Apabila suami tak romantik

Biasanya saya dengar suami mengeluh kerana isterinya tak romantik setelah berkahwin dan mempunyai anak. Dengan alasan tersebut mereka akan mencari orang ketiga untuk mengisi kekosongan di hati.

suami tak romantik

‘‘Jadi saya nak tanya pembaca semua jika keadaan terbalik, suami pulak tidak romantik setelah berkahwin dan mempunyai anak, apakah patut si isteri mencari pengganti baru atau kekasih untuk mengisi kekosongan di hati?’’ Demikian pertanyaan Norjaslina dalam emelnya kepada penulis.

‘‘Suami sering menyalahkan isteri tak romantik, tak pandai layan suami, tak tahu bersolek, badan berbau, pakaian di rumah buruk. Semua masalah itu menjadi punca mereka cari kekasih. Tetapi pada saya suami juga teruk perangai serta busuknya bau badan mereka.

‘‘Macam suami saya, sejak mula bercinta macam nak matilah kita raikan hari lahirnya, dia haram tak pernah ingat hari lahir saya. Alasannya terlupa. Waktu bercinta apa juga alasannya saya terima. Kerana sayang konon.

‘‘Tetapi sekarang dah lebih 10 tahun berkahwin, alasannya masih sama juga. Percaya tak kalau saya katakan dia tak pernah belikan saya hadiah langsung untuk hari lahir saya. Bila saya tanya dia kata buat apa membazirkan duit.

‘‘Suami saya Fikri ni bukan setakat lupakan hari lahir saya, ulang tahun perkahwinan pun dia tak pernah ingat. Bila saya tanya tak ada kad ke dia kata, ‘‘Buat apa beli kad mulut ada ucaplah sendiri!’’ ‘‘Sekarang saya nak dengar ucapan dari mulut abang!’’ Dia kata, ‘‘awak dah ingat tu kira samalah tu’’ Aduh sakitnya hati.

Begitulah hati dan perasaan Fikri sejak dari mula kami kahwin hinggalah sekarang. Agaknya kalau panjang jodoh kami sampai saya mati pun dia tak akan belikan alasannya terlupa.

‘‘Biasanya tiap-tiap tahun saya akan ajak dia makan kat luar atau saya masak special untuk raikan ulang tahun perkahwinan kami, dia boleh tanya: ‘‘Buat apa makan kat luar. Saya pulak terpaksa bagi tahu hari ini ulang tahun perkahwinan kita.

Istimewa

‘‘Hairannya bila saya raikan hari lahirnya dia tak kata pun membazir bila saya beri dia hadiah istimewa. Dia kata terima kasih. Senyum sampai telinga.

‘‘Sekarang bila anak-anak dah besar bila saya ingatkan dia hari lahir saya, maka dia akan panggil anak-anak suruh nyanyi lagu selamat ulang tahun. Lepas tu dia akan buat ucapan menyakitkan hati saya, ‘‘dah semakin tua you sekarang ya’’.

‘‘Bila saya tanya mana hadiah dia akan membebel, tak ada duit. Kalau saya minta hadiah juga dia akan hulur duit RM30 atau RM50. ‘‘Hah awak ambillah duit ni belilah hadiah apa awak suka.

‘‘Saya bukanlah romantik sangat, tetapi saya akan periksa apa keperluannya, sama ada dia perlu baju baru, tali leher, pewangi, kasut atau apa sahaja yang dia suka. Bila dapat hadiah senyum sampai telinga.

‘‘Tapi kalau raikan hari lahir saya dan anak-anak dia mula kata membazir. Bukan saya buat minta duit dia. Tambah pelik dia tak pernah ingat hari lahir anak-anak apa lagi saya. Agaknya dia kedekut, takut kami minta belikan hadiah.

‘‘Mulai tahun ini saya dah buat keputusan muktamad, saya tak akan raikan hari lahir Fikri lagi, kerana dia tak pernah ingat hari lahir saya atau ulang tahun perkahwinan kami. Tapi untuk anak-anak saya akan tetap raikan, bukan nak buat parti besar-besaran, cukup sekadar kami anak beranak.

Pada saya meraikan hari lahir atau ulang tahun perkahwinan adalah untuk menimbulkan rasa ceria dan gembira dalam keluarga.

