Jangan abai anak selepas bercerai

Berpisah bukan kerana kerelaan hati, penyesalan yang tidak berkesudahan. Batin menjeritkan belaian kasih sayang, namun tidak dapat diluahkan dengan kata-kata untuk merawat hati yang rawan.

Mudah benar keputusan diambil, sedia bila terasa tidak sesuai bersama lalu proses perceraian didaftar supaya keputusan mahkamah dapat dijadikan alasan kukuh untuk kehidupan baru mengikut haluan sendiri.

Kita mungkin hanya memikirkan perceraian adalah jalan terbaik. Pernahkah kita melihat sedalam-dalamnya ke mata anak, bagaimana kehidupan cahaya mata kemudian hari dan patutkah mereka menanggung kesakitan diterbitkan atas keegoan ibu bapa?

anak mangsa perceraian

Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan, berkata jiwa dan emosi kanak-kanak sering ditinggalkan saat ibu bapa sibuk dengan prosiding perceraian yang dicapai mereka dan dilihat sebagai mementingkan diri sendiri.

Suara yang diluahkan anak jarang sekali diambil pertimbangan dan si kecil yang menjadi mangsa terpaksa berdepan dengan masalah yang ditimbulkan ibu bapanya sendiri.

“Apabila jalan penyelesaian adalah perceraian, pasangan akan mengambil keputusan untuk mengambil haluan masing-masing dan bergerak sama ada solo mahupun bersama teman baru dalam hidup mereka.

“Namun, pada masa yang sama, dalam meleraikan segala kekusutan itu, mereka tidak sedar kehidupan anak mereka tersepit di tengah-tengah dilema dua hati dan berperang dengan curiga yang tidak tidak pernah diambil kira.

“Kanak-kanak yang masih mentah terpaksa bergolak dengan pemikiran dan perasaan sendiri kerana terpaksa melihat ibu bapanya sering bertikam lidah mahupun tidak lagi duduk serumah,” katanya dalam forum kanak-kanak Voices of Judicial Change, baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak yang melihat keluarga berpecah berkemungkinan mengalami masalah emosi seperti kurang keyakinan, murung dan celaru berbanding kanak-kanak yang memiliki kehidupan normal.

“Kesan perceraian, kanak-kanak terpaksa berdepan dengan kemurungan dan mereka belum cukup bijak meluahkan perasaan yang bergolak oleh itu adalah peranan ibu bapa untuk mengetahui dan fahami permintaan anak kecil.

“Jika perasaan tidak puas hati dibiarkan berlanjutan, ia bakal membawa kesan negatif terhadap anak yang sepatutnya membesar dalam persekitaran yang positif dan berkasih sayang bagi membesar dengan lengkap” katanya.

Beliau juga memberitahu, pasangan bercerai seharusnya bijak berkomunikasi dan mengutamakan hak serta pendapat anak.

“Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahu pun selepasperceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian.

“Interaksi antara ibu bapa juga perlu didiksupaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Profesor Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin menjelaskan pasangan bercerai perlu memikirkan rindu atau betapa hancurnya emosi anak yang direntap begitu saja walhal si kecil ini tidak bersalah. Perkara ini mengakibatkan anak itu membesar dalam keadaan benci dan berdendam.

“Ini boleh mengakibatkan masalah sosial meningkat akibat keputusan singkat yang diambil kedua ibu bapa mereka,” jelasnya.

Katanya, apabila ayah dan ibu tidak lagi mempunyai rasa terikat dan saling `membuang’ secara tidak langsung menjadikan kekuatan dalaman anak ini tidak terbentuk dengan baik. Banyak perkara negatif memenuhi jiwa dan memberi kesan langsung dengan tumbesaran mereka.

Mereka kecewa dengan hidup, murung, suka membuli, melakukan keganasan, gagal dalam akademik dan juga gagal dalam hidup. Anak ini juga mengalami tekanan emosi yang teruk, kesihatan badan tidak kuat, kemurungan, bimbang dengan hidup, bahkan lebih pendek jangka hayat mereka.

Terdahulu, bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Faiza Tamby Chik, berkata hak bersuara diberikan kepada anak yang terpaksa hidup dengan ibu bapanya yang bercerai dan mahkamah mengambil berat mengenai kebajikan si kecil yang menjadi mangsa keadaan.

“Sebelum memutuskan keputusan berdasarkan fakta tertentu, mahkamah akan mengadakan sesi khas bagi melihat dan memahami perasaan mahu pun permintaan anak itu sendiri dan tiada penetapan usia dikenakan untuk itu.

“Bagaimanapun, mahkamah tetap mengambil kira faktor sekeliling terutama jantina kanak-kanak, usia dan persekitaran pembesaran mereka sebelum memutuskan hak penjagaan.

“Ini sebagai langkah awal memastikan kanak-kanak dapat dibesarkan dalam persekitaran sihat berikutan mereka cukup berharga dan perlu dilindungi dari kekejaman,” jelasnya.

Panduan mengeratkan hubungan bersama anak selepas bercerai

* Contoh

Beri contoh terbaik supaya boleh menjadi ikutan dan panduan buat anak. Perbaikilah diri kita dulu sebelum menegur anak dan menasihati mereka. Jangan jadi seperti kata pepatah `ketam yang mengajar anak berjalan lurus’.

* Aliran semasa

Ambil tahu perkembangan sukan, muzik, filem, fesyen terkini dan sebagainya. Ikut arus gelombang anak remaja. Ia membantu untuk lebih mudah berinteraksi dengan mereka.

* Alam maya

Dalam kecanggihan teknologi yang semakin pesat, si anak lebih gemar berahsia dan memendam rasa melalui alam maya menerusi ruang rangkaian sosial seperti Friendster atau Facebook, mereka meluahkan status terkini mereka sama ada gembira, sedih atau segala apa saja yang mereka rasa.

* Masa kualiti

Perbanyak aktiviti untuk dilakukan bersama dan cuba fahami minat anak. Masa yang dilaburkan untuk melawat anak seharusnya dimanfaat dengan baik supaya mereka tidak rasa berjauhan.

* Solat berjemaah

Solat bersama memberikan faedah hubungan antara ahli keluarga.

* Doa

Janganlah lupa berdoa kepada Allah. Tiada permintaan yang lebih mustajab, selain daripada doa daripada orang tua sendiri.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar