Punca Bayi Tertidur Semasa Menyusu

Bayi yang kerap tertidur sewaktu menyusu, menimbulkan pelbagai spekulasi. Secara tidak langsung, hal ini boleh menjejaskan usaha menjayakan penyusuan eksklusif.

Anggapan tidak benar tentang bayi yang tertidur sewaktu sesi penyusuan berlangsung boleh menimbulkan pelbagai masalah. Akhirnya, ia boleh mendatangkan kesan tidak baik buat bayi dan si ibu juga. Antara yang paling sering disalahtafsirkan ialah bayi sudah kenyang walaupun minum dalam tempoh yang singkat.

Malah, ada yang menganggap bayi akan menangis jika lapar. Jadi, apabila bayi yang tertidur itu tidak merengek ketika puting dikeluarkan daripada mulutnya, maka penyusuan tidak perlu diteruskan. Tidak kurang juga ada yang beranggapan, bayi tidak suka minum susu ibu. Oleh kerana bayi menyusu sedikit atau sekejap dan dibimbangi dahaga, maka ada ibu memberi air kosong atau susu formula sebagai ganti.

Idealnya, bayi akan menyusu dengan kerap mengikut kehendak di setiap satu setengah hingga dua jam sekali. Ini kerana proses pencernaan susu ibu mengambil masa yang singkat (60 hingga 90 minit) berbanding susu formula (tiga hingga empat jam). Namun, perlu dimaklumi bahawa setiap bayi mempunyai corak penyusuan yang berbeza.

Secara amnya, penyusuan mengikut kehendak bayi hanya berlaku selepas bayi berumur tiga hingga empat minggu di mana ketika ini dia sudah berupaya mengawal tidur. Bayi akan terjaga dengan sendirinya dan menunjukkan tanda lapar setiap satu hingga dua jam serta berjaya menyusu sehingga kenyang sebelum tidur lena.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir bayi yang berumur lebih awal daripada usia itu menunjukkan keadaan yang sama.

Punca Kerap Tertidur
Satu jam pertama sejurus bayi dilahirkan adalah waktu paling aktif dan anda amat digalakkan untuk memulakan penyusuan. Dalam tempoh ini, menerusi sentuhan kulit ke kulit, bayi akan mengenali bau, payu dara dan puting. Di fasa ini, bayi akan menghisap dengan aktif sebelum mula mengalami keadaan di mana dia akan kerap tertidur.

Bayi baharu lahir perlu belajar banyak perkara baharu di mana ia sama sekali berbeza daripada keadaan ketika dia berada di dalam kandungan. Demikian juga halnya dalam aspek mengawal tidur dan jaga. Secara purata, bayi berumur dua hingga tiga minggu akan tidur 16 hingga 18 jam sehari dan jumlah waktu tidur ini berkurangan mengikut perkembangan umurnya. Ketika menginjak usia dua bulan, dia hanya tidur sembilan hingga 10 jam sehari.

Secara fitrah, manusia memerlukan ritma tidur-jaga yang sekata (circadian rhythm) iaitu tidur di waktu malam dan berjaga di waktu siang untuk kekal sihat. Walau bagaimanapun, bayi baharu lahir tidak mempunyai ritma yang sekata kerana kelenjar di otak belum cukup matang untuk menghasilkan hormon yang membuatkan rasa mengantuk (melatonin) dan hormon yang membuatkan rasa sedar atau berjaga (cortisol). Justeru, ramai bayi yang masih belum kenyang tetapi tertidur semasa menyusu. Bayi yang didakap erat semasa menyusu membuatkannya lebih tenang dan lebih mudah tertidur. Namun, anda perlu mengetahui tentang dua fasa tidur bayi iaitu active sleep mengambil tempoh yang lebih lama daripada quiet sleep. Maka, semasa menyusu bayi akan mula tidur dalam fasa active sleep di mana dia mudah terjaga jika sentiasa dirangsang. Jika bayi dibiarkan terus tertidur, dia akan masuk fasa quiet sleep, seterusnya berhenti menyusu.

Berdasarkan fakta-fakta ini, berikut adalah panduan bagi mengatasi bayi kerap tertidur semasa menyusu.

1. Pastikan anda mengejutkan bayi daripada tidur setiap dua jam jika bayi selalu tidur melebihi dua jam. Ini bagi memastikan bayi mendapat nutrisi susu ibu yang secukupnya. Secara tidak langsung, dapat mengelakkan bengkak payu dara atau saluran kelenjar tersumbat terutamanya di minggu pertama kelahiran.

