Tip Petua Dapatkan Anak Perempuan

Tip Dapatkan Anak Perempuan
1. Mulakan dengan doa dan niat untuk memperoleh jantina bayi perempuan.
2. Pastikan hubungan seksual dilakukan pada waktu subur isteri iaitu antara hari kesebelas hinggalah hari kesembilan belas dari kiraan pertama datangnya haid.
3. Biarkan suami melepaskan hanya lima puluh peratus sahaja spermanya ke dalam rahim isteri sementara bakinya dirembeskan di bahagian pangkal rahim.
4. Selepas berasmara, isteri digalakkan tidur mengiring ke sebelah kiri dan sekiranya membelakangkan suami maka mintalah izin terlebih dahulu.
5. Akhiri dengan doa agar hajat yang diinginkan dimakbulkan oleh-Nya

Baby Girl Islam
Amalan pemakanan ketika janin berusia satu hingga empat bulan :
1. Banyakkan pengambilan sayur, sup, asam serta jenis yang beralkali.
2. Lebihkan buah-buahan .
3. Elakkan dari mengambil minuman berkarbonat.

Perbuatan yang digalakkan ketika kandungan berusia satu hingga sembilan bulan
1. Amalkan membaca surah Yusuf dan Maryam.
2. Usap kandungan dengan lembut dan panggillah bayi anda dengan nama Maryam atau Siti Aishah.
3. Banyakkan berdoa agar permintaan anda dikabulkan.

Petua menghilangkan bau petai

Petua Menghilangkan bau petai

Makan nasi dengan ulam memang enak. Terutama ulam itu adalah petai segar,petai jeruk ataupun sambal petai. Tetapi setiap kali selepas makan, mulut akan berbau kurang enak dan ini memalukan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja di pejabat.

Nenek ada petua yang boleh diikuti. Setiap kali selepas makan petai,makanlah beberapa biji buah rambutan. Kunyahlah isinya perlahan-lahan hingga hancur barulah ditelan. Insya-Allah, mulut tidak lagi berbau petai dan anda boleh meneruskan kegiatan anda seterusnya tanpa malu-malu lagi.

Selamat mencuba.

Panduan pemakanan mengikut cara Islam

Islam sebagai agama luhur bukan setakat mengajar umatnya mengenai amalan ibadah semata-mata, sebaliknya Islam melengkapi segenap lapangan kehidupan manusia. Apa saja gerak kerja telah disediakan panduan lengkap, padat dan penuh berhikmah buat manusia. Hal itu termasuk dalam aspek gaya pemakanan.

Mengapa Islam turut memberi penekanan soal pemakanan? Di sini kita sewajarnya menelusuri sirah perjalanan Nabi s.a.w yang sentiasa mempamerkan jalur penghidupan terbaik yang mengajar umatnya bagaimana etika makan dan minum. Inilah yang dikatakan Islam bersifat universal dan menyeluruh.

Misalnya, dalam satu peringatan Allah berfirman, “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.” (Maksud Surah al-Baqarah ayat 168).

Ayat ini suatu panduan proaktif dalam membina kekuatan jasmani, emosi dan rohani manusia yang murni. Makanan halal lagi baik menjadi teras dalam ajaran Islam yang bukan semata-mata menjaga kelangsungan sihatnya jasmani, tetapi juga akan memercikkan kesihatan jiwa dan hati.

Malah, Islam meletakkan kebersihan dan kesempurnaan adab dan aturan pemakanan sebagai satu prasyarat dimakbulnya doa oleh Allah. Mukmin yang sentiasa memenuhkan perutnya dengan sumber makanan haram bukan saja dilarang Allah, tetapi segala munajat doanya tidak diperkenankan Allah.

Dalam satu kisah yang diceritakan Ibnu Mardawaih yang diperoleh daripada Ibnu Abbas bahawa seorang sahabat Rasulullah, iaitu Saad Ibn Abu Waqqas memohon kepada Rasulullah supaya Baginda memohon kepada Allah agar dikabulkan segala doanya.

Berkata Rasulullah kepada Saad, “Wahai Saad. Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau akan dijadikan Allah seorang yang makbul doanya. Demi Tuhan, yang jiwa Muhammad ada dalam tangan-Nya, sesungguhnya seorang lelaki yang melemparkan suatu suapan haram ke dalam perutnya, tidaklah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Barang siapa di antara hamba Allah yang tumbuh dagingnya daripada harta yang haram dan riba, maka api lebih baik baginya.”

