Keluhan Wanita Tentang Hubungan Intim

Masalah mati pucuk, disfungsi ereksi dan sebagai dialami suami, tapi isteri juga tidak terkecuali daripada masalah seks. Namun sebagai ‘penerima’ mereka lebih banyak memendamkan masalah ini dalam hati. Akan tetapi cara ini sebenarnya berbahaya.

Tapi tak mustahil jika dibiarkan berterusan masalah ini boleh meletus dan mampu menggoncang kehidupan rumah tangga. Berikut adalah empat masalah berkaitan dengan seks yang sering dihadapi dan didiamkan oleh isteri. Disediakan sekali jalan penyelesaiannya sebagai panduan bagi mendapat kehidupan seks yang sihat.

1. Bosan dengan aksi yang sama
Dari awal berkahwin sehinggalah sudah memiliki beberapa orang anak, suami mempraktikkan gaya yang sama dalam acara seks. Daripada teknik, posisi semuanya tidak berubah hingga isteri sudah boleh dijangka aksi di ranjang yang seterusnya. Situasi ini menimbulkan kebosanan buat isteri.

Saranan:

Rasa bosan dalam hubungan seks memang lumrah dialami oleh pasangan terutama yang sudah lama mendirikan rumah tangga. Bagi menyalakan kembali ghairah yang telah hilang, cubalah mencari kelainan dalam hubungan intim. Carilah maklumat sama ada melalui buku mahupun internet tentang kepelbagaian posisi hubungan seks. Selain daripada mencari posisi lain, anda juga mungkin boleh menukar lokasi tempat melakukan hubungan intim. Sekali sekala tempahlah bilik hotel. Di samping itu, anda juga tak perlu menunggu malam wajib iaitu malam Jumaat untuk urusan hubungan intim. Sekiranya anda menginginkannya, telefon atau SMS suami dan rayulah dirinya dengan cara yang menggoda.

2. Tidak mampu orgasma
Jangan tidak percaya walau sudah bertahun mendirikan rumah tangga ada isteri yang langsung tidak merasai kenikmatan seks kecuali melalui cara seks oral. Walau pun sudah pelbagai cara dicuba tapi tetap gagal memberikan orgasma. Perkara ini menimbulkan kebimbangan takut lama kelamaan suami pula akan bosan.

Saranan:
Jalan penyelesaian masalah ini mudah saja, buatlah kombinasi antara oral seks dan juga seks biasa. Lakukan pemanasan dengan seks oral terlebih dahulu. Dalam hal ini isteri tak perlu malu memberitahu suami tentang bahagian mana yang harus sentuh. Apabila isteri sudah hampir mencapai orgasma, lakukanlah seks sebagaimana
biasa.

3. Seks terganggu selepas bersalin
Ramai wanita yang mengalami masalah nafsu seks menurun selepas melahirkan cahaya mata. Antaranya berpunca dari perasaan kurang yakin terhadap tubuh sendiri yang sudah banyak berubah selepas melahirkan. Akibat tubuh yang sudah gemuk, payu dara jatuh dan sebagainya mereka jadi bimbang suami tidak lagi berminat untuk melakukan hubungan intim.

Saranan:
Memang ramai wanita yang tidak yakin pada bentuk tubuhnya. Sebaiknya perasaan sebegini tidak diteruskan kerana perasaan negatif akan melahirkan ghairah seks yang negatif juga. Jika seseorang wanita itu merasa dirinya tidak cantik, gemuk dan sebagainya perasaan ini seterusnya akan mempengaruhi ‘persembahannya’ di ranjang. Harus diingat bahawa kebanyakan suami sebenarnya tidaklah terlalu serius memikirkan ukuran tubuh isteri, mereka tidaklah terlalu peduli. Mereka sendiri pasti terima hakikat kalau sudah melahirkan empat orang anak, memanglah tubuh takkan sama seperti zaman gadis. Paling penting adalah isterinya dapat memberi kepuasan sewaktu bersama.