2. Jika bayi amat sukar dikejutkan, lakukan urutan lembut dan senaman otot tangan dan kaki. Anda juga boleh bercakap dengan bayi dalam nada yang boleh mengejutkannya (bukan bertempik). Gunakan kreativiti lain seperti menyanyi riang atau berselawat apabila melakukan urutan dan senaman. Setelah bayi betul-betul terjaga, usap tepi mulut bayi dengan jari untuk merangsangnya supaya mencari puting (rooting reflex). Mulakan penyusuan secepat mungkin sebelum bayi merajuk.

3. Semasa bayi menyusu, jangan beri peluang kepadanya untuk masuk fasa tidur active sleep. Gunakan pelbagai kreativiti seperti merangsang dia dengan kerap supaya sentiasa menyusu dengan aktif. Contohnya mengurut atau menggerakkan tangan dan tapak kakinya, bercakap-cakap tentang kasih sayang kepadanya dan menggeletek lembut belakang atau tapak kakinya.

4. Sesekali, anda boleh menekan payu dara antara ibu jari dan beberapa jari lain seperti memerah apabila bayi berhenti menghisap. Teknik ini akan mengalirkan susu keluar ke dalam mulut bayi dan boleh merangsangnya untuk terus menghisap.

5. Pastikan penyusuan bayi yang kerap tertidur ini lebih lama daripada bayi yang aktif menghisap. Apabila bayi kerap tertidur membuatkan susu yang diambil tidak cukup. Jika bayi tidak kenyang, ini bukan kerana ibu tidak cukup susu. Jumlah susu yang bayi terima amat bergantung kepada keaktifan bayi menghisap. Jika kurang aktif menyusu, panjangkan tempoh penyusuannya. Tiada jangka masa yang tertentu tetapi pastikan bayi menghisap sehingga dia melepaskan puting dengan sendirinya. Jika anda tidak pasti sama ada bayi berhenti menyusu kerana sudah kenyang atau terlelap, cuba tarik keluar puting perlahan-lahan. Sekiranya mulut bayi masih membuat gerakan menghisap, teruskan penyusuan. Jika sebaliknya, anda boleh menghentikan penyusuan. Pemberian susu formula bukan penyelesaiannya.

6. Menyusu bayi dalam posisi berbaring boleh membantu mengurangkan keletihan akibat penyusuan yang lama. Anda boleh berehat sambil menyusukan bayi. Terdapat punca lain yang menyebabkan bayi sering tertidur dan tidak aktif seperti pramatang, kurang gula dalam darah, sindrom Down dan hypothyroidism. Bayi ini biasanya tidak aktif walaupun dalam keadaan jaga dan biasanya mempunyai simptom lain. Anda perlu membawa bayi berjumpa pakar untuk kepastian.

Sumber: Majalah PAMA, Mac 2012

Tip Petua Dapatkan Anak Perempuan

Tip Dapatkan Anak Perempuan
1. Mulakan dengan doa dan niat untuk memperoleh jantina bayi perempuan.
2. Pastikan hubungan seksual dilakukan pada waktu subur isteri iaitu antara hari kesebelas hinggalah hari kesembilan belas dari kiraan pertama datangnya haid.
3. Biarkan suami melepaskan hanya lima puluh peratus sahaja spermanya ke dalam rahim isteri sementara bakinya dirembeskan di bahagian pangkal rahim.
4. Selepas berasmara, isteri digalakkan tidur mengiring ke sebelah kiri dan sekiranya membelakangkan suami maka mintalah izin terlebih dahulu.
5. Akhiri dengan doa agar hajat yang diinginkan dimakbulkan oleh-Nya

Baby Girl Islam
Amalan pemakanan ketika janin berusia satu hingga empat bulan :
1. Banyakkan pengambilan sayur, sup, asam serta jenis yang beralkali.
2. Lebihkan buah-buahan .
3. Elakkan dari mengambil minuman berkarbonat.

Perbuatan yang digalakkan ketika kandungan berusia satu hingga sembilan bulan
1. Amalkan membaca surah Yusuf dan Maryam.
2. Usap kandungan dengan lembut dan panggillah bayi anda dengan nama Maryam atau Siti Aishah.
3. Banyakkan berdoa agar permintaan anda dikabulkan.

Ajar Anak Berenang : Panduan belajar berenang

Sifat kanak-kanak secara semula jadinya sangat suka bermain air. Sebut saja kolam renang, pantai, air terjun, sungai atau jeram antara kawasan yang menjadi kegemaran mereka.

Masalahnya kanak-kanak tidak mengetahui air adalah berbahaya sekiranya mereka tidak tahu menghadapi situasi cemas sekiranya berlaku. Banyak kejadian yang tidak diingini seperti lemas berlaku di luar kawalan ibu bapa dan perkara ini dapat dielakkan sekiranya kanak-kanak diberi pendedahan awal mengenai keselamatan dalam air.