Justeru, melalui kisah tersebut nyatalah Islam sangat memberikan penekanan kepada aspek pemakanan dengan mengajak seluruh umatnya supaya berhati-hati memilih makanan serta menjauhi sumber haram.

Islam juga menekankan kepada gaya pemakanan yang bercorak sederhana dan tidak melampau. Menurut Imam Al-Ghazali terdapat enam sifat tercela yang berlaku akibat pola pemakanan yang melampau atau berlebihan. Kata beliau, antaranya timbul sikap malas untuk beribadah kepada Allah, tidak memberi tindak balas apabila mendengar perkataan yang penuh hikmah, apabila menyampaikan nasihat dan hikmah, maka penyampaiannya itu tidak menyentuh hati ramai orang. Yang paling penting kata Imam Al-Ghazali ialah akan menimbulkan banyak penyakit.

Demikian impak negatif daripada budaya pemakanan berlebihan. Kerana faktor itulah Islam menunjukkan jalan yang penuh berinti pati pencegahan, iaitu dengan mengamalkan pola pemakanan seimbang dan sederhana.

Dalam dunia serba moden, kita sentiasa disajikan di depan mata dengan aneka menu yang menyelerakan sehingga ada kalanya kita terlupa segala pesanan Rasulullah dan peringatan Allah agar bersederhana dalam makan dan minum.

Semua yang dilarang Allah mempunyai hikmah bermanfaat buat umat. Misalnya, Allah berfirman, “Makan dan minumlah kamu, jangan melampaui batas.” (Maksud Surah Al-A’raf ayat 31). Dalam ayat ini, Allah memerintahkan kita agar tidak melampau dalam aspek makan minum. Dengan erti kata lain, seseorang mukmin perlu bersederhana dan tidak mengikut nafsu.

Peringatan Allah supaya kita tidak berlebih-lebihan dalam makan minum ditinjau daripada perspektif sains kesihatan sememangnya menepati kehendak piawai sains moden. Terangkum padat dalam arahan Allah itu kemanfaatan buat umat manusia yang memelihara kualiti kesihatan fizikal dan mental.

Pemakanan cara Islam

Mari kita hayati sejenak apa yang pernah Nabi Daud wasiatkan. Katanya, “Kesihatan adalah nikmat yang tersembunyi, ia seperti mahkota di atas kepala orang yang sihat dan hanya dilihat oleh orang yang sakit.”

Bagaimana saudaraku yang dirahmati Allah? Betul atau tidak apa yang dikatakan Nabi Daud itu?

Sudah tentu kita bersetuju 100 peratus apa yang diluahkan baginda itu, tetapi memahami saja tidak mencukupi. Kita seharusnya menghayatinya dalam amalan kehidupan seharian.

Dr Adi Hashman, penulis buku ‘Mengapa Rasulullah s.a.w Tidak Sakit’ ada mengatakan dalam karyanya bahawa status kesihatan individu dipengaruhi makanan. Katanya lagi, faktor ini penting kerana menjadi faktor yang dapat dikendali dan dikawal. Orang yang memiliki prinsip ‘hidup untuk makan’ sebenarnya mempercepatkan ajal seperti menggali kubur dengan giginya sendiri.

Pelbagai penyakit muncul pada era moden ini berkaitan pola makan yang berlebihan serta sistem pemilihan makanan yang tidak betul atau makan dengan kekerapan tidak teratur.

Pada zaman Rasulullah terdapat seorang tabib atau doktor yang mendalami ilmu perubatan Galenik iaitu Haris Ibnu Kaladah dan beliau merumuskan ‘Perut itu punca segala penyakit.’ Manakala Rasulullah sendiri ada mengatakan, “Perut itu gudang penyakit.” (Hadis riwayat Muslim).

Jadi, untuk memastikan kualiti kesihatan jasmani dan emosi kita berada pada tahap berpiawai tinggi seharusnya kita menyusuri panduan yang diperturunkan Rasulullah khususnya dalam aspek pemakanan itu.