4. Selera menurun
Selalunya tahun awal perkahwinan, suami isteri tiada masalah tentang hubungan intim. Namun apabila masa berlalu, ramai isteri yang mengalami masalah penurunan nafsu seks. Acara malam bersama suami bukan lagi ditunggu-tunggu malah dianggap sebagai sesuatu yang bosan dan memenatkan.

Saranan:
Berbeza dengan lelaki, hasrat seksual seorang wanita banyak dipengaruhi oleh faktor emosi. Emosi wanita pula mudah menjadi kacau bilau walaupun kerana hal yang remeh-temeh. Sikap suami yang menyentuh hatinya seperti pemarah, dan sebagainya boleh membuatkan seorang wanita enggan disentuh suami. Keadaan tubuh suami yang tidak bersih juga boleh menghancurkan hasrat seks isteri.

Begitu juga dengan kepenatan akibat bekerja dan menguruskan rumah tangga, ia juga menyebabkan isteri lebih rela tidur dan berehat daripada melakukan hubungan seks. Jika anda mengalami masalah sebegini, jalan penyelesaiannya adalah komunikasi. Jika suami melakukan sesuatu yang menyentuh perasaan, mintalah dia menangani sifat buruk ini. Luahkan sikap yang tidak anda senangi ini dengan cara yang lembut agar dia dapat mengubahnya.


Rahsia Pikat Nafsu Suami. Nak tau, sila klik sini


Rahsia Tambat Nafsu Isteri. Nak tau, sila klik sini


Rahsia Cepat Membaca. Nak tau, sila klik sini


Rahsia Mudah Hamil. Nak tau, sila klik sini

Lelaki anggap wanita ‘lauk’

Hakikatnya, setiap hari sepuluh wanita menjadi mangsa dera di negara ini. Namun, itu hanya melibatkan kes yang dilaporkan kepada pihak polis.

Jumlahnya mungkin lebih tinggi, demikian menurut pendedahan pegawai polis Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian D11 Bukit Aman, Superintendan Ong Chin Lan dalam satu seminar tidak lama dahulu.

Ujarnya, kejadian keganasan terhadap wanita boleh berlaku di banyak tempat termasuk rumah, tempat kerja, kawasan awam, jalan raya dan di dalam kenderaan.

“Laporan polis menunjukkan, keganasan terhadap wanita kebanyakannya dilakukan oleh individu yang paling hampir dengan wanita berkenaan seperti suami, ahli keluarga lain atau kekasih,” katanya.

Bicaranya lagi, jenayah itu berlaku disebabkan mentaliti segelintir lelaki yang menganggap wanita serta kanak-kanak perempuan adalah insan lemah yang boleh disakiti.

“Gejala ini berlaku dalam semua budaya, bangsa, agama serta status atau kedudukan ekonomi.

“Sesuatu tindak-tanduk itu dianggap sebagai keganasan apabila ia menyebabkan kesakitan fizikal, kesakitan akibat senjata, kesedihan, tekanan minda, jenayah ugut, pengkhianatan hingga merendahkan keyakinan, rogol, liwat dan pembunuhan,” katanya.

ISTERI kepada ‘hartawan’ Lebanon, Dr. Elie Yousef Najem, Farinnie Mohd. Farid mendakwa menjadi mangsa dera dan liwat suaminya.

Sementara itu, Ketua Wanita Pusat, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berpendapat, sejak Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diwujudkan serta dilaksanakan pada 1996 nasib wanita yang didera suami tidak banyak berubah.

“Pada tahun 2005 sahaja terdapat 18,079 kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan. Jika dibahagikan, terdapat 50 kes dilaporkan setiap hari sepanjang tahun itu.

“Saya yakin angka ini meningkat setiap tahun. Saya telah berjuang berhubung keganasan terhadap wanita ini lebih 10 tahun tetapi tidak banyak yang berubah,” katanya.

Kata Harlina, semua pihak harus kembali kepada hukum Islam untuk menyelesaikan segala permasalahan manusia kerana agama ini lengkap dari segala aspek kehidupan dunia malah di akhirat jua.