‘‘Kesan daripada tindakan saya tidak meraikan hari-hari yang bermakna ini mungkin perasaan kasih sayang antara kami semakin jauh, cinta kami semakin hambar dan jiwa saya semakin kosong. Jadi apa lagi yang tinggal kalau jiwa dah hambar dan tidak menggembirakan lagi?

‘‘Kebanyakan suami berfikiran apabila sudah jadi isterinya sama ada suka atau tidak wanita itu akan terus jadi isterinya. Jadi tak payahlah nak jaga hati dan perasaan isteri. Pada saya itu satu perangai buruk suami tak tahu menilai dan menjaga hati isteri.

‘‘Satu lagi perangai buruknya tak suka kalau kawan atau jiran kita datang ke rumah dia akan tunjukkan perangai buruk menengking dan memarahkan anak-anak dengan suara amat kasar depan tetamu.

‘‘Tujuannya supaya kawan saya segera balik, jadi tak dapatlah saya nak berbual dengan tetamu. Pernah Fikri kata kawan pejabat habis kat pejabat, jiran cukup sekadar bertanya khabar bukan nak datang ke rumah mengganggu aja. Itulah perangai buruknya membuat jiwa saya lebih tertekan .

‘‘Sebenarnya banyak lagi perkara buruk yang dilakukannya yang membuat jiwa saya tertekan. Hingga sampai satu peringkat saya fikir lebih baik saya tak ada suami, namun untuk menjadi ibu tunggal dengan 3 orang anak bukan mudah, sebab itu saya terpaksa sabar dengan perangai buruknya. Tapi sampai bila saya mesti sabar?’’

Demikian cerita Norjaslina panjang lebar tentang masalah yang dihadapi.

Namun apabila berdepan dengan suami seperti ini, peranan isteri amat penting, cuba cari dan fikirkan perangai baik yang tersembunyi dalam diri suami anda yang perlu anda beri pujian, lama kelamaan mungkin dia boleh berubah, semoga anda terlepas daripada tekanan yang menyiksa jiwa.

ARKIB UTUSAN : 20/08/2010

Jangan berlandaskan seks

Mengikut statistik, perceraian terkini yang dilaporkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sememangnya diakui kes perceraian semakin menjadi-jadi.

Lebih tragis statistik juga membuktikan banyak kegagalan perkahwinan berlaku di bawah tempoh usia lima tahun. Malah, banyak lagi kes yang masih dalam usaha untuk diselamatkan daripada menempuh alam perceraian.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:

1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat. Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama.

Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin, kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumah tangga berantakan. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta, apabila harta tiada atau rupa tidak seperti ketika mula hati jatuh cinta, perkahwinan akan goyah dan goncang.

2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri.

Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba.

Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak, suami dan isteri. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi, bukan satu kata putus tanpa perbincangan.

Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai, bukan saja keperluan nafkah, kasih sayang dan perhatian malah, mendidik isteri dan anak-anak. Namun, itu bermakna suami berkuasa untuk mengarah itu ini agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberi pendapat dan pandangan.

Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat, kehendak suami tidak perlu ditaati.

3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan.

Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami.

Apabila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya yang memungkinkan cinta yang ada pudar dan hilang lantas usaha untuk keluar daripada perkahwinan dilakukan.

4. Kurang ilmu rumah tangga dan perkahwinan.

Hampir 75 peratus pasangan yang bercerai dikenal pasti sebagai individu yang kurang ilmu berkaitan perkahwinan dan rumah tangga. Hampir 20 peratus lagi adalah individu yang tahu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diketahui, sementara bakinya adalah individu yang hanya memikirkan perkahwinan adalah layanan seks semata-mata.

5. Kurang atau hampir tiada iman Rata-rata kes yang saya kendalikan, punca utama runtuhnya sesebuah perkahwinan adalah kerana kurang atau hampir tiada langsung ilmu dan iman.

Tidak kiralah kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri atau sebelah pihak sahaja sama ada suami atau isteri. Namun, 90 peratus perkahwinan hancur apabila sebelah pihak tidak beriman kepada Allah.

Iman kepada Allah merupakan asas kebahagiaan dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkahwinan. Individu yang mantap iman dan taqwanya kepada Allah akan berusaha sedaya-upaya melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya termasuk berusaha yang terbaik untuk perkahwinan dan rumah tangganya agar sentiasa diredai Allah.

Kurang atau tiada iman menyebabkan individu tidak kisah dan bebas melakukan perkara yang melanggar syarak dan menyakitkan hati pasangan.

