Amalan Bertungku Bantu Pulihkan Perjalanan Darah

Amalan Bertungku Bantu Pulihkan Perjalanan Darah

Sebenarnya bertungku mempunyai banyak kebaikan. Antaranya bertungku elok untuk membetulkan perjalanan darah, memanaskan badan si ibu serta merawat beberapa penyakit. Malah ia juga dapat memecahkan darah beku.

Terdapat dua kaedah bertungku; Tungku refleksiologi yang menggunakan batu gunung berapi dan bertungku badan menggunakan batu sungai. Tungku refleksiologi diletakkan di tapak kaki kerana tapak kaki merupakan pintu kepada organ-organ penting badan kita. Dengan meletakkan tungku pada tempat yang betul ia dapat merawat rahim dan organ badan yang lain.
Bertungku
Selalunya bertungku dilakukan setelah ibu selesai berurut di awal pagi dan di waktu petang sebelum mandi selama 45 minit. Bagi yang bersalin secara pembedahan, tunggulah luka anda pulih sebelum menjalani rawatan bertungku.

Cara-cara Bertungku

Batu tungku dipanaskan lebih kurang selama 30 minit. Setelah itu, dibalut dengan beberapa lapisan kain yang telah diletakkan daun mengkudu. Setelah dibalut dengan rapi, hujungnya diikat dengan ketat supaya tidak terburai.

Bahagian Badan Yang Perlu Di Tungku

Bahagian peranakan ditungku bagi mengecutkan peranakan yang membesar sewaktu mengandung. Bertungku di bahagian ini perlu berhati-hati. Bahagian badan yang perlu ditungku ialah bahagian dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungkuk dibahagian ini dilakukan ketika ibu terbaring.

Tungku diletakkan disekitar buah dada dengan perlahan-lahan supaya darah mengalir dengan baik, mebolehkan air susu keluar lancar. Selepas itu berpindah ke bahagian ulu hati. Tujuannya untuk memecahkan angin di bahagaian perut dan ulu hati. Kemudian beralih ke bahagian kanan ketiak kanan dan kiri. Setelah itu barulah ke bahagian belikat kanan dan kiri untuk beberapa minit.

Di bahagian tengkuk, bertungku dilakukan dengan meletakkan tungku di bawah tengkuk seperti menggunakan bantal. Bahagian ini perlu ditungku untuk memulihkan perjalanan darah di bahagian kepala dan leher.

Di bahagian bawah pinggang pula, anda perlu menungku bahagian betis, peha, punggung, pinggang, pelipat, pergelangan kaki dan tapak kaki. Ia memakan masa selama 15-20 minit. Pada bahagian terakhir, iaitu di tapak kaki, kaki dirapatkan menjadi satu kemudian digerakkan ke hadapan dan kebelakang, atau dengan menggolek-golekkan tungku kehadapan dan ke belakang sekiranya tungku itu berbentuk bulat atau bujur. Biarkan tungku berada di bahagian ini sehingga sejuk.

Waktu yang sesuai untuk bertungku ialah pada waktu pagi, iaitu sebelum matahari naik dan pada waktu petang, selepas waktu asar. Tetapi bertungku boleh juga dilakukan sewaktu badan terasa sejuk-sejuk atau terasa tidak selesa akibat perjalanan darah tidak lancar. Tungku perlu dibakar semula sekiranya telah sejuk.

Elak sikap suka menahan kencing

Elak sikap suka menahan kencing
Saya kerap buang air kecil, iaitu lebih 10 kali sehari. Kadangkala, saya berasa sengal dan sakit di bawah pusat. Adakah masalah ini serius dan apa perlu saya lakukan?

Jawapan

Perasaan kerap membuang air kecil berlaku apabila pundi kencing penuh. Jika tiada niat membuang air kecil, minda akan mengarahkan kawalan dan perasaan untuk buang air akan lega seketika.

Apabila ada hajat membuang air kecil, perbuatan itu akan dilakukan tanpa masalah. Jika hajat itu dikawal, pundi kencing mengalami tekanan dan secara terdesak mesej ingin membuang air berlaku dan dalam keadaan tertekan, air kencing terpaksa dikeluarkan untuk mendapat kelegaan.

Apa yang berlaku selepas itu ialah, perasaan ingin membuang air secara terdesak akan berulang dalam masa pendek dan air kencing yang keluar hanya sedikit.