Kajian menunjukkan banyak faedah diperoleh daripada aktiviti berenang iaitu mampu meningkatkan perkembangan mental, fizikal, sosial dan emosi kanak-kanak. Malah, satu kajian dikendalikan Profesor Liselott Diem dari 1974 hingga 1976 di Kolej Sukan Jerman mendapati kanak-kanak yang berenang pada usia awal menunjukkan perkembangan lanjutan dari segi kemahiran motor kasar dan halus, tindak balas, tumpuan, kepintaran dan kecerdasan, tabiat sosial, keyakinan diri, kebebasan, serta mampu menangani situasi di luar jangkaan.

Menurut jurulatih renang, Azlinawati Husain, 31, yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam sukan renang serta menyertai pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa dalam acara triatlon, swimaton serta larian separuh maraton mengakui, renang memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak.

Ini dapat dilihat menerusi peningkatan keyakinan diri serta berdikari yang cukup tinggi pada kanak-kanak apabila mereka didedahkan dengan sukan renang pada usia muda. Di samping itu, mereka juga menunjukkan interaksi positif dan ikatan kukuh dengan ibu bapa.

Walaupun pelbagai pendapat diberikan mengenai usia sesuai belajar berenang, seawal usia empat atau lima tahun, kanak-kanak perlu didedahkan mengenai keselamatan dalam air serta mengikuti kelas berenang secara formal yang akan memberikan kebaikan bukan saja pada fizikal tetapi kesihatan serta emosi mereka.

“Ini bagi membolehkan mereka tidak takut air serta menghadapi saat cemas sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. Misalnya terjatuh ketika mandi sungai atau lemas di laut atau kolam renang,” katanya.

Dari aspek keselamatan, semua orang sama ada dewasa mahupun kanak-kanak perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam sukan renang. Ini kerana kemahiran ini dapat menyelamatkan nyawa sendiri serta orang lain ketika berdepan situasi cemas.

“Sering kali didedahkan di akhbar kemalangan akibat lemas. Ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya kanak-kanak mempunyai kemahiran berenang manakala ibu bapa tidak bersikap sambil lewa dengan membiarkan anak-anak berada di tempat berbahaya,” katanya.

Azlinawati yang berpengalaman menjadi jurulatih renang sejak lima tahun lalu mengakui, mengajar renang untuk dewasa dan kanak-kanak memerlukan dua pendekatan berbeza.

“Bagi kanak-kanak di bawah usia empat tahun, teknik pengajaran lebih kepada pendedahan awal untuk keyakinan diri. Ini dilakukan dengan membuat pergerakan kecil seperti kayuhan kaki atau tangan, membuat buih kecil dalam air dan siraman air. Sementara itu kedudukan kepala biasanya berada di atas,” katanya.

Bagi memberi pendedahan kepada anak-anak, ibu bapa harus mengawasi mereka dengan membawa ke tempat yang cetek terlebih dulu. Kemudian biarkan mereka bermain dengan percikan air sebelum beredar ke tempat yang dalam.

“Bagi kanak-kanak yang agresif dan berani serta mahu pergi ke tempat yang dalam, ibu bapa harus menemani mereka atau pakaikan pelampung bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.

Sebelum berenang terdapat beberapa peraturan yang harus diikuti antaranya memakai pakaian renang serta topi renang sesuai. Pakaian diperbuat daripada fabrik yang sesuai memberi keselesaan kepada perenang serta kebersihan dalam kolam renang manakala topi bagi memastikan rambut tidak terkena air klorin.

Topi renang juga boleh mengelak rambut menutupi mata terutama bagi mereka yang berambut panjang seterusnya mewujudkan keadaan panik ketika berenang.

“Hal ini sangat penting kerana keadaan panik akan menyebabkan mereka tidak mampu berenang dengan sempurna, seterusnya mewujudkan suasana cemas di dalam air,” katanya.

Bagi mewujudkan rasa seronok, anak-anak seharusnya berasa selesa ketika berenang. Ibu bapa atau jurulatih sepatutnya tidak boleh memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan kerana ini boleh membuatkan mereka putus asa dan tidak mahu meneruskannya.

“Dalam hal ini, jurulatih harus bijak menguasai situasi. Teknik serta kaedah yang betul akan membuatkan anak-anak bersemangat dan akan meneruskan sesi pembelajaran sehingga mereka benar-benar mahir berenang,” jelasnya.

Ramai ibu bapa tidak tahu berenang adalah sukan terbaik untuk kecergasan fizikal. Ini diakui apabila kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti dapat dikurangkan berat badan dengan berenang. Ini kerana renang membabitkan pergerakan seluruh badan serta aktiviti sukan yang tidak mendatangkan kecederaan kerana ia senaman bersifat risiko rendah disebabkan tiada daya tekanan yang kuat pada sendi, tulang dan juga otot badan.

