Masalah keputihan dan jangkitan kuman

“Keputihan’ yang disebabkan oleh keluaran lendir dari faraj seringkali menimbulkan kerunsingan dan ketakutan di kalangan wanita-wanita.

Perkara yang paling ditakuti sekali ialah jangkitan kuman (venereal disease) seperti siplis dan gonorrhea iaitu penyakit –penyakit yang dijangkitkan menerusi hubungan seks. Perkara lain yang merunsingkan wanita ialah kemungkinan beliau mengidap penyakit kanser pada bahagian peranakan. Bagi gadis-gadis yang belum berkahwin, pengeluaran keputihan menimbulkan persoalan samada mereka mengidap penyakit yang mengancam kesuburan mereka di masa hadapan kelak.

1. Peranan lendir di dalam faraj

Pengeluaran lendir keputihan dari kemaluan tidak semestinya menandakan penyakit. Di sebaliknya ia mungkin tanda seperkara yang biasa sahaja. Lendir dikeluarkan oleh faraj dan pangkal rahim untuk tujuan tertentu. Ia dikeluarkan oleh sel-sel dan kilang-kilang khas pengeluar lendir.

Lendir ini mempunyai tugas pelindung kepada sel-sel dan dinding saluran faraj. Jika tanpa lendir, sel-sel tersebut akan menjadi kering dan rosak. Kekeringan faraj sering dialami oleh wanita-wanita yang telah putus haid (menopause) dan iini boleh menimbulkan masalah seperti rasa sakit sewaktu bersetubuh dan terkeluarnya darah dari dinding faraj.

Lendir faraj juga mempunyai peranan penting dalam peranan persetubuhan dan pengeluaran lendir bertambah banyak ketika naik syahwat dan ketika bersetubuh. Dalam keadaan demikian lendir adalah dikeluarkan oleh kilang-kilang lendir yang khusus dan terletak di bibir faraj. Keluaran lendir dari faraj yang berlebihan boleh berlaku di kalangan gadis-gadis yang sedang di alam percintaan dan gadis-gadis yang tinggi syahwatnya.

Pangkal rahim (cervix) juga mengeluarkan lendir denga tujuan-tujuan tertentu. Lendir pangkal rahim memainkan peranan dalam percantuman di antara benih lelaki (sperm) dan benih perempuan (ovum) di dalam proses persenyawaan.

Lendir ini mempunyai daya untuk membekal makanan dan tenaga kepada benih-benih lelaki untuk beberapa hari dalam keadaan hidup jika sperma terletak di dalam lendir di pangkal rahim (pada kebiasaannya benih lelaki hanya hidup di antara 24-28 jam sahaja). Sifat dan keadaan lendir di pangkal rahim berubah dengan pusingan haid oleh sebab terpengaruh dengan perubahan paras hormon.

2. Apakah yang mengawal pengeluaran lendir?

Pengeluaran lendir dari faraj adalah dipengaruhi oleh paras-paras hormon-hormon iaitu estrogen dan progesteron di dalam darah wanita. Hormon-hormon tersebut menambah bilangan kilang-kilang lendir dan membesarkan saluran-salutran kilang tersebut. Kenaikan dalam paras hormon tersebut , menambahkan lagi pengeluaran lendir dari dinding faraj dan pangkal rahim.

Keadaan ini sering kita temui apabila seorang wanita hamil. Ketika kehamilan kandungan hormon-hormon estrogen dan progesteron meningkat naik dan ini seringkali menyebabkan pengeluaran lendir yang berlebihan dari biasa.

Keadaan yang sama seringkali dialami oleh wanita-wanita yang memakan pil perancang keluarga kerana pil tersebut mengandungi kedua jenis hormon etsrogen dan progesteron. Wanita-wanita yang sedang dalam rawatan dengan ubat-ubat hormon oleh sebab penyakit-penyakit yang tertentu seperti endometriosis kadang-kala juga mengalami pengeluaran lendir yang berlebihan.

Keadaan-keadaan tersebut di atas adalah dianggap sebagai fisiologi atau biasa dan tidak perlu merasa gempar atau bimbang.