Ini berlaku kerana pundi kencing yang pada peringkat awal menjadi tertekan akibat menahan kencing akan menjadi lega. Namun, tekanan otot Trigon pundi kencing membuatkan perasaan ingin membuang air kecil berlaku, walaupun pundi kencing itu tidak penuh.

Jika amalan ini kerap dilakukan, lambat-laun pundi kencing akan meragam. Pada waktu sama, perasaan senak di bawah ‘ari-ari’ boleh berlaku.

Jika gemar menahan kencing, lambat-laun pundi kencing mengalami tekanan dan kerap membuang air kecil sedikit demi sedikit. Anda perlu merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan awal.

Oleh Dr Ismail Thamby

Penyakit kelamin,segeralah beritahu pasangan anda

Pelaku seks bebas, sama ada melanggan pekerja seks atau `bersama’ teman seperti kekasih, hanya akan mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Tidak kira hubungan dilakukan bersama pasangan masing-masing atau pekerja seks, masalah seperti penyakit kelamin tidak dapat dihindari jika tersilap langkah.

Semakin dunia menginjak moden, saya percaya ramai lelaki atau wanita berumur di bawah 30 tahun akan berfikir, hubungan dengan teman dan bukan pekerja seks akan membuatkan anda bebas daripada penyakit kelamin. Namun, ia salah.

Saya ingin menceritakan simptom penyakit kelamin, di mana pelaku seks bebas sering berasa sakit di kemaluannya seperti kepedihan ketika buang air kecil dan cecair menyerupai nanah keluar daripada salur kencing.

Salur kencing menjadi radang akibat jangkitan seks bebas dan ada kemungkinan jangkitan itu merebak ke bahagian dalaman dan menjejaskan sistem reproduktif.

Jika ini berlaku, pesakit boleh menjadi mandul serta salur sperma rosak. Jika mengalami jangkitan penyakit kelamin, anda perlu menjalani pemeriksaan dan mendapat rawatan sewajarnya.

Anda perlu menjalani ujian darah untuk mengesan jika dijangkiti penyakit kelamin lain seperti herpes, sifilis, HIV, chlamydia dan gonorrhea.

Jangan menyangka jika hubungan dilakukan dengan pasangan dan bukan pekerja seks, anda dapat menghindarkan penyakit kelamin. Sebaik-baiknya, gunakan perlindungan seperti kondom ketika melakukan hubungan dengan pasangan.

Jika mengalami penyakit kelamin, segeralah beritahu pasangan anda dan minta dia segera melakukan ujian kesihatan.

Oleh Dr Ismail Thamby

Virus punca sakit tekak

Sakit tekak adalah simptom yang membabitkan kawasan sekitar tonsil dan farinks. Sakit tekak dikenali sebagai pharyngitis jika ia membabitkan bahagian farinks dan tonsillitis jika membabitkan kedua-dua bahagian tonsil. Apabila membabitkan kedua-dua bahagian farinks dan tonsil, ia dikenali sebagai pharyngotonsillitis.

Pharynx adalah sebahagian tekak yang terletak di antara mulut dan peti larinks atau suara. Ia selalunya dikaitkan dengan selesema biasa atau influenza. Biasanya, ia sembuh tanpa komplikasi tetapi di dalam sesetengah kes, ia berkembang menjadi penyakit serius.

Sakit tekak berlaku apabila radang terjadi membabitkan membran mukus yang melapisi farinks atau tonsil. Ia mengakibatkan rasa tidak selesa, sakit atau gatal pada bahagian tekak. Kesakitan sewaktu menelan adalah simptom lain yang biasanya berlaku ketika sakit tekak.

Penyakit ini sangat mudah berlaku, terutama di kalangan kanak-kanak. Biasanya, sakit lebih teruk pada waktu pagi dan kesakitan berkurang keesokannya.

Sakit tekak yang tidak rumit biasanya berlanjutan sehingga tiga hari manakala yang teruk berlaku lebih lama, mungkin membabitkan gejala lebih serius seperti tonsilitis atau laryngitis (radang di bahagian larinks atau peti suara).

Penyebab sakit tekak

Biasanya disebabkan jangkitan virus atau bakteria. Bakteria memberi tindak balas baik kepada rawatan antibiotik, manakala virus biasanya sembuh dengan sendiri dalam jangka masa tertentu. Sakit tekak biasanya disebarkan melalui perkongsian minuman, bercium, batuk, menghembus hidung dan bersin.

Punca sakit tekak

* Jangkitan bakteria – disebabkan oleh bakteria streptococcal. Ia membawa komplikasi demam reumatik yang boleh mencetuskan masalah injap jantung atau radang buah pinggang. Bakteria lain yang boleh menyebabkan sakit tekak adalah gonorea, iaitu sejenis jangkitan kelamin.

