Nasihat seks untuk suami isteri baru

Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga pula, soal seks memang boleh menjadi masalah besar apatahlagi mereka masih belum banyak pengalaman. Dalam hal ini pada siapakah hendak dirujuk. Bagi memudahkan suami isteri baru ini, berikut diberikan beberapa khidmat nasihat perihal seks yang mungkin tersangat diperlukan oleh anda dan pasangan ketika ini.

1. Bagaimana mahu menjadikan seks sentiasa menyenangkan?
Perkara utama yang menyebabkan aktiviti seks suami isteri jadi tidak mengghairahkan lagi adalah stres. Penyebab lain pula adalah fi kiran anda sendiri. Wanita terutamanya sering memikirkan persoalan ‘adakah saya seksi’ atau ‘tubuh saya gemuk dan tak cantik’ ketika melakukan hubungan intim. Sedangkan inilah perkara yang akan mematikan keseronokan melakukan seks. Memikirkan perkara ini akan menghilangkan tumpuan terhadap seks hingga menyebabkan aktiviti yang menyenangkan ini bertukar menjadi hambar dan anda sendiri malas untuk meneruskannya.

2. Apa yang perlu dicuba agar seks makin hebat
Memang tak dapat dinafi kan bila semakin lama bersama, seks akan jadi perkara rutin yang membosankan. Jadi apa kata cuba ubah suasana ketika melakukannya. Kalau selalu asyik di rumah, tempah bilik hotel yang lebih indah dan jauh dari gangguan untuk sesi hubungan intim. Selain itu lakukan kejutan setiap minggu pada pasangan ataupun mencuba teknikteknik baru setiap kali rasa bosan itu terbit di hati. Dijamin selepas ini seks akan menjadi acara yang dinanti-nantikan dan anda sendiri pasti akan teruja untuk melakukannya.

3. Permintaan seks, bagaimana mahu diluahkan
Luahkan saja permintaan itu pada suami kerana tak mungkin suami akan menolak sesuatu yang disukai. Sebenarnya permintaan seks dari seorang isteri seharusnya tidak menjadi perkara yang janggal untuk dilakukan. Lagipun anda meminta dengan suami sendiri, pasangan yang sah. Kalau masih malu juga cuba berikan petanda yang dapat difahami oleh suami. Misalnya memakai baju yang seksi sambil membuat gerakan tubuh yang menggoda. Belaian atau kucupan hangat di leher juga boleh menjadi umpannya.

4. Apa cara pemanasan paling mengghairahkan?
Apa lagi kalau bukan urutan. Paling bagus anda bergilir-gilir melakukannya. Cubalah urut ke seluruh bahagian tubuh pasangan termasuk bahagian yang paling sensitif. Selain itu jangan lupa oles losen ataupun minyak aromaterapi. Cari haruman yang mampu membangkitkan ghairah. Selepas itu pinta suami pula melakukan perkara yang sama buat diri anda. Kalau anda tetap tidak merasa sensasi ghairah seks yang membara, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena!

5. Bagaimana mahu cuba teknik baru
Teknik atau posisi yang sama setiap kali bersama memang akan membosankan. Ramai pasangan yang berkeinginan mencuba teknik baru untuk mengelakkan rasa hambar tapi terasa ragu-ragu untuk mencubanya. Mereka bimbang suami atau isteri tak dapat menerima perubahan yang dilakukan. Selain itu ada juga yang takut teknik baru tidak menyenangkan pasangan ataupun menyakitkannya. Tapi belum cuba belum tahu. Kalau takut posisi baru menjadi sesuatu yang menyakitkan, pesanlah pada pasangan agar jangan memendamkannya sendirian. Berterus terang saja jika posisi atau teknik yang dicuba tidak menyenangkan.

6. Bagaimana mahu menggoda suami?
Antara yang paling mudah adalah dengan memberi belaian dan juga memanggilnya dengan panggilan yang paling manja. Selain itu suara isteri yang lembut juga boleh menggodanya. Begitu juga dengan gerakan tubuh penuh makna. Anda boleh saja lalu di hadapannya sambil memberi pose seksi seperti duduk dengan kaki bersilang atau berbaring sambil menguraikan rambut. Dalam pada masa yang sama berikan jelingan atau senyuman paling manis buat pasangan. Selamat mencuba!

Petikan majalah MINGGUAN WANITA.

Menangani rasa cemburu

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’ adalah bidalan Melayu yang membawa pengertian dalam mengharungi hidup berumah tangga, khususnya dalam hubungan antara suami dan isteri, perselisihan adalah satu kemestian.

Perselisihan adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, ia boleh diperbaiki, dengan menggunakan cara yang bijaksana dan bertoleransi.

