berterusan di dalam mulut.

Mulut kering disebabkan kurangnya pengeluaran air liur dan boleh menyebabkan kerosakan gigi. Aliran air liur yang berkurangan menjejaskan gigi kerana air liur berperanan sebagai ejen pembersih di dalam mulut untuk mencuci asid yang dihasilkan oleh plak. Bila mulut tidak dibasahkan dan dilembapkan secukupnya oleh air liur, plak terbentuk dengan lebih cepat lagi dan menyebabkan kaviti. Penyakit gusi lebih mudah menimpa kerana bakteria yang ada dalam plak boleh bertindak balas dengan gula dan kanji untuk menghasilkan toksin yang merengsakan gusi dan memisahkan tisu gusi daripada gigi. Orang yang mengalami kekeringan mulut perlu memberus gigi lebih kerap dan mengelakkan makanan atau minuman yang banyak mengandungi gula. Ini kerana mereka tidak mempunyai air liur yang cukup untuk menghadam gula tersebut.

Warga tua yang tidak menemui doktor gigi secara berkala menghadapi risiko ditimpa masalah kesihatan gigi.

RAWATAN PERGIGIAN UNTUK WARGA TUA

Semakin meningkat usia, gigi semakin perlu dijaga. Oleh itu, rawatan pergigian yang lebih canggih diperlukan. Untuk menangani rawatan kesihatan gigi, kita perlu mengambil kira masalah kesihatan warga tua yang unik dan menyesuaikan kaedah rawatan yang ada.

Ramai orang tidak mengambil berat tentang kesihatan mulut mereka dan hanya terasa kepentingan gigi selepas ia tiada. Kekurangan gigi mungkin menyekat mereka daripada memakan makanan yang seimbang. Ramai warga tua yang memakai dentur kerana kurang berpengetahuan tentang langkahlangkah bercorak pencegahan ketika mreka muda. Dahulu, doktor gigi lebih cenderung untuk mencabut gigi daripada menyelamatkannya. Penggunaan ubat gigi berfluorida dan ubat cuci mulut setiap hari sebagaimana yang disyorkan oleh doktor gigi boleh menguatkan enamel dan mengurangkan kerosakan gigi, terutama di sekeliling sebarang akar yang terdedah.

Rawatan periodontal (gusi) boleh meredakan kesensitifan, kesusutan dan pendarahan gusi. Rawatan ini juga boleh menguatkan tulang yang menampung gigi.

Implan dan rawatan pemulihan lain seperti korona dan jambatan gigi disediakan untuk warga tua yang sihat serta berdaya menjalani prosedur yang lama dan terperinci. Dengan menampal gigi atau mengantikan gigi yang berpenyakit, warga tua masih boleh terus memiliki permukaan mengunyah serta jejaran menggigit yang baik. Ini bermakna, mereka boleh mengunyah dan makan dengan selesa serta berasa vakin untuk tersenyum.

PENJAGAAN KESIHATAN GIGI SENDIRI

Untuk pesakit yang masih mempunyai gigi sendiri, penghapusan plak secara efektif adalah kaedah asas dan penting di rumah. Penghapusan plak bukan sahaja mengelakkan karies dan penyakit periodontal, malahan membuatkan anda merasa lebih sejahtera dan memastikan mulut yang berasa selesa serta nyaman sentiasa.

Kaedah yang lebih baik ialah memberus secara membulat, dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan menekannya sedikit pada gigi. Warga tua, sama ada yang sihat atau sebaliknya, sering memerlukan alat khusus untuk menjaga kebersihan gigi. Ramai dikalangan mereka terbatas dalam usaha mengawal plak kerana pergerakan fizikal yang kurang mengizinkan. Kini, terdapat berus gigi elektrik yang boleh digunakan, terutama untuk mereka yang pergerakan fizikalnya kurang lancar. Berus gigi elektrik biasanya menyediakan pemegang besar dan tidak banyak memerlukan pergerakan pergelangan tangan. Atau pemegang berus gigi boleh dibesarkan dengan mengikat berus gigi tersebut pada penggulung rambut span.

Senyuman tidak semestinya hilang seri bila usia meningkat tua. Proses penuaan tidak secara automatik mengakibatkan kehilangan gigi. Warga tua yang secara aktif berusaha mengekalkan gigi mereka di saat umur mencecah tua sebenarnya melakukan langkah positif dalam memastikan kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan diri di masa depan. Gabungan rawatan gigi bercorak pencegahan dan kesedaran awam sepatutnya menghasilkan kesihatan yang lebih baik dan senyuman yang lebih berseri. Matlamat Majlis Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan kadar penduduk dunia yang kehilangan kesemua giginya pada angka tidak melebihi 20 peratus sebenarnya boleh dicapai.

Okay, senyum-senyum selalu!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s