Menjaga solat adalah antara usaha penting dalam mengekalkan keharmonian perkahwinan mengikut jalan-Nya. Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan tawaduk akan menghalang individu daripada terlibat dengan perkara keji yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan.

Nasihat seks untuk suami isteri baru

Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga pula, soal seks memang boleh menjadi masalah besar apatahlagi mereka masih belum banyak pengalaman. Dalam hal ini pada siapakah hendak dirujuk. Bagi memudahkan suami isteri baru ini, berikut diberikan beberapa khidmat nasihat perihal seks yang mungkin tersangat diperlukan oleh anda dan pasangan ketika ini.

1. Bagaimana mahu menjadikan seks sentiasa menyenangkan?
Perkara utama yang menyebabkan aktiviti seks suami isteri jadi tidak mengghairahkan lagi adalah stres. Penyebab lain pula adalah fi kiran anda sendiri. Wanita terutamanya sering memikirkan persoalan ‘adakah saya seksi’ atau ‘tubuh saya gemuk dan tak cantik’ ketika melakukan hubungan intim. Sedangkan inilah perkara yang akan mematikan keseronokan melakukan seks. Memikirkan perkara ini akan menghilangkan tumpuan terhadap seks hingga menyebabkan aktiviti yang menyenangkan ini bertukar menjadi hambar dan anda sendiri malas untuk meneruskannya.

2. Apa yang perlu dicuba agar seks makin hebat
Memang tak dapat dinafi kan bila semakin lama bersama, seks akan jadi perkara rutin yang membosankan. Jadi apa kata cuba ubah suasana ketika melakukannya. Kalau selalu asyik di rumah, tempah bilik hotel yang lebih indah dan jauh dari gangguan untuk sesi hubungan intim. Selain itu lakukan kejutan setiap minggu pada pasangan ataupun mencuba teknikteknik baru setiap kali rasa bosan itu terbit di hati. Dijamin selepas ini seks akan menjadi acara yang dinanti-nantikan dan anda sendiri pasti akan teruja untuk melakukannya.

3. Permintaan seks, bagaimana mahu diluahkan
Luahkan saja permintaan itu pada suami kerana tak mungkin suami akan menolak sesuatu yang disukai. Sebenarnya permintaan seks dari seorang isteri seharusnya tidak menjadi perkara yang janggal untuk dilakukan. Lagipun anda meminta dengan suami sendiri, pasangan yang sah. Kalau masih malu juga cuba berikan petanda yang dapat difahami oleh suami. Misalnya memakai baju yang seksi sambil membuat gerakan tubuh yang menggoda. Belaian atau kucupan hangat di leher juga boleh menjadi umpannya.

4. Apa cara pemanasan paling mengghairahkan?
Apa lagi kalau bukan urutan. Paling bagus anda bergilir-gilir melakukannya. Cubalah urut ke seluruh bahagian tubuh pasangan termasuk bahagian yang paling sensitif. Selain itu jangan lupa oles losen ataupun minyak aromaterapi. Cari haruman yang mampu membangkitkan ghairah. Selepas itu pinta suami pula melakukan perkara yang sama buat diri anda. Kalau anda tetap tidak merasa sensasi ghairah seks yang membara, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena!

5. Bagaimana mahu cuba teknik baru
Teknik atau posisi yang sama setiap kali bersama memang akan membosankan. Ramai pasangan yang berkeinginan mencuba teknik baru untuk mengelakkan rasa hambar tapi terasa ragu-ragu untuk mencubanya. Mereka bimbang suami atau isteri tak dapat menerima perubahan yang dilakukan. Selain itu ada juga yang takut teknik baru tidak menyenangkan pasangan ataupun menyakitkannya. Tapi belum cuba belum tahu. Kalau takut posisi baru menjadi sesuatu yang menyakitkan, pesanlah pada pasangan agar jangan memendamkannya sendirian. Berterus terang saja jika posisi atau teknik yang dicuba tidak menyenangkan.

6. Bagaimana mahu menggoda suami?
Antara yang paling mudah adalah dengan memberi belaian dan juga memanggilnya dengan panggilan yang paling manja. Selain itu suara isteri yang lembut juga boleh menggodanya. Begitu juga dengan gerakan tubuh penuh makna. Anda boleh saja lalu di hadapannya sambil memberi pose seksi seperti duduk dengan kaki bersilang atau berbaring sambil menguraikan rambut. Dalam pada masa yang sama berikan jelingan atau senyuman paling manis buat pasangan. Selamat mencuba!