Pengeluaran lendir yang berlebihan juga boleh berlaku kerana gangguana jiwa seperti keadaan yang menimbulkan kesedihan atau kegembiraan yang amat sangat. Begitu juga wanita-wanita yang bekerja kuat dan memerlukan tenaga fizikal yang banyak, pengeluaranlendir yang berlebihan juga boleh berlaku.

Sifat lendir yang normal

Pada kebiasaannya sifat dan rupa lendir atau keputihan itu adalah jernih , cair tanpa berbau dan tidak diiringi rasa gatal.

3. Keputihan sebagai tanda penyakit

Pengeluaran lendir atau keputihan boleh menandakan sejenis penyakit pada faraj dan sistem peranakan. Di dalam keadaan sedemikian, pada kebiasaannya lendirnya bersifat putih pekat, kelihatan seperti nanah, seringkali berbau busuk serta diiringi rasa gatal-gatal pada sekeliling faraj. Adakalanya warna lendir itu berwarna kemerahan atau coklat kerana bercampur darah. Ini adalah tanda yang perlu diawasi kerana ada kemungkinan besar ada sejenis jangkitan kuman berlaku.

4. Jenis-jenis jangkitan kuman
Beberapa jenis kuman boleh menjangkiti faraj, rahim dan saluran fallopian. Sesetengah daripada jangkitan kuamn hanya terhad kepada faraj tanpa melibatkan rahim dan saluran fallopian. Keadaan ini tidak begitu membahayakan. Tetapi apabila jangkitan kuman merebak kepada saluran fallopian di antara perkara-perkara yang akan timbul dalam jangka-masa panjang ialah kemandulan, masalah haid, kesakitan dan lain-lain.

i. Kuman

Kuman bakteria jenis E-coli adalah kuman yang sering menjangkiti kemaluan dan perkakas peranakan. Kuman-kuman yang lain yang merbahayakan ialah kuman gonorrhea dan siplis. Kuman yang digelar dengan nama ‘Trichomonas’ sering juga menjangkiti kemaluan dan menyebabkan pengeluaran lendir yang berwarna kehijauan dengan disertai gatal-gatal dan bau busuk

ii. Kulat

Kulat yang digelar dengan nama ‘Monilia’ atau ‘candida’ sering menjangkiti wanita yang sedang hamil atau mengidap kencing manis.

iii. Virus

Virus seperti ‘herpes’ dan ‘chlamydia’ sering menjangkiti kemaluan dan perkakas peranakan.

5. Apakah bahaya jangkitan kuman

Di antara-antara penyakit jangkitan kuman terdapat beberapa jenis yang membahayakan terutama jika ia menyerang saluran fallopian. Ia menyebabkan kemandulan , kesakitan ketika haid, pendarahan yang banyak selepas persetubuhan. Kuman yang hanya menyerang faraj dan pangkal rahim kurang merbahaya kerana masalah-masalah yang ditimbulkan adalah kecil iaitu sakit sewaktu bersetubuh, pendarahan selepas bersetubuh. Tetapi ia jarang menyebabkan masalah-masalah yang teruk dan kemandulan.

6. Bagaimana kuman berjangkit?

Wanita-wanita yang hamil, selepas bersalin , selepas gugur, memakan pil perancang keluarga, memakai alat dalam rahim seperti IUD dan lepas putus haid mempunyai lebih risiko untuk dijangkiti kuman.

Kebanyakan jangkitan kuman adalah hasil dari perhubungan seks.. Oleh itu adalah tidak memeranjatkan jika penyakit tersebut lebih sering dihadapi oleh wanita-wanita pelacur dan mereka yang mengamalkan seks rambang (promiscuity).

Pasangan lelaki atau suami boleh mengidap penyakit yang sama khususnya ‘gonorrhea walaupun tidak mengalami apa-apa tanda penyakit tetapi ia hanya menyimpan kuman tersebut di dalam kemaluannya dan boleh menjadi sumber penularan dari satu mangsa ke mangsa lain.

Keputihan bermasalah perlu rawatan segera

Keputihan dihadapi kebanyakan wanita adalah sesuatu yang normal. Umumnya, setiap wanita ada keputihan kerana ia sebenarnya proses perubahan hormon dan pembersihan yang mana sel sudah mati pada lubang faraj dikeluarkan.