Banyak sebab yang menjadi punca perselisihan. Antaranya kerana mentua, jiran, teman-teman, anak-anak, malah perkara asas dalam kehidupan juga mampu mencetuskan pergaduhan dalam rumah tangga sehingga lauk yang terlupa dimasukkan garam, atau air kopi yang terlupa ditambah gula.

Paling meruncing ialah apabila masing-masing mula cemburu terhadap satu sama lain, sama ada mereka mempunyai bukti nyata atau hanya berupa prasangka sahaja.

Perkara sedemikian jika dibiarkan berterusan akan melarat sehingga tercipta penceraian dalam rumahtangga.

Ada di kalangan masyarakat yang menganggap perselisihan rumah tangga sebagai garam di dalam lauk. Tanpa perselisihan, rumah tangga hambar dan tawar, umpama lauk tidak bergaram.

Namun, garam itu hendaklah diletak secara berpada-pada supaya tidak terlalu banyak sehingga boleh merosakkan lauk sebelanga.

Perkara inilah yang harus diperhatikan oleh setiap insan yang bertekad mahu mendirikan rumah tangga. Ia juga perlu menjadi renungan pasangan suami dan isteri yang menerajui bahtera hidup berumah tangga.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah satu cabaran yang harus dihadapi oleh setiap kaum lelaki. Dalam perkahwinan, suami akan berkongsi hidup dengan isteri.

Biarpun seburuk mana isteri namun seharusnya terimalah seadanya seperti yang terungkap semasa akad.

Kata pujangga, perempuan bagaikan angin, lembutnya melenakan, ributnya pula mampu menggusarkan.

Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang malah adakalanya mereka seperti anak yang ingin dibelai, minta dimanjakan seperti anak kecil namun adakalanya mereka seperti nenek yang sering berleter seadanya, merungut semahunya.

Namun, bahagia dan derita hanya kita yang mencorakkan sendiri

Mendirikan sebuah rumah tangga biarpun untuk ke sekian kali namun memerlukan kematangan dan kedewasaan fikiran dan perasaan.

Kematangan bererti kemampuan seseorang menahan marah dalam suasana krisis dan perselisihan serta dapat menyelesaikan masalah tanpa menggunakan kekerasan dan menjauhi segala cara yang boleh membawa kepada keruntuhan perkahwinan itu.

Sebagai bukti kepada kematangannya, seseorang itu sanggup mengaku salah apabila benar-benar bersalah dan tidak cuba menyalahkan orang lain apabila berpeluang berbuat demikian.

Bagi Islam, rumah tangga perlu ditegakkan atas asas cinta dan kasih sayang.

Perkara ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara keterangannya juga, bahawa ia menjadikan isteri bagimu yang sebangsa dengan kamu, supaya kamu boleh diam bersama-sama dengan dia, serta berkasih sayang dan cinta menyintai.” (Surah Ar Rum, ayat 21).

Cinta dan kasih sayang yang dimaksudkan bukanlah hasil daripada cinta pandang pertama tetapi ia lahir daripada rasa tanggungjawab mengikut amanah dan kepercayaan, serta tidak dipengaruhi oleh kehendak kebendaan atau nafsu.

Rasa cinta sebegini boleh membawa suami sentiasa bersikap matang dan sihat dalam segala layanannya terhadap isteri dan di kala menghadapi krisis rumah tangga yang tidak dapat dielakkan.

Suasana rumah tangga akan menjadi lebih mesra dan ceria apabila suami mengenali diri isterinya sebagai manusia yang mudah tersinggung dan mudah terasa.

Suami jangan sekali-kali cuai dan lupa memberi penghargaan kepada peranan isteri sebagai suri rumah tangga yang benar-benar bertanggungjawab.

Sebenarnya, tidak susah bagi suami membisikkan kata-kata pujian ke telinga isterinya setiap kali menikmati masakan atau melihatnya berpakaian baru. Berilah hadiah, walaupun kecil, sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri apabila menyambut hari jadinya.

Termasuk dalam penghargaan juga ialah memberi sangkaan baik terhadap tingkah laku isteri, tidak memperlihatkan apa-apa kecurigaan terhadap kejujuran dan keikhlasan isteri, tidak cuba mengintip gerak- gerinya kerana didorong rasa cemburu yang melulu.

Sesungguhnya, rumah tangga yang bahagia dapat diwujudkan hasil kerja keras, saling mengerti, tolong menolong dan persefahaman antara suami dan isteri.

Dalam mengemudi bahtera sebuah rumah tangga, suami berperanan sebagai nakhoda kapal yang bertanggungjawab mengendali dan menjaga keselamatan seisi anak kapal.

Manakala isteri pula berperanan sebagai jurumudi yang mengawal haluan bahtera. Paduan erat antara keduanya mampu menyelamatkan bahtera dan seluruh isinya daripada tenggelam dilanda badai dan gelora.

Oleh ZUHAYATI YAZID