* Jangkitan virus – kebanyakan sakit tekak disebabkan jangkitan virus dan ada pelbagai jenis yang menyebabkan ia sembuh dengan sendiri dalam masa beberapa hari, bergantung pada jenis virus terbabit. Virus terkenal adalah Epstein-Barr, yang menyebabkan demam dan bengkak di kelenjar pada leher.

* Tonsilitis – ia adalah keradangan tonsil. Tonsilitis kronik berlaku apabila berlaku banyak kerosakan kepada tonsil. Dalam keadaan ini, tekak berasa sakit pada kebanyakan masa selain sering disertai nafas berbau. Demam di bahagian kelenjar pada leher juga boleh menyebabkan masalah sakit tekak.

Kemungkinan punca lain

Penyakit campak (measles) juga boleh menyebabkan sakit tekak pada sesetengah keadaan. Bernafas melalui mulut boleh menyebabkan tekak kering dan menyakitkan. Dalam beberapa kes, sakit tekak mungkin tanda kanser kerongkong (biasanya di kalangan perokok) atau Aids alahan.

Alahan selalunya tidak menyebabkan sakit tekak secara tiba-tiba. Bagaimanapun, boleh menyebabkan kerengsaan tekak kronik yang ringan.

Pembedahan seperti pembuangan tonsil (tonsillectomy) boleh membawa kepada sakit tekak dan penggunaan tiub ketika anastesia untuk pembedahan juga boleh menyebabkan sakit tekak selepas pembedahan.

Tanda lain bagi sakit tekak

* Sakit di tekak dan adakala merebak ke telinga.

* Kelenjar limfa membengkak di bawah rahang dan leher. Jika sakit tekak disebabkan virus Coxsackie, lepuh kecil boleh kelihatan pada tonsil dan lelangit lembut (soft palate).

* Jika sakit tekak disebabkan jangkitan streptococcal, tonsil sering membengkak dan bersalut putih. Demam, sakit kepala dan muntah serta kesukaran membuka mulut selain suara menjadi serak.

Rawatan

Antara rawatan yang boleh dicuba di rumah sebelum berjumpa doktor ialah banyak minum air suam, berkumur dengan air garam dan menghisap ubatan lozenges, di samping pengambilan ubat demam atau tahan sakit (painkiller). Bagaimanapun, jika sakit tekak berterusan, segera berjumpa doktor untuk rawatan.

Doktor akan memeriksa sama ada antibiotik diperlukan untuk rawatan atau tidak dan ubatan sampingan juga akan dibekalkan.

Begitu pun, sakit tekak yang berkait dengan demam kuat dan kesukaran menelan mungkin memerlukan kemasukan ke wad untuk antibiotik intravena.

Oleh Dr Samri Bokari

Rahsia Panjang Usia dan Sihat 117 Tahun Pak Man

Ingatan dan memori Abdul Rahman Abu Bakar masih utuh dan segar biarpun mencecah usia 117 tahun.  Usianya mungkin lanjut, tetapi keinginan untuk bersama wanita tetap kuat, bahkan mungkin dapat mengatasi keupayaan sesetengah lelaki muda yang lain.

Keistimewaan inilah dimiliki Abdul Rahman atau lebih dikenali Pak Man dari Kampung Denger, yang masih kuat dan sihat. Pak Man juga boleh bertutur dengan baik berbeza dengan kebanyakan rakan apabila mencapai usia emas.

 Pak Man dari Kampung Denger

Paling menarik Pak Man pernah menikahi 8 isteri dengan isteri pertama dikahwininya ketika berusia 20 tahun, manakala isteri kelapan ketika berumur 80 tahun.

Pak Man bijak mengemudi rumah tangga dengan semua isteri yang pernah dikahwininya, apabila mampu mengawal kehidupan berkeluarga tanpa sebarang sengketa dengan pasangannya.

Ketika ditemui di rumahnya semalam, Pak Man mengakui perlu ada rahsia tersendiri untuk terus kekal sihat dan mempunyai isteri sehingga sekarang, meskipun sudah agak berusia.

Satu-satunya isteri masih bersamanya ialah, Saadiah Hamat, 71, manakala yang lain sudah meninggal dunia.

“Isteri yang lain meninggal kerana sakit tua dan hasil perkahwinan saya dikurniakan lapan anak dan 25 cucu,” katanya.