Perkara wanita tidak tahu mengenai lelaki

Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka. Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, For Women Only : What You Need to Khow About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya, buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam.

1. Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.

Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.

2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka. Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.

Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata, ‘Awak langsung tidak menghormati saya’. Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.

Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup – tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.

Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

5. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan statusnya sebagai pencari nafkah untuk keluarga.

Secara umumnya, tidak penting berapa gaji yang diperoleh si lelaki, ataupun isterinya memperoleh gaji yang lebih besar mahupun sedikit. Apa yang pasti, lelaki akan memikul bebanan untuk menyara keluarganya walaupun ia bukan pilihan hatinya.

Lelaki akan terikat dengan bebanan itu. Hakikatnya, perkara tersebut tidak akan lari meninggalkan fikiran lelaki dan keadaan itu akan memberi kesan pada perasaannya yang rasa seolah-olah terkurung.

Bagaimanapun, isteri memang tidak boleh membebaskan suami daripada bebanan itu, cuma mereka boleh membantu meringankan bebanan melalui kata-kata penghargaan, galakan dan sokongan.

6. Lelaki mahu lebih seks.

Ramai mungkin beranggapan lelaki mahukan lebih hubungan seks dengan isterinya disebabkan keadaan fizikal mereka (keperluannya). Tetapi, apa yang mengejutkan, kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn menunjukkan bahawa alasan lelaki mahukan lebih seks kerana ingin rasa dihormati oleh isteri mereka. Lelaki cuma suka andai diri mereka diperlukan. Biasanya, memenuhi keinginan seks lebih menjurus kepada nafsu dan perasaan ingin disayangi oleh si lelaki.

Seks bukan hanya hubungan kelamin antara suami dan isteri tetapi lebih daripada itu. Apabila suami merasakan si isteri mengingini mereka secara seksual, ia amat memberi kesan pada keseluruhan kehidupan mereka. Ia membuatkan mereka lebih yakin dan bahagia. Namun, di sebaliknya wujud pula kesan negatif.

Apabila suami berasa dirinya ditolak, dia berpendapat isterinya bukan sahaja menolaknya daripada segi fizikal, tetapi menidakkan peranannya sebagi suami dan juga lelaki. Sebab itu, melakukan hubungan seks adalah satu keutamaan dalam perkahwinan dan ia juga sangat penting.

7. Lelaki bergelut dengan godaan mata.

Maknanya, majoriti besar kaum lelaki akan bertindak balas terhadap imej yang dilihat terutama berkaitan wanita. Dan, lelaki berkenaan bukan hanya mereka yang sememangnya bermata liar. Lelaki yang baik juga tidak terkecuali daripada memandang wanita yang memakai pakaian yang seksi dan menarik. Biarpun, pandangan itu hanya sekilas, imej tersebut akan tersimpan dalam fikiran lelaki dan ia akan kembali terbayang pada bila-bila masa.

8. Golongan Adam memang suka berasmara.

Namun, mereka sebenarnya ragu-ragu sama ada cara mereka itu romantik atau tidak. Hakikatnya, ramai lelaki sebenarnya tidak romantik, tetapi ia tidak bermakna mereka ingin berkeadaan begitu. Lelaki hendak juga menjadi romantik, tetapi mereka sangsi dengan keupayaan sendiri untuk melakukannya. Mereka sering dihantui perasaan ragu-ragu, berkemungkinan diri berhadapan dengan risiko yang memalukan dan kegagalan.

Bagaimanapun, isteri boleh membantu meningkatkan keyakinan suami untuk menjadi seorang yang romantik melalui galakan dan mentafsirkan semula hubungan asmara mereka.

9. Kaum lelaki amat mengambil berat tentang penampilan isterinya.

Kenyataan itu tidak bermakna semua suami ingin isteri mereka kelihatan seperti supermodel. Apa yang sebenarnya diingini lelaki hanyalah agar si isteri berusaha menjaga penampilan diri kerana ia amat bermakna buat mereka (suami). Malah, suami amat menghargai usaha si isteri yang cuba mengekalkan daya tarikan mereka.

10. Lelaki yang bergelar suami sememangnya mahu isterinya mengetahui bahawa dia amat sayangkan mereka.

Itu adalah maklum balas pertama yang diperoleh daripada lelaki yang ditemui penulis. Cuma, lelaki tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk meluahkan perkara tersebut biarpun sebenarnya mereka amat mencintai isteri mereka. Lelaki memang ingin memberitahu atau memperlihatkan betapa sayang dan cintanya mereka kepada isteri masing-masing, tetapi mungkin anda perlu menunggu lama sedikit untuk melihat mereka melakukannya.

Jiwa Kacau : Kemurungan Wanita

Wanita terjejas dua kali ganda

# Kajian mendapati masalah kemurungan yang teruk menjejaskan wanita kira-kira dua kali ganda berbanding lelaki. Nisbah berkenaan membabitkan semua wanita tanpa mengira latar belakang kaum, etnik atau status ekonomi.

Kemurungan Wanita
# Wanita yang mengalami masalah bulimia ketika kehamilan mempunyai lebih gejala keresahan dan kemurungan berbanding wanita yang tidak mempunyai masalah pemakanan tidak menentu.

Kajian daripada Institut Kesihatan Umum Norway mendapati mereka juga mempunyai tahap keyakinan diri rendah dan lebih cenderung untuk berasa tidak puas hati dengan kehidupan dan hubungan dengan pasangan.

# Gejala kemurungan dalam kalangan wanita termasuk kurang berminat untuk menjalankan aktiviti yang lazimnya menjadi kegemaran wanita berkenaan. Selain itu, wanita juga sering berasa bersalah, tidak mempunyai harapan atau tidak berguna.

Mereka juga cenderung mengalami gangguan tidur (sama ada terlebih tidur atau kurang tidur), perubahan selera makan dan perubahan dari segi berat badan.

Selain itu, ada yang sukar memberi tumpuan serta kurang bertenaga. Mereka juga mudah marah manakala dalam sesetengah keadaan, ada yang terdetik untuk membunuh diri.

# Jika didapati diri mengalami kemurungan, usah mengasingkan diri. Sentiasa berhubungan dengan orang tersayang serta dapatkan nasihat.

Jangan salahkan diri sendiri dan jangan putus asa. Bersabar juga antara cara untuk mengurangkan masalah ini.

Beri galakan pada diri sendiri selain memastikan diri menjalani kehidupan yang menyihatkan.

Negara rugi jika wanita tinggalkan pasaran kerja selepas kahwin

Sambutan Hari Wanita Kebangsaan pertama kali diraikan pada 25 Ogos 1962. Tarikh berkenaan dikatakan diilhamkan sendiri Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang berpendapat Hari Wanita wajar diraikan sebelum sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan wanita kepada negara.

Walaupun ketika itu pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan amat kurang, ternyata Tunku sudah melihat kepentingan sumbangan wanita dan mengenal pasti saluran yang boleh digunakan bagi memperkasa golongan hawa termasuk menggubal undang-undang bagi membolehkan lebih ramai wanita berada dalam arus pendidikan dan pekerjaan.

Kini 47 tahun selepas Hari Wanita Kebangsaan pertama kali disambut, wanita sudah mengorak langkah yang begitu jauh meninggalkan kenangan silam. Jika pada lima dekad lalu, mungkin tidak sampai 10 peratus wanita dan kanak-kanak celik huruf, hari ini wanita di Malaysia boleh berbangga dengan jumlah pelajar di institut pengajian yang dimonopoli wanita dengan nisbah lebih 65 peratus berbanding lelaki.

Kementerian Pengajian Tinggi melaporkan pada 2007, jumlah pelajar wanita melanjutkan pengajian bagi kursus Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melebihi lelaki iaitu 61.9 peratus, manakala di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), 52.9 peratus.