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar
* Penulis seorang guru

8 Petua Keselamatan Jalan Raya

8 Petua Keselamatan Jalan Raya ialah:

1 Rancang perjalanan anda terlebih dahulu. Jika anda berasa letih, mengantuk, di bawah pengaruh alkohol atau berada dalam keadaan yang tidak tenteram, tangguhkan perjalanan anda.

2 Sentiasa ikut had laju yang ditentukan.

3 Berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan semasa menukar lorong. Periksa cermin sisi dan cermin pandangan belakang sebelum melakukan pertukaran lorong.

4 Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning.

5 Elakkan daripada mengekori kenderaan lain terlalu rapat sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.

6 Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong. Jangan memotong jika teragak-agak.

7 Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan. Ia bukan sahaja biadab tetapi membahayakan semua pengguna.

8 Elakkan mencelah di antara kenderaan kerana ini membahayakan keselamatan anda dan orang lain.

Panduan menjual kereta

Jika ingin membeli kereta baru, kita perlu menjual kereta lama yang masih digunakan sebelum mendapat kereta baru.

Walaupun kereta lama, ia masih mempunyai nilai jualan tertentu. Nilai jualan ini pula boleh digunakan untuk mengurangkan kos ketika membeli kereta baru. Berikut panduan menjual kereta anda.

* Nilai kereta lama

Persoalan pertama yang anda perlu ketahui ialah nilai jualan kereta anda? Anda boleh mendapatkan nilai kereta melalui majalah permotoran bagi menganggarkan harga pasaran bergantung kepada model, buatan kereta dan tahun keluarannya.

Tetapi, harus diingati setiap kereta dan pemilik adalah unik, jadi harganya pasti berbezabeza antara satu sama lain.

Contohnya, jika kereta lama anda dalam keadaan baik dari segi penyelenggaraan dengan ketetapan servis berkala, tidak pernah terbabit dengan sebarang kemalangan, anda pula adalah pemilik pertama, maka anda boleh mendapat harga jualan lebih tinggi jika dibandingkan dengan pemilik kereta yang tidak menjaga kereta mereka dengan baik dan hak milik kereta melebihi dua hingga tiga pemilik.

* Saluran betul untuk menjual kereta

Perkara kedua pula, Bagaimana cara untuk menjualnya? Beberapa cara yang boleh dilakukan seperti:

* mengiklankan kereta di surat khabar atau majalah permotoran.

* menghebahkan dari mulut ke mulut melalui rakan dan keluarga.

* menempatkan kereta di tempat pengedar kereta terpakai.

* tukar beli (trade-in) dengan penjual ketika membuat pembelian kereta baru.

Kebiasaannya, anda boleh mendapat harga jualan yang tinggi untuk kereta lama jika anda sendiri bertindak sebagai jurujual, kerana anda boleh jimat melalui pemotongan komisen atau keuntungan yang dikenakan orang tengah (pengedar kereta).

Cuma ia tidak menyenangkan kerana anda perlu mengatur temu janji bagi membolehkan pembeli melihat dan memandu uji kereta.

Cuba bayangkan anda terpaksa berdepan dengan pembeli cerewet supaya anda mengurangkan harga jualan dengan lebih rendah dan ingin melihat kereta beberapa kali.

Melalui pengedar kereta terpakai, segala urusan penjualan akan memudahkan pelbagai masalah yang bakal timbul. Tetapi, jika pengedar kereta terpakai dapat menjual kereta anda, harga tukar-beli kereta anda berkurangan disebabkan komisen dikenakan mereka. Anda juga perlu mengambil tahu nilai pasaran kereta anda untuk mengelakkan ditipu pengedar kereta dengan memberi harga lebih rendah daripada sepatutnya.

Jangan biarkan pengedar mendapat keuntungan lebih tinggi. Oleh itu, rundinglah harga dengan lebih bertimbang rasa dan sepakat supaya ia menguntungkan kedua-dua pihak. Sila layari laman web http://www.kereta-terpakai.com untuk mendapatkan senarai harga kereta yang terkini.

Memilih agensi pengelola umrah

Industri pelancongan turut merasa bahang akibat kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Bagaimanapun, bagi mengerjakan ibadah umrah, kegawatan ekonomi dunia tidak menjejaskan hasrat jemaah yang berkemampuan untuk menunaikan ibadat tersebut.

Bermula dari awal tahun hingga memasuki bulan haji, agensi-agensi pengelola umrah giat mengadakan promosi-promosi pakej umrah seperti yang dipaparkan di media-media cetak.