Dilahirkan pada 1895, Abdul Rahman yang ketika muda bekerja sebagai tukang rumah dan melalui kehidupan zaman penjajah bersyukur kerana masih dilanjutkan usia dan dapat menikmati segala kemudahan disediakan kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang berumahtangga hanya sekali dapat berkongsi hidup dengan tiga isteri serentak.

“Saya bersyukur dengan kesihatan dan rezeki kurniaan Allah dan gembira melihat anak berjaya dalam hidup,” katanya.

Abdul Rahman mampu mengaji al-Quran, membaca akhbar serta buku tanpa menggunakan kaca mata dan penglihatan matanya masih baik.

Berbicara tentang rahsia menjaga kesihatan, Pak Man memberitahu, ia bermula dengan amalan pemakanan yang baik. Sedari kecil Pak Man tidak suka makan makanan berlemak atau proses, sebaliknya gemar memakan sayur dan air suam.

“Walaupun pernah menghisap rokok, tetapi selepas usia 50 tahun, saya cuba berhenti merokok.

Pak Man juga disahkan doktor tidak mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis seperti yang lazim dialami oleh orang tua sebayanya.

Jadi, amalkan petua Pak Man yang suka makan sayur dan air suam untuk kekal sihat. Jauhkan makanan berlemak.

Penjagaan Kesihatan Gigi Untuk Warga Tua

Umur lanjut boleh dikategorikan sebagai biologi dan sosial. Seseorang boleh dikatakan berumur bila menjejaki alam persaraan. Kita tidak boleh mengelak daripada mencecah usia tua. Ini tidak bermakna kita mesti kehilangan kesihatan, ketajaman minda dan kebebasan. Tabiat yang terus dilakukan sepanjang hayat membantu warga tua menangani perubahan dalam hidup dan menikmati kehidupan vang sihat serta berkualiti. Rutin memberus dan memflos gigi setiap hari dan berjumpa dengan doktor gigi secara berkala akan memastikan gigi sentiasa sihat.

Pada masa lalu kebanyakan warga tua terpaksa meneruskan kehidupan tanpa gigi dan jarang memanfaatkan perkhidmatan pergigian. Kajian menunjukkan bahawa warga tua hari ini kemungkinan sekali dapat memanfaatkan gigi mereka berbanding generasi terdahulu.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan meningkatnya kesihatan pergigian dikalangan warga tua; pemfluoridaan air, kesedaran awam, kunjungan yang lebih kerap ke doktor gigi, kesihatan yang lebih baik secara keseluruhan dan adanya falsafah baru yang menyatakan bahawa gigi tidak semestinya hilang bila usia semakin meningkat.

PENUAAN DAN KESIHATAN GIGI

Proses penuaan sering mewujudkan perubahan terhadap keadaan gigi, mulut dan gusi. Terdapat dua masalah utama, iaitu karies permukaan akar dan kehausan gigi, yang semakin kerap berlaku bila umur semakin lanjut. Masalah lain yang biasa berlaku dikalangan warga tua ialah kerosakan gigi, penyakit gusi, mulut kering dan kehilangan gigi yang memerlukan gigi palsu.

Biasanya, kaviti dikaitkan dengan kanak-kanak. Namun, kerosakan gigi sebenarnya boleh berlaku di semua peringkat usia, disebabkan pembentukan plak, iaitu lapisan bakteria tanpa warna yang terkumpul pada gigi. Dikalangan kanak-kanak, kaviti menjejaskan permukaan gigi sementara dikalangan orang tua pula, ia lebih membabitkan kerosakan permukaan akar. Gusi mungkin akan menyusut daripada gigi. Proses ini mendedahkan akar gigi kepada plak dan boleh mengakibatkan kerosakan. Kaviti akar lazimnya boleh ditemui dikalangan mereka yang susut gusi, satu keadaan yang berlaku apabila usia meningkat tua. Kekerapan berlakunya karies permukaan akar adalah disebabkan akar semakin terdedah di dalam mulut, dan bukan disebabkan kesan penuaan.

Selain itu, tampalan yang sudah lama boleh menjadi lemah dan retak, membolehkan bakteria terkumpul di sekeliling tepi tampalan tersebut, mengakibatkan kaviti.