“Ketika berenang, kedua-dua kaki dan tangan digerakkan sekali gus membakar sejumlah besar kalori dalam badan. Bagi kanak-kanak obes, berenang sangat memberi manfaat kepada mereka. Ketika berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi di antara dua kaki, dua tangan, selain merangsang stamina, menguatkan otot jantung (sistem kardiovaskular) serta meningkatkan penghantaran oksigen dalam badan.

“Rasa tekanan juga dapat dikurangkan dengan latihan renang,” jelasnya yang mengakui renang sering digunakan dalam senaman terapi pemulihan selepas mengalami kecederaan atau hilang upaya.

Di samping dapat meningkatkan daya kekuatan, ketahanan dan daya kelenturan badan, renang juga dapat membentuk tubuh badan supaya cantik dan menarik.

Selain menjadi tenaga pengajar sambilan, Azlinawati juga bekerja sepenuh masa dan hanya menjalankan latihan renang pada Sabtu dan Ahad untuk kanak-kanak dan dewasa. Setakat ini, dia mempunyai seramai 60 peserta kanak-kanak dengan peserta termuda berusia tiga tahun enam bulan termasuk menjadi jurulatih untuk program kelab renang Sekolah Antarabangsa Kingsley.

Bagi mereka yang ingin belajar berenang sama ada dewasa mahupun kanak-kanak, kelas diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad bermula pada jam 8.15 pagi hingga 11 pagi bersambung ke 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dan 4 petang hingga 6 petang. Bagi kelas perseorangan atau berkumpulan, ia diadakan setiap hari pada jam 5.45 petang dan 8.15 malam. Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang jomrenang.com.

Bagi Rosida Hussin, 35, kegemaran membawa anak-anak ke pantai serta mandi kolam renang ketika cuti sekolah menyebabkan dia membawa ketiga-tiga anaknya, Muhammad Faez Azren Muhammad Shaufi, 12, Nur Aireen Sofea, 9, dan Muhammad Aliff Azim, 7, mengikuti kelas renang. Pada mulanya memang mereka agak gementar tetapi lama kelamaan setelah mendapat pendedahan mengenai teknik yang betul, keyakinan diri mulai meningkat.

“Hampir setahun menyertai kelas renang, mereka semakin mahir dan menguasai teknik berenang. Bukan itu saja, keyakinan diri semakin bertambah. Mereka semakin kurang sifat malu serta mudah bergaul dengan rakan dan orang yang lebih tua. Setiap Sabtu dan Ahad mereka sendiri bangun pagi dan menyediakan keperluan ke kelas renang dan ini menambah sifat berdisiplin dalam diri mereka,” katanya.

Menyedari banyak kebaikan daripada sukan renang, sebagai ibu Rosida akan meneruskan sesi pembelajaran sehingga ketiga-tiga anaknya mahir dan menguasai beberapa teknik renang. Dia juga memberi kebebasan kepada anak-anaknya sekiranya mereka mahu menyertai pertandingan renang di peringkat sekolah pada masa hadapan.

Bagi Noor Suryanti Ibrahim, 39, dia bersama suami dan tiga anaknya, Hanis Shakira Mohd Bashir, 13, Muhammad Danial Hakim, 10, dan Hanis Sabrina,7, menyertai kelas renang sejak dua tahun lalu. Ini kerana dalam keluarga tiada seorang pun yang pandai berenang.

“Memandangkan kami sekeluarga gemar bercuti dan mandi laut, saya dan suami terfikir untuk mengambil kelas renang sekeluarga. Dalam masa 12 minggu memang sudah nampak perubahan dan masing-masing sudah dapat mempelajari asas penting ketika berenang,” katanya.

Kini ketika-tiga anaknya dihantar untuk mendalami teknik berenang di bawah bimbingan Azlinawati. Banyak kebaikan diperoleh daripada sukan ini terutama daripada sudut kesihatan.

“Dulu anak lelaki saya mempunyai asma yang agak teruk tetapi kini sejak menjalani latihan renang setiap minggu, asma semakin berkurangan dan dia lebih sihat dan cergas. Keyakinan diri semakin bertambah disebabkan pergaulan dengan rakan-rakan. Lebih penting berenang menyebabkan mereka dapat tidur nyenyak dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran,” katanya.

Panduan belajar berenang:

Pastikan ibu bapa mengawasi anak-anak ketika di kolam renang. Mulakan di tempat yang cetek dulu sebelum ke tempat dalam.

Untuk melihat sama ada anak-anak berani atau tidak, percikkan air ke muka mereka dan perlahan-lahan ajar mereka membuat buih. Buat satu persatu, mula-mula dengan melakukan buih di permukaan air kemudian secara perlahan-lahan suruh mereka letakkan muka sambil membuat buih di dalam air. Sekiranya mereka boleh boleh melakukannya bermakna mereka berpotensi untuk belajar berenang dengan cepat.