Trend berkenaan dilihat sudah bermula sejak 1970-an, tetapi berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada 2007, hanya 36 peratus wanita memasuki pasaran kerja berbanding lelaki dengan kebanyakannya berada dalam bidang perkeranian, iaitu 68.9 peratus.

Walaupun nisbah wanita yang berada dalam bidang profesional 45 peratus berbanding lelaki, jumlah wanita dilantik memegang jawatan kanan dan pengurusan hanya 23 peratus. Ini menimbulkan persoalan mengapa dengan jumlah kemasukan pelajar wanita yang begitu tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi tidak ramai memasuki pasaran kerja dan memegang jawatan penting dalam kategori penggubal dasar.

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati hampir 65 peratus wanita tidak bekerja kerana melakukan kerja rumah. Dalam erti kata lain, ramai wanita meninggalkan pasaran kerja apabila sudah berumahtangga dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

Kesukaran mendapatkan pengasuh dipercayai antara punca utama wanita meninggalkan alam pekerjaan. Selain itu, perubahan gaya hidup hari ini berbanding lebih tiga dekad lalu yang menyaksikan semakin ramai keluarga asas, iaitu pada kadar 70 peratus berbanding mereka yang tinggal dengan keluarga besar dengan purata 24 peratus.

Ketiadaan keluarga terdekat membantu menjaga anak, menyebabkan ramai keluarga terpaksa bergantung kepada pusat jagaan kanak-kanak atau pembantu rumah warga asing. Namun, pelbagai masalah membabitkan pembantu rumah sejak kebelakangan ini selain khidmat pusat penjagaan kanak-kanak yang tidak teratur dan bermutu mengeruhkan keadaan, sekali gus memaksa wanita memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kebimbangan terhadap pelbagai gejala sosial membabitkan generasi muda hari ini yang semakin meningkat dikatakan turut menyebabkan ramai wanita membuat pilihan berkenaan kerana antara alasan diberikan tidak mahu melihat anak tersilap langkah dan terjebak dalam kegiatan tidak sihat.

Justeru, jika isu ini tidak ditangani segera, lebih ramai wanita berkelayakan mengambil jalan pintas dengan tidak memanfaatkan pendidikan yang dimiliki dan negara akan kerugian guna tenaga yang berkebolehan serta mempunyai kemahiran tinggi.

Hakikatnya, wanita mempunyai 1,001 alasan mengapa mereka perlu terus berada dalam pasaran kerja. Selain membantu meningkatkan pendapatan seisi keluarga dan membantu ibu bapa, wanita juga perlu memikirkan masa depan supaya mereka dapat berdikari jika keadaan memerlukan kelak.

Tetapi tanpa sistem sokongan yang baik, ramai yang terpaksa memilih sebaliknya. Bersesuaian dengan slogan Hari Wanita tahun ini, iaitu Wanita Aspirasi 1Malaysia, amat wajar jika semua pihak memandang serius isu berkenaan, supaya lebih ramai wanita dapat digemblengkan bagi membantu membangunkan negara.

Wanita Malaysia sudah melalui perjalanan yang jauh, berjaya menerobos isu siling kaca dan meyakinkan pelbagai pihak akan keupayaan mereka, tetapi semua itu tidak akan berbaloi jika ramai terpaksa mengambil keputusan meninggalkan pasaran kerja berikutan isu yang mungkin dipandang sebelah mata selama ini.

Oleh Fadzlena Jafar
Penulis ialah Pengarang Wanita Berita Harian

Usia 40 – Wanita makin matang, lelaki mula nakal

Lelaki kalau mencecah usia 40 tahun akan mula nampak ‘nakalnya’. Itu kata orang. Tetapi pengalaman melihat persekitaran yang berkaitan dunia lelaki, menyakinkan saya bahawa kenyataan tersebut memang ada logiknya. Jangan marah kaum Adam!

Logik atau tidak, masing-masing punya cara, punya rasa. Hakikatnya wanita pula dalam usia 40 tahun semakin matang dan masak dengan rencah kehidupan terutama bab rumah tangga.

