Suami gagal di malam pertama

Kisah Dari Mahkamah Syariah

Kes 1

Mahkamah Rendah Syariah
Wilayah Persekutuan

Seorang suami mengaku di Mahkamah Rendah Syariah di sini bahawa beliau tidak pernah bersetubuh dengan isterinya sepanjang sembilan bulan usia perkahwinan mereka.

Menurut Zaifuddin Zakaria, beliau telah cuba melaksanakan tanggungjawab ‘malam pertama’ terhadap isterinya, Sharifah Safiah Syed Ibrahim tetapi gagal.

“Yang Arif, saya tak mampu (melakukan hubungan kelamin dengan isteri) kerana saya tidak ada perasaan terhadapnya,” katanya.

Plaintif, 37, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes permohonan cerai terhadap isterinya, Sharifah Safiah, 31.

Beliau hanya bersama isterinya pada malam pernikahan dan kemudian meninggalkan defendan hingga ke hari ini.

Sharifah Safiah hadir di mahkamah dengan diwakili Peguam Syarie Husin Ali.

Perbicaraan dikendalikan Hakim Syarie Mohd. Tawadzo Abbas.

Hakim: Kenapa kamu mahu bercerai?

Zaifuddin: Yang Arif, di antara kami tiada persefahaman. Itu saja.

Hakim: Alasan itu terlalu umum. Takkanlah sebab tak ada persefahaman
sampai nak bercerai?

Zaifuddin: Saya tidak dapat meneruskan hidup dengan dia (Sharifah Safiah).

Hakim: Kenapa?

Zaifuddin: Saya tidak mampu untuk beri kebahagiaan kepada dia.

Hakim: Yalah. Kebahagiaan itu luas maksudnya.

Zaifuddin: Saya tidak mampu bina kehidupan bersamanya.

Hakim: Mahkamah tidak boleh meluluskan permohonan cerai kalau alasan yang dikemukakan tidak kukuh. Kebahagiaan yang kamu maksudkan dari segi zahir ke batin?

Zaifuddin: (diam)

Bagaimanapun, selepas ditegur oleh hakim, plaintif mengakui bahawa beliau tidak punya apa-apa perasaan terhadap isterinya, Sharifah Safiah yang merupakan gadis pilihan ibunya sendiri.

Hakim: Ada berlaku persetubuhan pada malam pertama?

Zaifuddin: (Dalam nada yang tersekat-sekat) Pada malam pertama, saya cuba bersama (isteri). Bagaimanapun, perasaan (berahi) saya terhadapnya tiada. Saya cuba melakukan (hubungan kelamin), tetapi tidak boleh.

Sementara itu, Husin berkata, plaintif hanya bersama defendan pada malam bernikah.

“Esoknya, plaintif meninggalkan defendan dan mereka tidak pernah bersama,” katanya.

Husin berkata, Zaifuddin juga mengaku bahawa beliau memang tiada perasaan kasih sayang atau cinta terhadap isterinya.

Malah, plaintif juga mendakwa bahawa beliau berkahwin kerana desakan keluarga.

Sementara itu, defendan dalam keterangannya berkata, plaintif bukan sahaja gagal memberinya nafkah batin tetapi juga nafkah zahir.

“Dia (suami) tidak pernah menunjukkan kasih sayang sebagai suami dan tidak pernah beri saya nafkah,” katanya.

Hakim Mohd. Tawadzo kemudiannya menetapkan tarikh untuk membenarkan plaintif melafazkan cerai berikutan defendan dalam keadaan tidak suci.