Setiap agensi memaparkan harga dan pakej yang menarik berserta dengan promosi program ziarah. Masing-masing cuba menarik pelanggan dengan pelbagai insentif seperti menurunkan harga pakej, menambah program ziarah, menggunakan tenaga pembimbing dari kalangan para penceramah terkenal. Malah ada agensi yang menggunakan artis-artis nasyid tanah air sebagai duta syarikat.

Sebab jemaah ditipu

Saban hari akhbar melaporkan berita-berita tentang kegagalan agensi pengelola membawa jemaah menunaikan ibadah umrah. Jemaah mendakwa mereka ditipu.

Antara sebab jemaah mudah tertipu adalah terpengaruh dengan promosi yang menawarkan harga pakej yang murah. Sikap mudah terpengaruh dengan harga murah menyebabkan jemaah lupa mengambil tahu beberapa perkara penting dalam urusan keluar negara seperti tentang agensi yang dipilih, syarikat penerbangan yang digunakan dan hotel di Tanah Suci.

Jemaah tidak menyelidiki latar belakang agensi pengelola, sama ada mempunyai lesen dan permit untuk membawa jemaah ke luar negara (outbound) atau hanya mempunyai permit untuk aktiviti pelancongan dalam negeri sahaja (inbound) atau agensi hanya berdaftar sebagai syarikat pengembaraan sahaja yang hanya menguruskan tiket.

Lebih malang apabila agensi yang dipilih merupakan agensi yang beroperasi tanpa lesen perniagaan.

Lambaian Kaabah menyebabkan jemaah alpa tentang syarikat penerbangan yang akan dinaiki, butiran perjalanan dan tempat penginapan yang disediakan agensi. Jemaah lupa untuk mengambil tahu tentang syarikat penerbangan yang akan dinaiki.

Adakah penerbangan tersebut terus ke Jeddah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain. Jemaah lupa bertanya tentang taraf hotel penginapan yang agensi sediakan, jarak hotel dengan masjid dan kemudahan-kemudahan lain yang agensi sediakan.

Malah, j0emaah tidak meneliti terma dan syarat tambahan yang dikenakan oleh agensi, menyebabkan mereka terikat dengan agensi setelah membuat bayaran deposit.

Kebiasaannya jemaah mengambil mudah dan menaruh sepenuh kepercayaan kepada agensi. Jemaah dengan suci hati menyerahkan bayaran kepada agensi dengan harapan agar ibadat umrah dapat disempurnakan.

Faktor kegagalan

Antara sebab utama kegagalan agensi pengelola umrah membawa jemaah ke Tanah Suci adalah kekurangan modal khususnya dalam berurusan dengan syarikat-syarikat penerbangan dan penginapan di Tanah Suci.

Contohnya dalam urusan penyediaan tiket jemaah, agensi pengelola umrah terpaksa membayar deposit kepada syarikat penerbangan. Malangnya urusan visa jemaah tidak berjaya dikeluarkan sebelum tarikh penerbangan yang ditempah.

Dengan itu, agensi kerugian kerana wang deposit telah hilang. Terdapat juga agensi yang menguruskan visa dahulu, malangnya apabila visa berjaya dikeluarkan, tiket penerbangan yang dijadualkan telah habis, tempat tidak mencukupi dan harga tiket telah berubah.

Agensi terpaksa mencari syarikat penerbangan lain yang sudah tentu akan mengubah tarikh dan jadual berlepas serta harga yang lain. Untuk menampung perubahan kos-kos yang tidak dijangka ini agensi akan meminta bayaran tambahan daripada jemaah atas alasan berlaku kenaikan dalam pertukaran wang asing, kenaikan dalam airport tax dan surcaj bahan api.

Faktor kedua, apabila agensi menghadapi masalah dalam menguruskan visa perjalanan jemaah. Sebabnya, agensi tidak mempunyai hubungan baik dengan syarikat yang menguruskan visa di tanah air dan juga dengan muassasah di Tanah Suci.

Terdapat agensi mengambil jalan mudah; menggunakan orang tengah menguruskan visa jemaah. Ini menyebabkan kebergantungan yang sepenuhnya agensi kepada orang tengah dalam menguruskan visa jemaah, sekiranya orang tengah tersebut gagal mendapatkan visa, agensi terpaksa membatalkan pakej umrah yang dijual.