Pun tidak dinafikan, agenda utama wanita dalam usia 40 tahun sekarang ini adalah bagaimana mengekalkan kecantikan dan kelangsingan tubuh badan. Sebab itu gaya hidup orang sekarang.

Kalau dulu, ibu-ibu dan suri rumah tidak begitu ambil berat tentang bentuk badan dan rupa paras mereka kerana lebih utamakan rumah tangga suami dan anak-anak, sekarang tidak lagi.

Kebanyakan wanita sanggup berhabis wang ringgit dan membuang masa semata-mata untuk cantik dan tampil menawan mengikut peredaran masa.

Nampak kedut di muka mula resah gelisah. Nampak tubuh yang tembam mula tak makan. Tidur pun jadi tidak menentu sebab asyik berfikir bagaimana hendak mengatasi masalah badan gemuk dan muka berkedut.

Malah ada sampai lalai terhadap rumah tangga, suami dan anak-anak kerana menghabiskan masa di spa, salun dan kelas senaman. Janji tubuh cantik dan wajah berseri macam bulan di pagar bintang.

Hasilnya jangan terkejut jika anda ke majlis-majlis tertentu, nampak wajah wanita yang sama saja, sepesen kata orang, putih melepak dan gebu semacam. Itu juga sudah menjadi trend.

Tapi tidak semua, ada juga wanita yang bertanggungjawab dan kekal prestasi sebagai isteri dan ibu mithali.

Tidak salah mahu kelihatan cantik tetapi biar patut padan. Ingatlah, kecantikan hanya sementara, sampai masa akan pudar juga.

Saya terpanggil bercakap tentang angka 40 tahun minggu ini kerana ingin mengaitkan ia dengan ulang tahun majalah WANITA yang ke-40 pada bulan depan.

Tentunya saya tidak sabar menunggu saat itu. Pelbagai persiapan sedang dibuat untuk menjadikan sambutan kali ini sebagai satu sejarah dan memori yang akan terpahat dalam minda pembaca.

Ini kali kedua saya melalui fasa penting dalam sejarah kelahiran majalah WANITA. Kali pertama semasa majalah ini menyambut ulang tahun ke-30 pada 1999.

Paling menyentuh hati apabila salah seorang penghias pertamanya, Zaimah Alias berjaya saya temui setelah hampir dua bulan berusaha.

Hampir dua jam saya dan jurugambar Fatah Sulaiman menghabiskan masa di kediaman Zaimah di Kelana Jaya, Selangor berbual tentang sejarah WANITA sambil menjamah mihun goreng dan karipap serta teh O panas.

Seperti saya Zaimah juga teruja dengan pertemuan penuh nostalgia ini. Dia tidak menyangka yang WANITA masih mengingatinya. Beliau kini berumur 60 tahun tetapi masih kekal anggun dan ceria.

Namun begitu saya masih terkilan kerana tidak dapat mengesan dua lagi penghias kulit depan yang pertama WANITA , Janet Mok dan Alice Yoong walaupun telah puas berusaha.

Saya mengharapkan sebelum majlis hi-tea ulang tahun Anggun 40 bersama WANITA berlangsung bulan depan, mereka akan saya temui. Kalau ada kawan-kawan, saudara mara atau mereka sendiri yang terbaca catatan ini harap hubungi saya. Harap sangat-sangat!

Juga ingin saya kongsi rasa terharu saya apabila menerima panggilan telefon daripada tiga wanita yang menjadi pembaca setia WANITA memberitahu mereka ada menyimpan koleksi WANITA edisi pertama hingga Julai 2009.

Lalu saya usahakan untuk bertemu mereka sebagai tanda penghargaan. Air mata saya bergenang dan sebak apabila saya, wartawan Siti Hajar dan jurugambar Jefri Iran tiba di rumah Sharifah di Tanjong Keling Melaka.