Pensyarah Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Nur Azurah Abdul Ghani (gambar), berkata selain wanita yang sudah berkahwin dan hamil, remaja perempuan juga ada mengalami masalah keputihan, malah ada kalanya budak kecil turut tidak terkecuali.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebiasaannya remaja jarang dapat keputihan kecuali mereka mengambil ubat tertentu seperti mengambil ubat untuk penyakit diabetes, mempunyai sistem badan rendah atau seorang yang aktif secara seksual.

Berbanding wanita hamil memang berisiko mengalami masalah keputihan kerana perubahan hormon yang berlaku ketika kehamilan menyebabkan wanita berkenaan sesuai untuk mengalami jangkitan kulat. Secara anggaran, hampir 80 peratus atau 8 dalam 10 wanita hamil mungkin ada masalah keputihan.

Begitu juga wanita yang sudah berkahwin, dianggarkan 75 peratus akan mengalami masalah keputihan. Masalah itu berlaku sebab wanita itu sudah ada pendedahan seksual dan ini menyebabkan dirinya senang dijangkiti.

“Ada ibu yang risau tengok anak perempuan daripada usia bayi lagi sudah ada keputihan. Hal itu tidak perlu bimbang kerana keputihan adalah kitaran perubahan hormon dalam badan yang menyebabkan cecair itu keluar.

“Remaja dan wanita lain juga tidak perlu bimbang jika ada keputihan kerana selagi tidak mendatangkan gatal dan tiada kemerah-merahan pada bahagian sulit, ia dikatakan keputihan yang biasa atau disebabkan kitaran hormon,” katanya ketika ditemui Berita Harian di HUKM, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Nor Azurah berkata, keputihan dianggap bermasalah atau yang lain daripada biasa, seandainya ia keluar terlalu banyak, berbau busuk dan hanyir serta menyebabkan bahagian sulit berasa gatal atau radang. Keputihan itu juga tidak berwarna putih lagi, tetapi berketul-ketul seperti keju dan menjadi kekuningan serta hijau.

Keadaan seumpama itu selalunya disebabkan penyakit lain atau dikaitkan dengan jangkitan kuman seperti tricomonas, bakteria dan flagellat.

Jika keputihan keluar banyak sehingga menyebabkan berasa gatal dan sakit pada bahagian sulit, beliau menasihatkan wanita berkenaan perlu berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan rapi. Ini berikutan, kegatalan yang amat sangat menyebabkan seseorang itu menggaru sehingga kulit vagina akan melecet dan terasa pedih atau seperti terbakar.

“Faraj mengandungi kuman semula jadi bacillus asidofilus yang menghasilkan asid lactate berfungsi melindungi faraj dari kemasukan kulat dan kuman. Kadangkala pembiakan kuman asidofilus meningkat dan menyebabkan pengeluaran cecair berwarna putih kekuningan dan berbau masam.

“Bau masam pun boleh berlaku akibat tindak balas kuman kepada peluh yang sering berlaku pada bahagian kemaluan. Kadangkala keasidan faraj kurang dengan tahap yang memudahkan sejenis kulat yis menghinggapinya dan membiak serta menjadi masalah,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Nor Azurah berkata kebanyakan wanita malu untuk membuat pemeriksaan doktor dan menganggap masalah seumpama itu perkara biasa. Hanya kurang 15 peratus yang datang untuk membuat pemeriksaan doktor.

“Rata-rata yang datang pula apabila sudah ada radang dan tidak tahan lagi menahan sakit. Selain itu, ada yang lebih suka merawatnya dengan kaedah tradisional dan cuba mengubah amalan pemakanan. Jika tidak berjaya, baru mereka datang berjumpa doktor untuk rawatan. Tetapi bagi kebanyakan wanita hamil masalah keputihan dirawat dan dikesan doktor apabila wanita berkenaan membuat rutin pemeriksaan,” katanya.

Dr Nor Azurah berkata, masalah keputihan disebabkan jangkitan kulat tidak membawa kesan pada kesuburan. Tetapi dari segi hubungan seksual antara suami isteri memang ada kesan. Apabila masalah keputihan teruk dan berbau sudah tentu tiada keinginan untuk melakukan seks.