Faktor kurang pengalaman dan pengetahuan mengelola urusan umrah turut menyumbang kepada masalah ini.

Terdapat juga agensi yang kurang mahir dalam berurusan dengan orang arab di Arab Saudi khususnya dalam urusan hotel. Lantaran itu timbul kisah jemaah yang terpaksa berarak mengikut pegawai pengiring dari agensi pengelola mencari hotel sewaktu tiba di Tanah Suci. Ini berlaku kerana agensi tidak membuat tempahan hotel sebelum jemaah berlepas dari tanah air.

Tips pilih agensi

Hasrat murni jemaah menunaikan ibadah umrah dengan sempurna dapat ditunaikan sekiranya jemaah mengambil langkah-langkah berikut:

i. Membuat kajian perbandingan harga pakej-pakej yang ditawarkan. Kebiasaannya harga berubah mengikut musim dan jenis pakej yang dipilih. Setiap promosi yang diiklankan mempunyai nombor rujukan kelulusan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia;

ii. Menyelidiki latar belakang agensi; lesen dan permit untuk outbound yang sah; pengalaman agensi mengelolakan umrah dan urusan visa yang dikendalikan oleh agensi; dan sama ada agensi menguruskan sendiri atau menggunakan khidmat orang tengah;

iii. Mengambil tahu syarikat penerbangan, jenis perjalanan sama ada terus ke Jeddah atau ke Madinah atau jemaah perlu transit dan bermalam di negara lain;

iv. Mengambil tahu tentang hotel penginapan yang disediakan oleh agensi;

v. Bagaimanakah bayaran dibuat. Sama ada kepada akaun syarikat atau kepada akaun persendirian pengurus agensi atau kepada akaun agen-agen yang dilantik oleh agensi.

Pastikan jemaah menyimpan resit pembayaran dan dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh agensi;

vi. Adakah terdapat bayaran-bayaran tambahan yang tersembunyi;

vii. Adakah agensi mengenakan syarat-syarat tambahan yang tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa;

viii. Adakah agensi mengadakan kelas bimbingan umrah; dan

ix. Setelah berpuas hati dengan maklumat-maklumat seperti di atas barulah jemaah boleh membuat pemilihan agensi pengelola umrah.

Tindakan

Agensi-agensi pengelola umrah terikat dengan akta dan peraturan berikut:

i. Akta Industri Pelancongan 1992;

ii. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992;

iii. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Pemandu Pelancong) 1992;

iv. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Pelesenan Institusi Latihan Pelancongan) 1994;

v. Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 1992;

vi. Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999; dan

vii. Peraturan-Peraturan Kenderaan Pelancongan (Pelesenan dan Pengawalan Kenderaan Pelancongan).

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) amat prihatin tentang kes-kes kegagalan agensi pengelola umrah membawa jemaah ke Tanah Suci. Jemaah yang rasa tertipu atau tidak puas hati dengan perkhidmatan yang diberikan bolehlah membuat aduan kepada Jawhar.

Bagaimanapun jemaah tersebut perlu mengemukakan invois pembelian pakej, jadual lawatan, resit pembayaran, gambar atau apa-apa dokumen yang boleh membuktikan kesahihan aduan.

Aduan juga boleh dikemukakan kepada Bahagian Pelesenan, Kementerian Pelancongan Malaysia.

Penutup

Keghairahan jemaah menunaikan umrah menyebabkan mereka alpa hak-hak sebagai pengguna apabila mendaftar dengan sesebuah agensi pengelola umrah.

Kegagalan menunaikan umrah mengikut tarikh yang dijanjikan menyebabkan jemaah mengalami kerugian kerana perjalanan dan cuti yang telah dirancang terpaksa ditunda.

Perubahan jadual perjalanan ini juga akan menyebabkan jemaah terpaksa membatalkan hasrat menunaikan umrah.

Justeru, buatlah pilihan yang bijak dan betul.