Petikan majalah MINGGUAN WANITA.

Lelaki anggap wanita ‘lauk’

Hakikatnya, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

“Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih,” katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

“Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

“Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan,” katanya.

ISTERI kepada ‘hartawan’ Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem, Farinnie Mohd. Farid mendakwa menjadi mangsa dera dan liwat suaminya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

“Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

“Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah,” katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

Makin lama kahwin pasangan makin ‘senyap’

Satu kajian dijalankan sebuah laman web di Britain mendapati, pasangan yang sudah berkahwin selama 50 tahun atau lebih, hanya bercakap satu sama lain selama tiga minit bagi setiap sejam. Percakapan mereka biasanya pada waktu makan tidak melebihi 150 perkataan.

Kajian turut mendapati pasangan kekasih menghabiskan 50 minit sejam untuk bercakap, pasangan berkahwin 10 tahun, 29 minit.

“Jelas sekali perkahwinan yang panjang ‘membunuh’ minat untuk bercakap,” kata laman web itu. – Agensi

Berbulan madu di usia emas

Perkahwinan ibarat pohon yang perlu dibaja untuk menampakkan hasilnya. Pada satu peringkat atau tempoh akan terasa hambar dan tidak lagi menarik seperti seawal perkahwinan dulu.

Apabila usia mencecah separuh abad, anak-anak kian membesar, rumah tangga dikatakan terlalu sunyi hingga tiada apa lagi untuk diperkatakan antara anda suami isteri.

Justeru cara yang paling baik untuk mencambah kembali bunga-bunga cinta dalam rumah tangga ialah dengan pergi berbulan madu.

Tidak perlu risau kerana anak-anak sudah besar dan boleh menguruskan diri mereka sendiri. Lagipun anda pergi bukan untuk satu tempoh yang lama, cukup sekadar membangkitkan kembali kehangatan dalam rumah tangga anda yang kian suram.

Untuk mengatur satu lagi percutian bulan madu pertama sekali anda berdua perlulah bersedia, maksudnya tiada longgokan tugasan di pejabat dan telah menetapkan tarikh cuti bersama-sama.

Tetapkan bajet untuk percutian bulan madu anda sebaik mungkin. Jika mampu boleh berjalan jauh seperti ke luar negara dan di dalam negara juga sudah pasti menarik buat anda jika kena pada caranya.

Namun untuk bulan madu kali kedua sebaiknya pilih saja lokasi tempat percutian dalam negara. Ini kerana anda mungkin akan berasa lebih tenang kerana sesekali pasti akan terfikirkan keadaan anak di rumah.

Pada usia yang menuju ke arah separuh abad sebaiknya anda berdua melancong ke tempat yang penuh dengan alam semula jadi kerana itu pasti lebih menenangkan jiwa berbanding dengan tempat yang dipenuhi dengan hiburan.

Pasangan suami isteri emas juga lebih baik mengikuti jalan darat yang pastinya dapat mewujudkan perbualan yang lebih banyak apabila melihat keadaan di luar jalan.

Selain itu ia juga lebih ekonomi. Bila tidak pasti arah mana yang hendak dituju, anda berdua boleh merujuk kepada peta dan ini akan merapatkan komunikasi yang semakin kurang antara anda suami isteri.

Tetapi jika anda berdua tidak mahu percutian yang melecehkan sebaiknya anda memilih pakej pelancongan yang banyak ditawarkan oleh agensi pelancongan.

Dengan cara percutian berkelompok ini tidak mustahil anda berdua akan terasa lebih muda kerana dapat bersama-sama dalam satu kumpulan di samping segala perjalanan, lawatan, makanan, tempat tinggal yang telah diuruskan.

Bangkitkan jiwa romantis

Walaupun telah berusia, tidak salah jika anda berdua ingin hidupkan kembali suasana romantis tersebut. Anda kini berjauhan dari rumah, anak-anak dan hanya berdua menikmati keindahan alam dalam suasana sungguh tenang.

Boleh mulakan dengan makan malam romantis berdua, pilih menu yang ringkas dan minuman yang menyegarkan.

Pilih topik yang tidak terlalu berat untuk dibincangkan, mungkin boleh merancang masa selepas bersara ataupun membayangkan perkahwinan anak-anak pula.