Selain topi renang, cermin mata juga penting kerana selain boleh mengelak air masuk ke mata, ia boleh memberi keyakinan kepada seseorang untuk melihat suasana dalam air terutama daripada segi kedalaman air kolam.

Bagi anak-anak yang minat berenang, seeloknya hantar mereka ke kelas renang kerana kanak-kanak mudah belajar secara praktikal dan mengikut apa yang diajar.

Sokongan ibu bapa sangat penting bagi memastikan anak-anak bersemangat belajar berenang. Jangan cepat putus asa sekiranya anak-anak lambat belajar sebaliknya memberikan galakan kepada mereka. ~ H.M

Pentingnya hubungan kekeluargaan dipelihara

Sesungguhnya keimanan itu tidak boleh diwarisi dari seorang bapa kepada anaknya. Begitu juga kepada kaum kerabat serta mereka yang mempunyai tali persaudaraan dengannya.

Keimanan dan ketaqwaan merupakan hak individu dan ia akan dinilai oleh Allah SWT mengikut tahap pencapaian masing-masing. Orang yang beriman akan mendapat ganjaran pahala dan syurga sementara orang yang kufur akan mendapat azab siksaan Allah.

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan amat penting dalam hidup kita. Walau bagaimanapun, hubungan ini akan terputus di akhirat sekiranya terputus hubungan akidah di antara mereka.

Pada ketika ini kaum kerabat dan anak-anak mereka tidak akan berguna kepadanya kerana tali hubungan yang mengikat mereka telah terputus.Hanya tali akidah sahaja boleh mengikat mereka di sisi Allah.

Realitinya ketika di dunia lagi kita boleh perhatikan kerenggangan hubungan kekeluargaan ini sekiranya salah seorang mereka memutuskan hubungan akidah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala tindakan mereka dan niat yang tersembunyi di dalam hati-hati mereka.

Kesimpulan

Hubungan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang teguh amat penting dalam kehidupan kita seharian. Walau bagaimanapun, hubungan ini boleh terputus sekiranya salah seorang daripadanya memutuskan hubungan akidah di antara mereka.

Sekiranya perkara ini terjadi,maka terpisahlah hubungan ibu, bapa, anak-anak serta kaum keluarga yang lain. Ini bermakna mereka tidak dapat mendatangkan apa-apa faedah yang boleh membantu antara satu sama lain ketika di akhirat kelak.

Justeru itu marilah kita bersama-sama saling bantu membantu dalam usaha memelihara akidah di kalangan anggota keluarga khususnya dan keseluruhan umat Islam amnya.

Jangan abai anak selepas bercerai

Berpisah bukan kerana kerelaan hati, penyesalan yang tidak berkesudahan. Batin menjeritkan belaian kasih sayang, namun tidak dapat diluahkan dengan kata-kata untuk merawat hati yang rawan.

Mudah benar keputusan diambil, sedia bila terasa tidak sesuai bersama lalu proses perceraian didaftar supaya keputusan mahkamah dapat dijadikan alasan kukuh untuk kehidupan baru mengikut haluan sendiri.

Kita mungkin hanya memikirkan perceraian adalah jalan terbaik. Pernahkah kita melihat sedalam-dalamnya ke mata anak, bagaimana kehidupan cahaya mata kemudian hari dan patutkah mereka menanggung kesakitan diterbitkan atas keegoan ibu bapa?

anak mangsa perceraian

Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, berkata jiwa dan emosi kanak-kanak sering ditinggalkan saat ibu bapa sibuk dengan prosiding perceraian yang dicapai mereka dan dilihat sebagai mementingkan diri sendiri.

Suara yang diluahkan anak jarang sekali diambil pertimbangan dan si kecil yang menjadi mangsa terpaksa berdepan dengan masalah yang ditimbulkan ibu bapanya sendiri.

“Apabila jalan penyelesaian adalah perceraian, pasangan akan mengambil keputusan untuk mengambil haluan masing-masing dan bergerak sama ada solo mahupun bersama teman baru dalam hidup mereka.

“Namun, pada masa yang sama, dalam meleraikan segala kekusutan itu, mereka tidak sedar kehidupan anak mereka tersepit di tengah-tengah dilema dua hati dan berperang dengan curiga yang tidak tidak pernah diambil kira.

“Kanak-kanak yang masih mentah terpaksa bergolak dengan pemikiran dan perasaan sendiri kerana terpaksa melihat ibu bapanya sering bertikam lidah mahupun tidak lagi duduk serumah,” katanya dalam forum kanak-kanak Voices of Judicial Change, baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak yang melihat keluarga berpecah berkemungkinan mengalami masalah emosi seperti kurang keyakinan, murung dan celaru berbanding kanak-kanak yang memiliki kehidupan normal.