Oleh WAN NAJMIAH WAN MOHAMED ALI

Petua Menyihatkan Payudara

Wanita! Jagalah buah dada anda

Marilah berkongsi beberapa tips tentang cara menyihatkan payudara anda. Di antara beberapa rahsia dan petua untuk menjaga kesihatan dan kecantikan payudara anda adalah;

1. Lakukan pemeriksaan
Melakukan pemeriksaan payudara sendiri secara rutin. Setiap wanita sebaiknya memeriksa payudaranya sendiri, paling tidak sebulan sekali pada tarikh yang sama, apabila tiada haid. Bagi yang masih mendapat haid, waktu terbaik memeriksa payudara iaitu beberapa hari setelah berakhirnya masa haid, setiap bulan. Ketika itu payudara sudah kembali lembut. Jika terdapat sebarang perubahan, anda disarankan berjumpa doktor.

2. Pembedahan

Elakkan melakukan pembedahan payudara jika sekadar untuk membesarkan ukurannya. Kecantikan wanita bukan sekadar terletak pada aset ini sahaja, tetapi terletak pada ‘hatinya’.

3. Senaman

Lakukan senaman dan perawatan payudara secara sendirian iaitu senam payudara dan yoga. Salah satu cara melatih otot pektoral adalah dengan menekan kedua telapak tangan separas dagu pada dinding (seperti posisi mendorong), arahkan pandangan ke langit, tahan beberapa detik, kemudian lepaskan. Ulangi latihan ini sampai 10 kali. Latihan ini boleh dilakukan ketika anda berada di bilik mandi. Rasakan tarikan pada otot pektoral ketika anda menggerakkan kepala ke atas. Kegiatan mengankat dan menurunkan bahu, apabila dilakukan berulang-ulang, dapat memperkuatkan otot dada.

Jika senaman yoga menjadi pilihan, mula-mula tenangkan fikiran, mulai dengan dalam posisi yoga. Depakan kedua lengan separas bahu. Gerakkan dengan lembut lengan kanan ke atas dan lengan kiri ke bawah. Kembalikan posisi lengan hingga sejajar dengan bahu. Rehat kira-kira 5 saat. Kemudian ganti posisi, lengan kiri ke atas dan lengan kanan ke bawah. Lakukan gerakan tersebut masing-masin 10 kali.

4. Urutan

Mengurut payudara dengan minyak aroma terapi, dapat menjaga keanjalan payudara. Urutan baik untuk merangsang sirkulasi darah. Caranya lakukan urutan ke arah luar, ke bawah dan ke arah dalam, kemudian mengikuti aliran getah bening ke arah ketiak, ke bawah tulang selangka dan ke arah tulang dada. Dibandingkan dengan masker dan krim yang disapukan, penggunaan minyak aroma terapi adalah lebih efektif kerana urutan akan lebih mudah meresap ke dalam kulit, mengalir dalam darah, kelenjar susu serta menyusup ke seluruh tubuh.

5. Bersihkan payudara

Payudara yang sihat adalah payudara yang bersih. Perhatikan kebersihan puting yang merupakan tempat keluar air susu, sekaligus kelenjar minyak yang berfungsi untuk melicinkan puting dan arela, agar tidak kering dan kulitnya tidak pecah. Gunakan kapas yang sudah dibubuhi minyak zaitun untuk membersihkan sisa kelenjar iaitu kelenjar minyak yang sering melekat pada puting.

6. Penggunaan Coli
Gunakan baju dalam atau coli yang sesuai dengan anda dan bukannya sekadar melekap di situ sahaja. Seelok-eloknya memakai coli yang sesuai mengikut saiz payudara, iaitu sepanjang tempoh kehamilan dan waktu menyusu anak.

7. Penyusuan

Sekiranya menyusukan anak, letakkan posisi bayi dengan betul dan selesa agar ia tidak terlalu menarik payudara. Terdapat masalah dalam tempoh penyusuan, ia termasuk bengkak buah dada. Cara mengatasi masalah itu, perah payudara perlahan-lahan untuk melembutkan terlebih dahulu sebelum menyusu atau tuam air suam untuk melegakan kesakitan.

Kelebihan menyusukan anak dapat menghindarkan dari penyakit barah payudara, barah ovari dan membantu mengecutkan rahim kembali kepada asal (selepas bersalin).

8. Ramasan
Elakkan pasangan anda membuat ramasan payudara (sewaktu melakukan hubungan seksual) dengan menolak ke kanan atau ke kiri terlalu kuat. Ini adalah kerana perlakuan sebegini kerap boleh membuatkan payudara anda kendur lebih cepat.