Kehausan gigi pada warga tua wujud dalam dua bentuk; atrisi dan lelasan. Atrisi adalah kehausan disebabkan sentuhan gigi dengan gigi, satu fenomena semula jadi bagi semua permukaan gigi yang bersentuhan antara satu sama lain. Kaviti pelelasan’dikalangan warga tua biasanya disebabkan penggunaan berus gigi yang kurang wajar, seperti memberus gigi secara mengufuk, memberus gigi terlalu kuat, bulu berus gigi yang terlalu keras, terlalu kerap memberus gigi dan terlalu banyak menggunakan ubat gigi yang melelaskan.

Perhatian yang lebih perlu diberikan dalam penjagaan gigi apabila usia semakin meningkat. Pembentukan plak semakin cepat apabila semakin meningkat umur kita. Gigi juga boleh bertukar warna menjadi lebih keruh disebabkan perubahan dentin.

Periodontis, atau penyakit gusi lewat, adalah punca utama berlakunya kehilangan gigi yang boleh dielakkan dikalangan warga tua. Tanda-tandanya termasuk gusi yang berdarah semasa memberus gigi, gusi merah atau bengkak, gigi yang menjadi longgar atau senget dan bau mulut yang kurang menyenangkan atau rasa tidak enak yang berterusan di dalam mulut.

Mulut kering disebabkan kurangnya pengeluaran air liur dan boleh menyebabkan kerosakan gigi. Aliran air liur yang berkurangan menjejaskan gigi kerana air liur berperanan sebagai ejen pembersih di dalam mulut untuk mencuci asid yang dihasilkan oleh plak. Bila mulut tidak dibasahkan dan dilembapkan secukupnya oleh air liur, plak terbentuk dengan lebih cepat lagi dan menyebabkan kaviti. Penyakit gusi lebih mudah menimpa kerana bakteria yang ada dalam plak boleh bertindak balas dengan gula dan kanji untuk menghasilkan toksin yang merengsakan gusi dan memisahkan tisu gusi daripada gigi. Orang yang mengalami kekeringan mulut perlu memberus gigi lebih kerap dan mengelakkan makanan atau minuman yang banyak mengandungi gula. Ini kerana mereka tidak mempunyai air liur yang cukup untuk menghadam gula tersebut.

Warga tua yang tidak menemui doktor gigi secara berkala menghadapi risiko ditimpa masalah kesihatan gigi.

RAWATAN PERGIGIAN UNTUK WARGA TUA

Semakin meningkat usia, gigi semakin perlu dijaga. Oleh itu, rawatan pergigian yang lebih canggih diperlukan. Untuk menangani rawatan kesihatan gigi, kita perlu mengambil kira masalah kesihatan warga tua yang unik dan menyesuaikan kaedah rawatan yang ada.

Ramai orang tidak mengambil berat tentang kesihatan mulut mereka dan hanya terasa kepentingan gigi selepas ia tiada. Kekurangan gigi mungkin menyekat mereka daripada memakan makanan yang seimbang. Ramai warga tua yang memakai dentur kerana kurang berpengetahuan tentang langkahlangkah bercorak pencegahan ketika mreka muda. Dahulu, doktor gigi lebih cenderung untuk mencabut gigi daripada menyelamatkannya. Penggunaan ubat gigi berfluorida dan ubat cuci mulut setiap hari sebagaimana yang disyorkan oleh doktor gigi boleh menguatkan enamel dan mengurangkan kerosakan gigi, terutama di sekeliling sebarang akar yang terdedah.

Rawatan periodontal (gusi) boleh meredakan kesensitifan, kesusutan dan pendarahan gusi. Rawatan ini juga boleh menguatkan tulang yang menampung gigi.

Implan dan rawatan pemulihan lain seperti korona dan jambatan gigi disediakan untuk warga tua yang sihat serta berdaya menjalani prosedur yang lama dan terperinci. Dengan menampal gigi atau mengantikan gigi yang berpenyakit, warga tua masih boleh terus memiliki permukaan mengunyah serta jejaran menggigit yang baik. Ini bermakna, mereka boleh mengunyah dan makan dengan selesa serta berasa vakin untuk tersenyum.

PENJAGAAN KESIHATAN GIGI SENDIRI

Untuk pesakit yang masih mempunyai gigi sendiri, penghapusan plak secara efektif adalah kaedah asas dan penting di rumah. Penghapusan plak bukan sahaja mengelakkan karies dan penyakit periodontal, malahan membuatkan anda merasa lebih sejahtera dan memastikan mulut yang berasa selesa serta nyaman sentiasa.

