Kelebihan manusia sebagai khalifah

Kelebihan manusia sebagai khalifah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman
kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di
bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan
berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu
orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan),
pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu? Tuhan
berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak
mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Ayat al-Quran ini dikemukakan dalam bentuk dialog bertujuan mendekatkan
kisah itu dengan cara memberikan pemahaman mengenai manusia serta
keistimewaan khusus dimiliki mereka. Allah SWT memberitahu malaikat-Nya
iaitu Dia akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi.
Mendengar kenyataan inilah malaikat menjadi hairan kemudian bertanya
bagaimana Engkau menciptakan sejenis makhluk yang melakukan kerosakan di
muka bumi ini sedangkan tiada batasan yang menghalang mereka daripada
melakukan sesuatu perkara.

Hikmah diciptakan makhluk

Allah SWT juga turut memberikan kurniaan kepada malaikat dengan
menjelaskan hikmah diciptakan makhluk yang satu ini kepada mereka. Ahli
tafsir berpendapat khalifah dalam ayat ini bermaksud tugas pengganti
kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya dalam kalangan manusia.

Allah SWT mencipta manusia daripada Adam dan mengurniakan kepadanya akal
fikiran yang dapat memahami semua perkara, tetapi kehebatan manusia tidak
dikira kepada kekuatan zahiriah saja, juga dalam mengenali pencipta yang
mengangkat mereka dan memberi kedudukan tinggi iaitu Allah SWT.

Manusia seperti inilah apabila mengenal Allah SWT, tunduk kepada-Nya dan
membuka kehidupan ini dengan nama-Nya. Ini antara hikmah kewujudan manusia
di dunia ini. Kisah kehidupan manusia boleh dilihat dan difahami dari
pelbagai sudut seperti nikmat yang diperoleh sejak kejadian mereka lagi.

Hakikatnya, sebutir nasi yang dimakan manusia adalah hasil rangkuman
kerja makhluk Allah SWT yang berada di langit dan bumi. Tanah, angin dan
hujan yang turun serta cahaya matahari saling bekerjasama menyiapkan
makanan, pakaian dan ubat-ubatan yang diperlukan manusia.

Itulah rahsia pembahagian dan pecahan yang banyak yang disebut oleh al-
Quran yang membayangkan kehebatan alam ciptaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi angin yang menerbangkan dan
menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan
dan penaburan yang sesungguhnya; Dan awan yang membawa dan mengangkut
muatannya (ke tempat yang dikehendaki); Dan kapal-kapal yang belayar laju
dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; Dan malaikat-malaikat yang
membahagibahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;
(Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada
kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar.” (Surah az-Zaariyaat, ayat 1-5)

Manusia diberi kelebihan, kenikmatan

Manusia adalah makhluk mulia yang diberi kelebihan dan kenikmatan.
Adalah menjadi hak Allah SWT untuk mencela manusia yang tidak menghargai
nikmat kurniaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa
Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang
ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir
dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah
mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan
atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah
yang menerangi kebenaran.” (Surah Luqman, ayat 20)

Ini adalah antara sudut kurniaan Allah SWT untuk manusia, manakala satu
sudut lagi ialah dalam bentuk rohani atau spiritual iaitu manusia adalah
tiupan daripada roh Allah yang Maha Tinggi. Begitulah permulaan ciptaan
Adam dan begitulah juga permulaan janin dalam perut ibu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila Aku sempurnakan
kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka
hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Surah al-Hijr, ayat 29)

Al-Quran memaparkan penghinaan kepada Adam iaitu manusia pertama di sisi
Allah SWT adalah satu bentuk penderhakaan terhadap-Nya. Tanpa mengira sama
ada iblis berasal dari pada malaikat atau jin, hasilnya tetap sama.

Sesiapa yang enggan sujud iaitu sujud penghormatan kepada Adam, maka
makhluk itu telah melakukan satu kesalahan yang besar kepada Allah SWT.
Ini antara kelebihan lain manusia dan ia menggambarkan kedudukannya di
sisi Tuhan iaitu penerimaan taubat seorang hamba kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi
ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh,
kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.”
(Surah Taha, ayat 82)

Sifat buruk patut dijauhi

Al-Quran juga terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai sifat buruk
yang sepatutnya dijauhi manusia antaranya mementingkan diri yang akhirnya
akan melahirkan penyakit rakus, tamak, melampaui batas dan mengambil hak
orang lain.

Selain itu, mereka yang mempunyai sifat buruk juga akan menjadi sombong
apabila dikurniakan kekayaan, zalim apabila ada kuasa, putus asa apabila
gagal serta tewas dalam mengawal hawa nafsu.

Tetapi istimewanya manusia ini setelah al-Quran menyatakan penyakit yang
mendatangi manusia, al-Quran juga menyediakan penawarnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecuali orang yang beriman dan beramal
soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan
dengan sabar.” (Surah al-‘Asr, ayat 3)

Begitulah sebahagian pandangan al-Quran terhadap manusia mengenai
keistimewaan dan kekuatan ada pada mereka. Apa yang jelas, ketundukan
manusia akan membawa kepada kedudukan tertinggi manakala kekufuran dan
keingkaran menempatkan mereka di tempat yang serendah-rendahnya.

 

~ Berita Harian

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s