“Kesan perceraian, kanak-kanak terpaksa berdepan dengan kemurungan dan mereka belum cukup bijak meluahkan perasaan yang bergolak oleh itu adalah peranan ibu bapa untuk mengetahui dan fahami permintaan anak kecil.

“Jika perasaan tidak puas hati dibiarkan berlanjutan, ia bakal membawa kesan negatif terhadap anak yang sepatutnya membesar dalam persekitaran yang positif dan berkasih sayang bagi membesar dengan lengkap” katanya.

Beliau juga memberitahu, pasangan bercerai seharusnya bijak berkomunikasi dan mengutamakan hak serta pendapat anak.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahu pun selepasperceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian.

“Interaksi antara ibu bapa juga perlu didiksupaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin menjelaskan pasangan bercerai perlu memikirkan rindu atau betapa hancurnya emosi anak yang direntap begitu saja walhal si kecil ini tidak bersalah. Perkara ini mengakibatkan anak itu membesar dalam keadaan benci dan berdendam.

“Ini boleh mengakibatkan masalah sosial meningkat akibat keputusan singkat yang diambil kedua ibu bapa mereka,” jelasnya.

Katanya, apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling `membuang’ secara tidak langsung menjadikan kekuatan dalaman anak ini tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka.

Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak ini juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka.

Terdahulu, bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Tamby Chik, berkata hak bersuara diberikan kepada anak yang terpaksa hidup dengan ibu bapanya yang bercerai dan mahkamah mengambil berat mengenai kebajikan si kecil yang menjadi mangsa keadaan.

“Sebelum memutuskan keputusan berdasarkan fakta tertentu, mahkamah akan mengadakan sesi khas bagi melihat dan memahami perasaan mahu pun permintaan anak itu sendiri dan tiada penetapan usia dikenakan untuk itu.

“Bagaimanapun, mahkamah tetap mengambil kira faktor sekeliling terutama jantina kanak-kanak, usia dan persekitaran pembesaran mereka sebelum memutuskan hak penjagaan.

“Ini sebagai langkah awal memastikan kanak-kanak dapat dibesarkan dalam persekitaran sihat berikutan mereka cukup berharga dan perlu dilindungi dari kekejaman,” jelasnya.

Panduan mengeratkan hubungan bersama anak selepas bercerai

* Contoh

Beri contoh terbaik supaya boleh menjadi ikutan dan panduan buat anak. Perbaikilah diri kita dulu sebelum menegur anak dan menasihati mereka. Jangan jadi seperti kata pepatah `ketam yang mengajar anak berjalan lurus’.

* Aliran semasa

Ambil tahu perkembangan sukan, muzik, filem, fesyen terkini dan sebagainya. Ikut arus gelombang anak remaja. Ia membantu untuk lebih mudah berinteraksi dengan mereka.

* Alam maya

Dalam kecanggihan teknologi yang semakin pesat, si anak lebih gemar berahsia dan memendam rasa melalui alam maya menerusi ruang rangkaian sosial seperti Friendster atau Facebook, mereka meluahkan status terkini mereka sama ada gembira, sedih atau segala apa saja yang mereka rasa.

* Masa kualiti

Perbanyak aktiviti untuk dilakukan bersama dan cuba fahami minat anak. Masa yang dilaburkan untuk melawat anak seharusnya dimanfaat dengan baik supaya mereka tidak rasa berjauhan.

* Solat berjemaah

Solat bersama memberikan faedah hubungan antara ahli keluarga.

* Doa

Janganlah lupa berdoa kepada Allah. Tiada permintaan yang lebih mustajab, selain daripada doa daripada orang tua sendiri.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

Anak angkat

Setiap bayi lahir ke dunia ibarat kain putih. Ibu dan bapalah selepas itu mencorakkan anak itu dengan lukisan indah mendamaikan atau rupa abstrak yang sukar difahami.

Bersyukur bagi anak yang dilahirkan menerusi ikatan perkahwinan. Tetapi bagi anak dilahirkan tanpa ikatan sah suami isteri atau digelar anak luar nikah, tidak seharusnya anak itu terpalit keburukan, dek kejahilan ibu dan bapanya.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan seramai 17,303 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di kalangan Melayu seluruh negara pada 2009, iaitu peningkatan 762 kes berbanding 2008 (seramai 16,541 orang), manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Menyelamatkan anak luar nikah ini daripada terus menerima palitan dosa daripada ibu bapanya, diambil sebagai anak angkat mungkin jalan terbaik, tetapi tidak dinafikan ada stigma buruk terhadap anak angkat.

Walaupun anak angkat diambil di kalangan anak luar nikah, anak yang lahir ke dunia adalah suci, cuma didikan yang mempengaruhi cara kelakuan anak itu kelak.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Felo Pusat Kajian Zakat Malaysia, Dr Mohd Afendi Mat Rani berkata, melihatkan jumlah anak luar nikah meningkat, tidak salah pasangan suami isteri budiman mengambil anak itu sebagai anak angkat lantaran perbuatan murni itu amat dituntut syarak.

Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggungjawab adalah digalakkan di sisi syarak. Jika diambil anak angkat kerana sifat kasihan kepadanya seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan oleh orang yang bertanggungjawab adalah disuruh di sisi syarak.
Cuma perlulah dijaga peraturan syarat syarak sebagaimana berurusan dengan bukan mahram, seperti tidak boleh melihat auratnya dan tidak boleh bersunyian dengannya.

Keluarga angkat yang membela anak angkat dengan penuh kasih sayang akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat nanti. Sebaiknya jika anak angkat itu belum berusia dua tahun, hendaklah dijadikannya mahram dengan jalan susuan.

Jika bapa angkat masih bujang, berikan saudaranya yang perempuan menyusukan anak itu sebanyak lima kali kenyang. Dengan itu anak angkat berkenaan akan menjadi anak saudara susunya dan apabila menjadi mahram susuan maka haruslah ia tinggal bebas di dalam rumah dan auratnya sama seperti aurat saudara kita sendiri, katanya mengulas mengenai pengambilan anak angkat.

Hari ini bukan saja anak luar nikah semakin banyak bilangannya didaftarkan, pada masa sama wanita hamil luar nikah yang tidak mahukan anak berkenaan akibat terlanjur dibuang ke tempat tertentu. Menangani masalah ini, ramai pasangan serta orang dewasa yang ingin mengambil bayi berkenaan sebagai anak angkat.

Mohd Afendi berkata, pada asalnya, dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun ada kalanya dilarang dan ada kalanya disuruh syarak.

Mengulas lanjut, katanya, mengambil anak angkat untuk dijadikan sama seperti anak sendiri adalah dilarang oleh syarak seperti mana dilarang menukar bin anak angkat berkenaan.

Anak angkat tetap bukan anak kita sekali pun kita tersangat sayang kepadanya. Hukumnya tetap tidak sama dengan anak sendiri. Anak angkat adalah ajnabi (bukan anak sendiri) manakala anak sendiri adalah mahram. Dalam keadaan tertentu, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat, katanya.

Isu digalak atau tidak mengambil anak angkat, sebenarnya, terpulang kepada keluarga angkat yang mungkin memerlukan anak kerana kesunyian dan sebagainya.

Mohd Afendi berkata, ibu bapa wajar menjelaskan kedudukan anak berkenaan kerana adalah tidak baik jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, iaitu pada kira-kira usia baligh.

Tetapi ia tidaklah perlu dihebohkan satu kampung. Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Namun begitu, menjadi keharusan bagi seseorang yang mengambil anak angkat untuk meletakkan namanya pada kanak-kanak itu tanpa ada perkataan bin atau binti. Sebagai contoh, nama anak itu diletakkan sebagai Siti Aminah Abdul Rahman dan bukan Siti Aminah Binti Abdul Rahman, katanya.

Tidakkah anak itu berasa ragu kelak melihat namanya tiada bin atau binti? Perkara itu, kata Mohd Afendi tidak akan menjadi isu jika bapa angkat menjelaskan secara jujur berhubung keadaan sebenar. Ini kerana sewajibnya anak itu hendaklah di bin atau binti nama bapanya yang sebenar jika anak sah taraf.

Di dalam Islam mengambil anak angkat adalah perkara yang diharuskan, namun dari segi meletakkan nama bapa angkat sebagai bapa adalah haram. Ini kerana wajib meletakkan nama bapa yang sebenar. Hal ini adalah berkaitan dengan anak yang sah taraf, namun jika anak itu adalah anak yang tidak sah taraf seperti anak yang dikandung dan dilahirkan sedangkan ibunya tidak berkahwin lagi, maka anak itu hendaklah diBINkan atau diBINTIkan dengan Abdullah atau ibunya, katanya.

Mengenai isu pemberian nafkah kepada anak angkat dan anak sendiri serta keperluan lain, ia tetap tertakluk pada ibu bapanya. Tiada perbezaan antara anak sendiri dan anak angkat namun jika tidak mahu menanggung anak angkat, hendaklah melepaskan tanggungjawab berkenaan dengan menyerahkan semula anak angkat itu kepada ibu bapanya atau warisnya yang sah atau mana-mana individu atau pertubuhan yang bertanggungjawab ke atas anak angkat itu. Apa yang penting kebajikan, keselamatan dan pendidikan anak angkat itu terjamin sehinggalah dia dewasa.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada, katanya.