Kaedah yang lebih baik ialah memberus secara membulat, dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan menekannya sedikit pada gigi. Warga tua, sama ada yang sihat atau sebaliknya, sering memerlukan alat khusus untuk menjaga kebersihan gigi. Ramai dikalangan mereka terbatas dalam usaha mengawal plak kerana pergerakan fizikal yang kurang mengizinkan. Kini, terdapat berus gigi elektrik yang boleh digunakan, terutama untuk mereka yang pergerakan fizikalnya kurang lancar. Berus gigi elektrik biasanya menyediakan pemegang besar dan tidak banyak memerlukan pergerakan pergelangan tangan. Atau pemegang berus gigi boleh dibesarkan dengan mengikat berus gigi tersebut pada penggulung rambut span.

Senyuman tidak semestinya hilang seri bila usia meningkat tua. Proses penuaan tidak secara automatik mengakibatkan kehilangan gigi. Warga tua yang secara aktif berusaha mengekalkan gigi mereka di saat umur mencecah tua sebenarnya melakukan langkah positif dalam memastikan kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan diri di masa depan. Gabungan rawatan gigi bercorak pencegahan dan kesedaran awam sepatutnya menghasilkan kesihatan yang lebih baik dan senyuman yang lebih berseri. Matlamat Majlis Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengurangkan kadar penduduk dunia yang kehilangan kesemua giginya pada angka tidak melebihi 20 peratus sebenarnya boleh dicapai.

Okay, senyum-senyum selalu!!

Produk Dr Jism dapat pengiktirafan dunia

Dunia bergerak pantas malah kecanggihan teknologi hanya memerlukan anda menyentuh hujung jari untuk mendapatkan sesuatu.

Namun, dalam kemodenan yang tidak mampu disekat itu, ramai terlupa bahawa tubuh memerlukan penjagaan untuk memastikan kita hidup sihat dan sejahtera. Akibatnya, ramai yang menderita akibat kencing manis, darah tinggi, kolesterol, sakit jantung, gout, migran dan sakit lutut.

Al Jabbar Group, syarikat pengeluar produk kesihatan milik penuh Bumiputera menyedari hakikat itu dan memasarkan produk Dr Jism dan Family Dr. Terapi yang dikeluarkan lebih murah berbanding produk lain, tetapi memiliki mutu lebih tinggi berbanding pesaingnya.

Dr Jism mendapat pengiktirafan antarabangsa bagi memberi rawatan moden terhadap pelbagai penyakit dan berfungsi memecahkan lemak dalam salur darah. Terapi itu memiliki beberapa fungsi bagi membantu rawatan, antaranya voltan tinggi, voltan negatif, tenaga gelombang ringan, voltan rendah dan pengionan negatif.

Kaedah rawatan terapi elektrostatik amat mudah kerana ia menggunakan getaran elektrik bagi melancar serta memecahkan lemak pada kapilari darah. Dalam testimoni terhadap pesakit yang menderita beberapa jenis penyakit mendapati kehidupan mereka lebih sempurna selepas menggunakan Dr Jism.

Produk Dr Jism

Jika sebelumnya, kadar kolesterol tinggi, selepas mendapat rawatan mesin terapi Dr Jism, jumlah kolesterol dalam darah menurun. Malah, pesakit berkaitan dengan saraf tidak lagi menghadapi masalah tangan menggeletar, malah dapat tidur nyenyak selepas menggunakan Dr Jism.

Begitu juga testimoni bagi pesakit yang menghadapi masalah gula dalam darah. Selepas beberapa kali menggunakan mesin terapi ini, bacaan gula menurun dan tekanan darah kembali stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Jabbar Group, Mohd Kamaruzaman Che Hussain, berkata pihaknya yakin memasarkan produk itu di pasaran kerana mendapat pengiktirafan antarabangsa selain beberapa testimoni yang dilakukan di beberapa negara maju.

“Kami amat mementingkan soal keselamatan pesakit dan setakat ini, mereka yang menggunakan Dr Jism berpuas hati kerana dapat menjalani kehidupan lebih sempurna,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk kesihatan Al Jabbar, hubungi talian 016-9078023, 013-3137288 dan 012-9755218.

Mereka juga boleh layari laman web, http://www.aljabbargroup.com.

Selain itu mereka boleh melihat sendiri keluaran Al Jabbar, di No 12, Jalan Prima Saujana 1/1A, Taman Prima Saujana, Seksyen 1, 43000 Kajang, Selangor.

Bilik pameran Al Jabbar dibuka jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan menjual pelbagai produk kesihatan, antaranya Dr Jism, Family Dr, Air Aura, Dr Jabbar, Master Filter dan Tonik Hati.