Katanya, radang pada kawasan sulit menyebabkan pasangan berasa sakit dan tidak selesa apabila hendak bersama. Malah, walaupun tidak dikategorikan dalam penyakit kelamin berjangkit, jika isteri ada masalah keputihan, suami boleh mendapat jangkitan kuman itu dan kesan yang dialaminya juga sama termasuk, sakit ketika hendak buang air.

“Pakai seluar dalam pun berasa sakit apatah lagi hendak bersama. Keadaan itu sama seperti bayi yang berasa sakit dan sering menangis apabila melecet dan ada masalah ruam atau radang lampin,” katanya.

Mengenai kaedah rawatan herba yang digunakan untuk mengatasi masalah keputihan, Dr Nor Azurah berkata, ada penggunaan rawatan itu yang menyebabkan kes pendarahan berlaku. Rawatan itu bukan saja menyebabkan keputihan hilang, tetapi membuatkan rahim mengecut.

Pengecutan rahim kadang-kadang menyebabkan keluar darah beku dan darah yang banyak. Tetapi pendarahan yang berlebihan dan tidak mudarat, tidak mengapa selagi wanita itu sendiri boleh toleransi dengan keadaan berkenaan.

“Banyak yang kata, herba berkesan tetapi tiada data untuk menyokong. Jadi, biarkan individu buat keputusan sendiri. Seperti rawatan moden yang juga ada kesan sampingan, begitu jugalah rawatan herba. Cuma bezanya, rawatan moden ada kajian dan data yang menyokongnya.

“Tidak adil menyatakan rawatan herba itu berkesan atau sebaliknya. Tetapi satu perkara kita perlu faham, kaedah perubatan tradisional itu sudah lama diamalkan orang dulu dan didapati berkesan serta diperturunkan dari generasi ke generasi hingga kini. Jadi, jangan membelakangkan kaedah tradisional kerana sudah ada kesahihan walaupun tiada sokongan data,” katanya.

FAKTA: Keputihan yang dihadapi kebanyakan wanita
Secara umumnya, wanita mudah mengalami keputihan pada sekitar sebelum waktu haid mereka.

Rawatan masalah keputihan boleh dirawat tetapi boleh berulang jika tidak mengambil dos ubat yang ditetapkan.

Ada dua jenis rawatan iaitu pil makan dan ubat sapu atau ubat suppofositori berbentuk peluru yang dimasukkan ke dalam ruang faraj.

Wanita yang berkahwin, hamil dan sudah ada hubungan seksual lazimnya, akan diberikan suppofositori yang diambil untuk pagi dan malam. Wanita yang belum berkahwin atau belum pernah ada aktiviti seksual rawatan lebih sesuai ialah pil makan.

Rawatan selalunya seminggu tetapi yang menjadi masalah ada pesakit yang ambil tiga kali seminggu kemudian berhenti apabila sudah nampak kesannya.

Krim sapu bertujuan untuk mengurangkan masalah radang, gatal dan melecet pada bahagian sulit dan celah kangkang.

Individu yang mengalami masalah keputihan disarankan mengamalkan amalan pemakanan dengan membanyakkan makan sayur hijau dan dadih yang ada kandungan lactobasillus.

Wanita yang ada masalah radang digalakkan kerap menukar seluar dalam dan pakai yang diperbuat daripada kain kapas serta longgar.

Ada kes yang mengambil pil perancang mengalami masalah keputihan yang teruk, tetapi tidak semua yang mengambil pil perancang ada masalah keputihan.

Cara pemeriksaan ialah doktor meneliti faraj wanita itu dengan menggunakan alat pembuka faraj dan mengambil cecair untuk melakukan kajian mikrob supaya dapat mengenali jangkitan sebenar serta ubat yang lebih spesifik diberi.

Contoh jenis jangkitan

Kulat Candidiasis (keputihan seperti kepingan susu basi) yang perlu dirawat.

Kuman Tricomonas (lelehan keputihan atau tidak berwarna cair, banyak, berbuih)

Bacterial vaginosis (lelehan berbuih, berbau hanyir)

Kuman Chlamydia (jarang menyebabkan lelehan)

Kuman Gardneralla (lelehan cair berbau busuk)

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Rawat Keputihan. Nak tau, sila klik sini