Proses mengambil anak angkat

* Pengesahan anak angkat ialah melalui dua kaedah, iaitu pertama, permohonan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas menerima seseorang kanak-kanak untuk dipelihara. Permohonan perlu dibuat kepada Mahkamah Seksyen atau Mahkamah Tinggi dengan melantik peguam untuk urusan mendaftar Notis Pengangkatan.
* Akta yang diguna pakai bagi proses pengesahan pengangkatan cara ini merujuk kepada Akta Pengangkatan 1952 (akta 257).
* Kedua ialah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (akta 253).
* Permohonan untuk pengesahan ini hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam penjagaan keluarga pelihara.
* Bagi keluarga yang beragama Islam, permohonan untuk pengesahan anak pelihara hanya boleh dibuat melalui Akta 253, iaitu Akta Pendaftaran Pengangkatan saja.
* Permohonan untuk pengesahan pengangkatan hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak pelihara berada dalam jagaan pemohon. Permohonan boleh dibuat di Pejabat Pendaftaran Negara.
* Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM menurut Seksyen 35 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada seminggu selepas pengambilan. Jika gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, denda maksimum adalah sebanyak RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
* Merujuk kepada permohonan bagi mendapatkan anak pelihara, dari 2006 hingga 2008, sejumlah 176 orang pemohon mengemukakan permohonan kepada JKM; iaitu 112 pemohon berbangsa Melayu, 48 pemohon berbangsa India dan 16 pemohon berbangsa Cina.


Adab anak angkat:

* Menerima hakikat kedudukannya sebagai anak angkat dengan sebaik mungkin dan tidak sama sekali menganggap kedudukan itu sebagai kekurangan. Bahkan ia hendaklah dianggap sebagai kelebihan kerana ia berpeluang menikmati peluang hidup dan membesar dalam sebuah keluarga yang sempurna.
* Apabila mengetahui kedudukan itu, seseorang anak angkat hendaklah memastikan ia memelihara aurat dan batas pergaulan dengan anggota keluarga angkat, iaitu berasaskan kedudukan mereka sebagai bukan mahram. Bagi menyelesaikan isu pergaulan dan aurat ini, dicadangkan supaya ibu angkat menjadikan anak angkat sebagai anak susuan.
* Ia hendaklah berusaha berbakti dan berbuat baik dengan sepenuh daya serta usaha kepada keluarga angkatnya sebagai tanda berterima kasih atas segala jasa serta bakti mereka memelihara dan memenuhi segala keperluannya selama ini.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Didik anak sambut Ramadan, Aidilfitri bertunjangkan syariat

AIDILFITRI hari umat Islam menikmati rahmat kegembiraan dan kebahagiaan lantaran banyaknya anugerah Allah dikecapi sepanjang Ramadan kepada semua hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika Aidilfitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah SWT.”

Tidak dapat dinafikan kanak-kanak adalah golongan paling seronok apabila menjelang Aidilfitri saban tahun. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi, budaya menyambut hari raya di Malaysia cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak. Pada hari itu mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa, mengutip angpau berisi dan menonton rancangan hari raya.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan konsep ‘wasadtiah’ atau bersederhana menyambut Aidilfitri mengikut lunas Islam.

Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jugalah fitrah asal manusia sudah tercemar. Maka, dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amalan menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya.

Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada hari raya tidak sepatutnya disulam dengan unsur negatif. Contohnya, boros berbelanja pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat dan bermain mercun.
Kanak-kanak perlu diasuh meneruskan kesinambungan amal ibadah yang bersifat khusus atau umum dilaksanakan sepanjang Ramadan pada bulan berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

Begitu amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah perlu digalakkan. Ajarkan kanak-kanak memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami maksudnya, berzikir dan berdoa.

Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah, sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Ibadah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) yang sukar untuk ditemui pada bulan lain seperti solat sunat Aidilfitri dan bertakbir juga perlu diterapkan sebagai ‘istimewa’ buat anak-anak kerana kedua-dua ibadah sunat ini menjadi simbolik sifat kesyukuran dan kekuatan umat Islam melaksanakan ibadah wajib berpuasa sepanjang Ramadan.

Pentingnya galakan menunaikan solat sunat hari raya dinyatakan Imam Al-Bukhari dalam riwayat hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata: “Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat sunat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin.”

Begitu juga tuntutan bertakbir dan bertahmid mengagungkan kebesaran Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu supaya kamu menjadi orang yang bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan mulia lain seperti menziarahi pusara sanak saudara dan menghadiahkan mereka bacaan ayat suci al-Quran, menyertai perkumpulan marhaban, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, hormat kepada orang tua, adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan tidak akan bermakna jika ibu bapa atau penjaga tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka meraikan Aidilfitri.

Bersederhana dan wujudkan suatu anjakan paradigma untuk beramal ibadah bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran ini.

Didikan tepat akan mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini menyatukan makna Aidilfitri dengan duit raya, mercun dan bunga api semata-mata kepada terbitnya kemanisan iman serta rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Ilahi.

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)