Mungkin ada di antara sahabat anda yang memiliki pondok penginapan, sebuah pondok di tepi danau atau sebuah villa di kawasan pergunungan.

Seandainya mereka adalah sahabat karib, tentu saja anda boleh menggunakan pondok milik mereka atau sewa saja dengan harga yang menarik.

Beritahu tentang berita bulan madu anda pada rakan dan saudara mara. Anda boleh berkongsi kegembiraan dengan menunjukkan gambar dan sebagainya. Ingat, tunjukkan pada kawan rapat dan saudara-mara yang boleh dipercayai sahaja.

Beli keperluan bayi ikut bajet

Cute Baby

Fasa mabuk hamil di peringkat awal kehamilan serta keghairahan untuk membeli baju mengandung sudah berlalu. Kini tiba saatnya yang dinanti-nantikan iaitu masa untuk membeli kelengkapan bayi.

Jika anda memiliki banyak wang, pastinya akan menghiasi bilik bayi dengan pelbagai kelengkapan dan hiasan.

Namun begitu, dinasihatkan supaya membeli kelengkapan bayi mengikut bajet yang munasabah kerana kebanyakan kelengkapan itu hanya digunakan sekejap sahaja. Ini disebabkan bayi cepat membesar dan tidak memerlukan lagi kelengkapan yang dibeli secara mewah.

Sebenarnya, apakah kelengkapan bayi yang perlu anda sediakan?

Jika dilihat barangan yang telah disenaraipendekkan, terdapat barangan bayi yang telah diklasifikasikan bermula daripada barangan mewah sehingga yang tidak masuk akal.

Kesudahannya, adakah bayi anda dapat memberikan perbezaan pada barangan tersebut?

Ingat! Barangan yang dibeli dalam kuantiti yang sedikit adalah lebih baik kerana ini akan mengelakkan daripada pembaziran.

Mari kita tinjau barangan yang lebih berbaloi untuk dibeli.

Katil bayi Perlu diberi keutamaan ialah ciri-ciri keselamatan dari segi ketahanan, pembuatan dan ketinggiannya.

Tempat duduk bayi dalam kereta Perlu memenuhi serta lulus peraturan keselamatan.Selepas itu, mari kita melihat apakah keperluan lain yang perlu dan tidak perlu bagi bayi anda.

Monitor pengesan bunyi Ia merupakan peralatan yang terbaik bagi keluarga yang baru menimang cahaya mata.Dengan monitor ini, ibu bapa boleh mendengar bunyi-bunyian yang amat perlahan yang boleh mengganggu tidur bayi anda dan tangisan bayi.Persoalannya, adakah anda betul-betul memerlukan peralatan tersebut?Mungkin tidak, kerana naluri seorang ibu dapat merasakan apa yang berlaku kepada bayi mereka.Lebih baik sekiranya anda menyimpan wang ataupun membelikan peralatan yang lebih diperlukan.

Beg gendong bayi Sekiranya anda mempunyai anak lebih daripada seorang, beg gendong bayi pastinya memudahkan anda. Ini kerana bayi sememangnya suka dipeluk.

Bantal busuk Ia merupakan satu situasi yang mahu dielakkan oleh ibu bapa. Dengan kehadiran bantal busuk, ia akan menyusahkan anda serta bayi anda sekiranya ia hilang atau lupa dibawa ketika berjalan-jalan. Ia juga boleh menjadikan satu tabiat anak anda mengusung bantal busuk ke mana sahaja.

Gim kecil Ia merupakan satu alat permainan yang mampu memudahkan kerja anda. Secara tidak langsung ia adalah alat pembelajaran bagi bayi anda.

Alat permainan Menyediakan permainan untuk anak anda seperti gelongsor, buaian dan sebagainya. Sebelum membeli kesemua alat permainan tersebut, anda perlu berfikir, lama mana ia boleh digunakan.

Insurans Kebanyakan ibu bapa zaman ini tidak ketinggalan membelikan insurans nyawa untuk bayi serta anak-anak mereka. Daripada membeli insurans nyawa, apa kata anda membeli insurans pendidikan yang dapat menjamin masa depan anak anda.

Kereta sorong Sebaik-baiknya, belilah kereta sorong yang ringan, kecil dan mudah dibawa. Bagi ibu bapa yang gemar membeli kereta sorong yang berwarna -warni dan besar, baik difikirkan semula kerana selain membebankan anda, ia juga memerlukan tempat simpan yang besar.