Dua jam perjalanan tidak terasa penat apabila kedatangan kami disambut penuh gembira oleh Kak Sharifah, pesara kerajaan yang kini berusia 63 tahun.

Melangkah masuk ke ruang tamu, terpegun saya melihat koleksi 479 naskah WANITA tersusun rapi di atas almari. Ada yang telah dijilid dan ada yang masih berikat kemas.

Empat jam berborak menjadikan saya semakin terharu. Kak Sharifah masih mampu bercerita tentang keistimewaan WANITA dan nama-nama mereka yang pernah menjadi penghias kulit depannya.

Ingatannya amat kuat. Lebih mengharukan apabila melihat nama sendiri tertulis pada rencana yang dimuatkan dalam majalah itu pada era 80-an dan 90-an ketika saya menjadi wartawan.

Bukan mudah untuk menjadi wartawan pada masa dulu, banyak cabaran. Malah untuk menjadi wartawan majalah ternama seperti WANITA perlu bersaing.

Hanya wartawan terpilih saja yang akan berpeluang. Fikir-fikir balik alangkah bertuahnya saya!

Merasa juga pengalaman masuk istana, rancangan Felda, kampung nelayan, penjara, pusat pemulihan, bermalam di kampung orang Asli dan diserang pelacur dan diterkam budak-budak terbiar di jalanan. Begitu manisnya menjadi wartawan!

Kunjungan saya ke rumah Roziah Che Mat di Taman Sejahtera, Bakar Arang, Sungai Petani juga mengusik perasaan saya. Sekali lagi saya tersentuh memikirkan komitmen kedua-dua wanita ini menghimpun WANITA sebagai koleksi peribadi mereka.

Sayangnya saya tidak sempat untuk terbang ke Kuching, Sarawak melihat koleksi Jamaiah Suhail. Bagaimanapun terima kasih kepada jurugambar Utusan di Kuching yang membantu merakamkan gambar majalah yang dikumpulnya.

Tidak kira di mana dan siapa, saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada mereka yang begitu menyayangi WANITA. Siapalah WANITA tanpa pembaca.

Sehubungan itu saya mengharapkan agar pembaca setia WANITA dan mereka yang menghargai wadah unggul kaum wanita Malaysia ini akan turut sama meraikan ulang tahunnya yang ke-40 pada 13 Ogos nanti.

Pelbagai acara dirancang untuk mengingati detik bersejarah ini termasuk meraikan mereka yang terlibat mencetus dan melahirkan majalah ini.

Segala kenangan terindah itu kami rakamkan di dalam WANITA keluaran Ogos yang kini sudah berada di pasaran. Jika anda pembaca setia, anda mesti membeli dan menyimpannya.

Jika sudah membeli rugi jika tidak menghadiri hi-tea yang akan diadakan nanti. Ajaklah teman-teman, suami dan anak-anak bersama. Kenalkan WANITA kepada mereka.

Jualan meja dan kad sudah bermula. Jika berhajat, hubungi kami di talian 03-89262999/89267399 atau faks 03-89252311/89259277 untuk pertanyaan dan tempahan.

Meja berharga RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 serta kad individu juga boleh dibeli. Kalau sayangkan WANITA, tentu anda tidak fikirkan harganya kan?

Nak cerita yang indah-indah saya tidak pandai tetapi yang pasti, majlis itu nanti akan menjadi kenangan manis buat semua tetamu.

Sebabnya, ada raja rock, Amy Search dan insya-Allah, penghias kulit pertama, juga tiga orang pengumpul setia WANITA akan turut hadir sebagai tetamu khas.

Lain-lain apa ya? Ala malulah nak cerita lebih-lebih, tetapi saya jamin, majlis akan meriah dan ceria sebab Istana Budaya ada persembahan eksklusif tentang dunia wanita untuk anda.

Seperti yang saya katakan di awal catatan, usia dan angka bukan halangan untuk mendapatkan sesuatu. Biarlah usia dan angka menjadi sandaran dan sasaran buat kita terus hidup dan menjadi manusia. Salam

~ Utusan